a August 2015 ~ zambry.my

Sunday, August 30, 2015

Teroka Haram - Tindakan Tegas Hasilkan Penurunan Kes

Disebalik wujudnya kegiatan sindiket penerokaan tanah haram, kerajaan Perak secara amnya berjaya mengawal kegiatan haram tersebut sehingga berjaya mengurangkannya.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata kes-kes kegiatan penerokaan haram membabitkan tanah kerajaan telah berjaya diturunkan daripada lebih 61,000 ekar kepada 16,000 ekar.
Katanya, kejayaan ini adalah atas ketegasan dan komitmen kerajaan secara berterusan dalam memerangi kegiatan penerokaan tanah kerajaan secara haram di Perak.
Menurutnya Perak pernah berhadapan dengan satu masalah serius berkaitan pecerobohan tanah kerajaan oleh peneroka haram.
“Dianggarkan lebih 61,000 ekar tanah milik kerajaan telah diteroka secara haram dan hari ini kita berjaya mengatasi dan mengurangkannya kepada 16,000 ekar sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Konvensyen Pentadbiran Tanah Negeri Perak dan Gerbang Hartanah Bumiputra 2015 di Pusat Konvensyen Aman Jaya, Hotel Casuarina @ Meru, Bandar Meru Raya pada Jumaat.
Dr Zambry juga menjelaskan bahawa kerajaan negeri bukannya menggunakan pendekatan merampas tanah-tanah berkenaan tetapi lebih memberi penelitian terhadap kes-kes yang berlaku.
Beliau turut menyangkal tuduhan yang dilemparkan pihak pembangkang kononnya kerajaan langsung tidak berhati perut dalam mengatasi masalah petani dan peneroka-peneroka yang meneroka tanah kerajaan secara haram.
“Ada kes ianya melibatkan secara sindiket, pihak pembangkang pula tampil mencabar saya dan ini bukan soal cabaran kerana ini adalah tanggungjawab dan tidak sepatutnya mencabar.’’ katanya.
Katanya, dalam menangani isu penerokaan tanah kerajaan ini termasuk pengurusan pasir, kerajaan negeri tidak bertindak melindungi atau menyelamatkan mana-mana individu.
Dr Zambry berkata, kerajaan perlu bertegas kerana ini melibatkan soal pengurusan hasil negeri. “Kita amat tegas dalam menangani isu penerokaan tanah kerajaan secara haram ini jadi berilah maklumat kepada kita sekiranya mengetahui mengenai penglibatan sindiket,” katanya. 

Zahirkan Kecintaan Pada Negara, Kibar Jalur Gemilang

Rakyat di negeri ini diseru menzahirkan rasa cinta dan patriotik mereka kepada negara dengan mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman dan premis perniagaan masing-masing.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Zambry Abd Kadir membuat seruan itu kerana tidak banyak Jalur Gemilang dikibarkan orang ramai walaupun hanya tinggal seminggu sebelum sambutan kemerdekaan ke-58 negara pada 31 Ogos.
Katanya tidak banyak kediaman dan premis perniagaan mengibarkan Jalur Gemilang di premis masing-masing pada ketika ini.
“Kita seringkali menyebut perkara ini kerana kita lihat agak kurang Jalur Gemilang dinaikkan dan dikibarkan bukan sahaja di kawasan Bandaraya Ipoh malah seluruh negeri ini.
“Jadi saya menyeru sekian rakyat jelata sekali lagi memeriahkan hari kemerdekaan kita dengan mengambil tindakan-tindakan yang positif dengan mengibarkan Jalur Gemilang.’’ katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat minggu Exco di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Rabu.
Ditanya mengenai jerebu yang berlaku di Manjung ketika ini, katanya, jika keadaan jerebu menjadi semakin serius maka langkah-langkah keselamatan perlu diambil segera khususnya kepada penduduk yang anak mereka masih bersekolah.
Katanya, langkah-langkah keselamatan telahpun diambil semasa fenomena jerebut menjadi semakin serius di daerah Manjung sebelum ini.

Sindiket Ceroboh Tanah - Dr Zambry Minta Bantuan Pembangkang

Pihak pembangkang diminta tampil bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi membantu mengenalpasti dalang-dalang sindiket besar dari luar Perak yang meneroka tanah secara haram di negeri ini.
Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata kerjasama pihak pembangkang diperlukan kerana beliau percaya mereka ada mempunyai maklumat tertentu berhubung sindiket besar itu.
Beliau berkata, pihak pembangkang tidak usah memainkan isu ini kerana kerajaan negeri sendiri memang serius dalam menangani isu pencerobohan tanah kerajaan oleh beberapa sindiket besar ini.
"Yang paling penting, kita perlu mengambil tindakan serius terhadap beberapa sindiket besar ini kerana ia melibatkan tanah kerajaan dan hasil negeri.
"Maka sebab itu kerajaan telah menubuhkan pasukan khas bagi menangani masalah pencerobohan tanah haram ini melalui pejabat tanah, polis dan SPRM," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Rabu.
Menteri Besar berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming yang meminta kerajaan negeri mendedahkan nama beberapa sindiket yang terbabit menceroboh tanah kerajaan secara haram di Perak.
Dr Zambry Abd Kadir semasa sidang Dewan Negeri baru-baru ini telah mendedahkan terdapat beberapa sindiket besar daripada luar negeri Perak yang meneroka secara haram tanah di negeri ini.
Menurut beliau, sindiket itu bukan sahaja berani meneroka di kawasan sempadan dengan negeri lain seperti di Tanjung Malim, malah telah berani meneroka sehingga ke kawasan Sungai Tumbuh di Seri Iskandar.
Sambil menyatakan rasa dukacitakannya, Dr Zambry menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak akan bertolak ansur dengan sindiket seumpama itu yang menggunakan petani untuk melindungi kegiatan mereka.
Ujarnya, kerajaan negeri telah menubuhkan sebuah pasukan khas yang turut dianggotai oleh pihak polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pejabat tanah untuk mengatasi masalah pencerobohan haram di negeri ini.

Tuesday, August 25, 2015

Pelajar Tidak Ambil Peduli Bayar Balik Pinjaman Diburu

Perak sedang mengambil langkah tegas memburu pelajar yang langsung tidak mengambil peduli untuk membayar balik pinjaman pelajaran mereka kepada kerajaan negeri. 
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, tindakan pelajar itu bukan sahaja menyusahkan kerajaan, malah membantutkan permohonan pelajar baharu untuk mendapatkan pinjaman pelajaran. 
Namun demikian, menurut beliau, kerajaan tetap komited meneruskan pinjaman kepada pelajar-pelajar baharu bagi membolehkan mereka menyambung pelajar ke peringkat lebih tinggi di dalam dan luar negara. 
Ujarnya, beberapa langkah telah dan sedang dilakukan untuk melihat dari segi tahap kes-kes yang terbabit itu. 
"Umpamanya kes pelajar yang langsung tidak peduli membayar balik pinjaman," katanya kepada pemberita di majlis penyerahan cek pengajian tinggi negeri Perak sesi 2015/2016 di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Isnin. 
Beliau berkata, kerajaan amat peka dan memahami masalah yang dihadapi oleh pelajar-pelajar baharu tentang betapa pentingnya mereka untuk mendapatkan pinjaman pelajaran. 
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Sains Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Datuk Dr Mohammad Amin Zakaria dalam ucapannya berkata, sehingga 31 Januari 2014, sejumlah RM21 juta pinjaman pendidikan telah diberikan kepada anak-anak Perak. 
Katanya, prestasi pembayaran balik pinjaman adalah mengecewakan di mana sehingga 27 Mei lepas tidak sampai sejuta ringgit. 
Pada majlis itu, seramai 501 pelajar menerima cek pinjaman pengajian tinggi yang melibatkan peringkat diploma, ijazah sarjana muda, sarjana dan ijazah falsafah (Ph.D) termasuk 10 orang pelajar ijazah sarjana muda yang mendapat anugerah pinjaman boleh ubah kepada biasiswa.

Friday, August 21, 2015

Pembangunan Tanah Persekutuan Tanggungawab Agensi Persekutuan

Pembangunan tanah Persekutuan hanya boleh dilakukan oleh pihak kementerian, jabatan dan agensi kerajaan Persekutuan yang telah dipertanggungjawabkan ke atas tanah berkenaan.
Namun begitu, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, sekiranya terdapat mana-mana pihak yang berminat untuk membangunkan tanah-tanah tersebut, ia boleh dilakukan melalui dua kaedah.
Menurut beliau, dua kaedah itu ialah penyewaan bagi satu tempoh yang tidak melebihi tiga tahun dan pajakan bagi tempoh melebihi tiga tahun bagi tanah milik dan yang melebihi antara tiga tahun hingga 21 tahun bagi tanah rizab.
“Walau bagaimanapun, bagi pajakan sebahagian tanah, tidak boleh melebihi daripada 30 tahun,” katanya semasa menjawab soalan lisan Maslin Sham Razman (BN-Bukit Chandan) pada sidang Dewan Negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Jumaat.
Dr Zambry berkata, permohonan penyewaan boleh dibuat kepada Ketua Pengarah Tanah dan Galian Negeri Perak manakala pajakan untuk pajakan boleh dipohon kepada Bahagian Harta Tanah Persekutuan Putrajaya.
Kepada soalan tambahan dari wakil rakyat yang sama mengenai Ladang Belia, beliau memberitahu, beberapa perbincangan telah diadakan, termasuk dengan pihak Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta FAMA.
Katanya, sekiranya di peringkat negeri, ia dilakukan melalui Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNPk), khususnya melibatkan kawasan tanah yang dimiliki oleh kerajaan Persekutuan yang tidak dibangunkan, sementara menanti masa projek yang telah dikenalpasti.
“Kita telah mengemukakan cadangan ini supaya ianya dapat digunakan untuk sementara bagi satu tempoh jangka masa yang diberikan,” ujarnya.

Thursday, August 20, 2015

Rombak Bos Gaurus!

Kecewa dengan prestasi buruk pasukan Perak sejak kebelakangan ini, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengarahkan supaya keseluruhan pasukan The Bos Gaurus dirombak.
Menurut beliau, rombakan itu bukan hanya melibatkan pemain tetapi juga di peringkat kejurulatihan dan pengurusan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA).
Dr Zambry berkata, jawatankuasa pengurusan yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan telah diminta untuk membuat penilaian daripada semua aspek.
“Amat mengecewakan saya apabila melihat persembahan Perak, di sebalik segala permasalahan yang telahpun saya bantu, saya selesaikan , namun kalau kita lihat corak permainan dan apa yang mereka tonjolkan itu, tidak sepadan dengan apa yang kita usahakan,” katanya di bilik media Dewan Negeri Perak pada Khamis.
Menteri Besar yang juga Penaung PAFA berkata, beliau telah mengarahkan Presiden PAFA, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin untuk mengambil tindakan tegas, termasuk terhadap pemain, jurulatih dan juga pengurusan.
Beliau memberitahu, kerajaan telah membelanjakan wang yang banyak untuk membantu membangunkan sukan nombor satu itu dengan harapan mereka bermain dengan baik dan bersungguh-sungguh.
“Rakyat negeri Perak secara keseluruhannya kecewa sangat-sangat dengan cara permainan yang mereka tonjolkan, oleh yang demikian saya tidak akan teragak-agak untuk melakukan apa saja bagi memastikan supaya imej bola sepak negeri Perak kita dapat dikembalikan semula, saya tidak boleh lagi bersabar.
“Dengan corak permainan yang saya sendiri tidak boleh terima, kalau main untuk main-main, tak payah mainlah,” tegas beliau.
Dalam pada itu, beliau turut menerima perletakan jawatan Khairul Azwan Harun sebagai Timbalan Presiden PAFA.
Sementara itu, Zainol berkata, beliau memahami luahan rasa kecewa Menteri Besar yang telah banyak membantu PAFA sehingga menyelesaikan hampir keseluruhan masalah, khususnya dari segi hutang dan gaji.
Beliau memberitahu, jawatankuasa pengurusan telah mengambil langkah pertama dengan merehatkan Pengurus merangkap Ketua Jurulatih, Datuk M. Karathu mulai 19 Julai lalu.
Beliau menambah, jawatankuasa itu akan bermesyuarat sekali lagi selepas berakhir Liga Super untuk membuat penilaian dan seterusnya mencadangkan tindakan yang boleh diambil.

Tuesday, August 18, 2015

GALERI: SEKITAR persidangan DUN Perak & pembentangan Rancangan Pembangunan Lima Tahun Negeri Perak RMK 11

ANTARA rakaman suasana hari pertama persidangan Dewan Undangan Negeri Perak pagi ini. YAB Menteri Besar membentangkan Rancangan Pembangunan Lima Tahun Negeri Perak di bawah RMK 11 yang mempunyai tujuh teras utama bagi menggariskan pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat untuk lima tahun akan datang.

















RMK11 Perak Bukan Omong Kosong

Perak menggariskan tujuh teras utama Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) bagi melipatgandakan lagi pertumbuhan ekonomi negeri menjelang tahun 2020.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menegaskan bahawa rancangan pembangunan bagi tempoh lima tahun antara 2016 hingga 2020 itu, bukan sekadar omong kosong.
Menurut beliau, pelan pembangunan itu akan dilaksanakan meliputi seluruh aspek ekonomi, sosial, pentadbiran dan lain-lain lagi.
“Kalau sesesuatu perkara itu tidak mencapai matlamatnya, ia bukan hanya boleh diletakkan kepada kerajaan semata mata kerana kita tahu dalam faktor perancangangan ekonomi kita terbuka.
“Kita tertakluk kepada ekonomi dunia kerana Malaysia berada dalam ekonomi dunia dan dalam konteks ekonomi yang terbuka, tentunya suasana yang berlaku di luar negara akan turut mempengaruhi dari segi kesan dan aliran ekonomi dunia.
“Begitu juga dengan faktor-faktor demokrasi, geopolitik yang berlaku di Perak dan Malaysia dan di peringkat antarabangsa,” katanya kepada pemberita di Bilik Media selepas persidangan Dewan Negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Selasa.
Menurut Dr Zambry, membentangkan Rancangan Pembangunan Lima Tahun Negeri Perak itu adalah antara pendekatan kerajaan negeri untuk memberikan penjelasan pra-perancangan yang akan dilaksanakan untuk tempoh lima tahun akan datang.
“Secara keseluruhannya, itu akan memberi rupa bentuk pembangunan dan pertumbuhan di negeri Perak dalam tempoh lima tahun akan datang menjelang 2020,” ujarnya.
Dr Zambry juga memberitahu bahawa kerajaan negeri sedang bekerjasama dengan Kemententian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di samping memberi fokus kepada bidang yang Perak mempunyai kelebihan untuk membawa masuk pelabur.
Beliau memberikan contoh bidang `maintenance, repair dan overhaul’ (MRO) yang mampu melonjakkan nama Perak.
“Perak telah dipilih untuk dijadikan pusat MRO bagi pesawat kecil dan kita telahpun mengadakan beberapa siri perbincangan dan diharapkan ia dapat dilaksanakan," tambahnya.
Dalam pada itu Menteri Besar berkata, kerajaan negeri tiada halangan sekiranya sebuah badan pemantauan ditubuhkan untuk mendapatkan maklum balas dan pandangan yang konstruktif bagi pelaksanaan rancangan berkenaan.

Monday, August 17, 2015

Setiap Ujian Ke Atas Umno Ada Hikmah

Anggota Umno perlu melihat segala masalah dan krisis yang melanda parti itu secara positif kerana ia bukanlah perkara asing kepada Umno sejak ia ditubuhkan pada 1946.
Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata sejak dahulu lagi, Umno sudah menghadapi pelbagai ujian dan krisis, namun ia sedikit pun tidak menghalang Umno untuk terus kekal sebagai parti utama dalam kerajaan hari ini.
"Umno melalui pelbagai ujian dan cabaran sejak ditubuhkan pada 1946 sehinggalah ke hari ini, namun setiap kali kita diuji, kita boleh lihat pada masa itulah kita kekal bersatu, itulah hikmah kepada Umno," katanya pada majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Dungun pada Sabtu.
Zambry yang juga Menteri Besar Perak berkata Umno hari ini menjadi kuat kerana telah banyak menempuh ujian dan cabaran, bukan sahaja dari luar malah dalam parti itu sendiri.
Katanya anggota Umno perlu lebih kuat dan bersemangat serta menjadikan segala krisis dan ujian sebagai panduan untuk terus mara ke hadapan sejajar dengan asas perjuangan parti untuk membela bangsa dan agama.
Beliau berkata anggota Umno sebenarnya menjadi lebih kuat setiap kali mereka berhadapan sesuatu krisis dan ia terbukti dalam senario politik di Terengganu dan Perak yang pernah jatuh kepada parti pembangkang.
Zambry berkata ketika dua negeri itu ditadbir oleh pembangkang, Umno dan bangsa Melayu kembali bangkit bersatu.
"Terengganu dan Perak boleh saya kata senasib, kita pernah kalah, Terengganu pada 1999 dan Perak 2004...bila kita kalah kita bangkit semula hari ini," katanya.
Beliau berkata slogan 'Gelombang Biru' yang bermula di Terengganu perlu dibangkitkan semula sebagaimana semangat itu pernah melanda seluruh negara pada Pilihan Raya Umum 2004.
"Saya yakin apa yang berlaku kepada Umno hari ini adalah ujian dan takdir daripada Allah kepada kita," katanya.

Saturday, August 15, 2015

Kekuatan UMNO di Tangan Ahli Akar Umbi

Barisan peneraju di peringkat akar umbi UMNO perlu bijak menggunakan pentas perwakilan untuk mengemukakan permasalahan rakyat kepada kepimpinan tertinggi dalam usaha memperbaiki kedudukan parti, khususnya menjelang pilihan raya umum akan datang.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin berkata, pucuk pimpinan sayap, termasuk Wanita, Pemuda dan Puteri harus berganding bahu dan jujur dalam menyuarakan pendapat masing-masing.

“Janganlah kita takut menggunakan pentas perwakilan untuk menyatakan apa sahaja kerana kita bukan berniat menyalahkan sesiapa, malah bukan juga bermaksud kita tidak menyokong institusi parti tetapi kita perlu cakap apa yang benar dan sampaikan suara rakyat kepada pemimpin.

“Kalau kita membisu dan buat seperti seolah-olah tidak masalah yang berlaku di luar sana, maka kita berkhayal di dunia sendiri kerana kita ingat UMNO kuat sedangkan pada hari ini UMNO dicabar dengan begitu hebat sekali,” katanya ketika berucap merasmikan serentak Mesyuarat Perwakilan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO Bahagian Lumut di Dewan Merdeka, Manjung pada malam Jumaat.

Jelasnya, ahli parti diingatkan agar tidak mengganggap populariti sedia ada sebagai penyumbang undi kepada pilihan raya akan datang.

“Kita anggap kita kuat kerana orang sayang pada UMNO, masih lagi sokong UMNO tetapi bagaimana dengan penerimaan orang yang ada di luar sana?

“Tiga juta ahli UMNO yang ada pada hari ini adalah amat penting, namun lebih penting adalah 15 juta orang pengundi yang tanpa sokongan mereka kita tidak akan menang pilihan raya akan datang,” tegasnya.

Katanya, rakyat kini akan menilai samada UMNO dapat memahami keresahan dan kebimbangan terhadap permasalahan seharian masing-masing dalam menentukan kepercayaan, keyakinan serta sokongan mereka terhadap sesebuah parti.

Tegasnya, dalam keadaan kritikal di mana parti sedang dilanda dengan gelombang isu tidak henti-henti pada hari ini, semua pihak harus bermuhasabah diri dan memikirkan cara terbaik dalam menyelesaikannya dari peringkat akar umbi.

Khairy berkata, segala pengorbanan dan perjuangan UMNO adalah untuk mempertahankan satu-satunya parti yang stabil dalam menjadi wadah kepada perjuangan Melayu di Malaysia.

“Kalau UMNO kalah, maka tidak ada lagi satu perjuangan untuk kesucian agama, bangsa dan negara, lihatlah contoh di mana Perak diperintah oleh pembangkang selama sembilan bulan, namun kita telah memenanginya semula, bukti memang UMNO lah pejuang ulung untuk agama Islam,

“Saya sedar bahawa apa sahaja yang berlaku pada UMNO, semua akan kekal menyokong dan tidak membiarkan ianya jatuh tetapi harus kita ingat, kita tidak boleh bergantung harap dan bersandarkan kepada status pembangkang sahaja.

“Kemenangan yang sebenar adalah bila kita kuat, apabila rakyat melihat kita kuat, apabila rakyat melihat kita lebih baik daripada mereka dan bukannya kerana kita buruk berbanding musuh,” ujarnya.

Khairy juga mengingatkan bahawa kesemua ahli UMNO tidaklah boleh bersikap alpa dan leka terhadap tempoh masa dua tahun setengah menuju ke pilihan raya akan datang.

Jelasnya, masa yang ada buat masa ini adalah peluang terbaik bagi kesemua kontinjen UMNO untuk turun padang dan menyelami masalah masyarakat agar dapat memadamkan kegusaran yang bersarang di dalam hati mereka.

“UMNO adalah parti rakyat, UMNO adalah parti akar umbi, parti ahli jadi kembalikanlah kekuatan akar umbi, suara akar umbi dan suarakanlahy apa yang terbuku dalam hati.

“Kalau kita berdiam tidak buat peduli, maka kegusaran rakyat akan bertambah malah menjadi kemarahan membara, menjadi penolakan dan penolakan itulah yang akan membuatkan kita kalah.

“Yang boleh menyelamatkan UMNO di Malaysia bukanlah teraju kepimpinan UMNO tetapi kesemua pucuk pimpinan akar umbi yang mengorbankan segalanya untuk parti, inilah masanya untuk kita bangkit dan memastikan bahawa UMNO terus maju, dan selamat,” katanya lagi.

Thursday, August 13, 2015

Perak Terima Lapan Pengiktirafan Warisan Kebangsaan

Perak menerima pengiktirafan lapan warisan kebangsaan yang bakal melonjakkan lagi industri pelancongan di negeri ini.


Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, empat warisan itu dalam bentuk tapak warisan manakala empat lagi dalam bentuk objek warisan.


Menurut beliau, empat tapak warisan itu ialah Bangunan Pejabat Daerah dan Tanah Larut Matang dan Selama (kategori bangunan & monumen), Gua Harimau, Gua Teluk Kelawar dan Pulau Kalumpang (kategori arkeologi).


“Empat lagi bagi objek warisan ialah Puteri Limau Purut (kategori busana), Bubur Anak Lebah, Kuih Bangkit dan juga Kebebe (kategori makanan),” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco di Ipoh pada Rabu.


Beliau memberitahu, lapan warisan itu merupakan di antara 112 butiran tersenarai sebagai Warisan Kebangsaan 2015 yang diumumkan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan baru-baru ini.


Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Nolee Ashilin Radzi berkata, pengiktirafan itu merupakan antara tertinggi di negara ini.


“Jadi sekiranya kita mahu membawa lapan butiran ini ke tahap lebih tinggi seperti UNESCO, maka ianya akan lebih senang dengan pengiktirafan yang diperoleh ini,” katanya dalam sidang media yang sama.


Tambah beliau, kerajaan negeri kini dalam perancangan untuk menaiktaraf fasiliti yang terdapat di empat lokasi terlibat bagi kemudahan pelancong.

Wednesday, August 12, 2015

Perak Gesa SKMM Tegas Terhadap Penyebar Maklumat Palsu

Perak menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan tegas terhadap pengguna media sosial yang menyebarkan maklumat palsu.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, jika perkara tersebut tidak ditangani dengan serius, ianya boleh mencetuskan suasana panik dan huru-hara di dalam negeri ini.
“Penyebaran maklumat dan gambar palsu dalam media sosial bagi tujuan mewujudkan suasana resah sejak akhir-akhir didapati semakin serius dan banyak diperlakukan.
“Contohnya, isu gajah mengamuk di Jeli yang menjadi viral baru-baru ini di aplikasi “Whatsapp” telah menyebabkan negara panik sedangkan perkara itu tidak pernah berlaku,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco di Ipoh pada Rabu.
Begitu juga, katanya, dengan isu puting beliung di Lumut yang kononnya telah menyebabkan kemusnahan teruk pada daerah berkenaan.
Jelas beliau, implikasi tidak bertanggungjawab itu telah menimbulkan perasaan tidak senang di kalangan penduduk dan kerajaan negeri memandang serius perkara berkenaan.
Justeru itu, katanya, kerajaan negeri akan mengarah pihak berkuasa khususnya SKMM mengenal pasti dalang-dalang yang menyebar maklumat palsu terbabit untuk dikenakan tindakan.
“Saya tidak akan biarkan perkara ini berlaku dan menjadi lebih serius. Pihak berkuasa perlu ambil tindakan kepada mereka yang mengambil kesempatan mewujudkan suasana takut di kalangan rakyat,” tegas beliau.
Dr Zambry juga tidak menolak kemungkinan tindakan tidak bertanggungjawab itu dirancang oleh pihak-pihak tertentu yang mahu melihat keadaan huru berlaku di dalam masyrakat.

Dr Zambry Arah Siasat Dakwaan Penjaja Dibuli

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir mengarahkan pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menyiasat isu kononnya penjaja wanita dibuli oleh pihak berkuasa MBI yang menjadi viral ketika ini.
Beliau berkata, siasatan itu perlu dilakukan dengan kadar segera dan kenyataan rasmi oleh pihak MBI harus dikeluarkan secepat mungkin.
“Perlu menyiasat sama ada apa yang dilaporkan itu betul atau tidak, kadang kala bila kita mengambil gambar begitu ada pihak-pihak akan mengunakannya bagi kepentingan masing-masing.
“Kita tidak sepatutnya mengambil gambar begitu dan terus buat satu kesimpulan yang menjadikannya satu isu sosial atau pun perkauman. Ianya sangat tidak baik,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Lembaga Air Perak di Ipoh pada Isnin.
Turut hadir Pengurus Besar LAP Datuk Ir Mohd Yusof Mohd Isa. Sementara itu, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man memberitahu, siasatan awal mendapati berita yang menjadi viral itu sengaja dicetuskan bagi mewujudkan persepi negatif terhadap MBI.
“Siasatan awal mendapati pihak berkuasa kita tidak melaksanakan seperti yang didakwa di media sosial ketika ini.
“Pegawai saya hanya berdiri dan difahamkan peniaga itu sendiri yang melakukan perkara tersebut, malangnya ada orang berkepentingan dengan niat negative ke atas MBI ambil gambar itu dan viralkan,” katanya pada sidang media yang sama.
Menurut beliau, satu perbincangan akan diadakan dengan pihak Hospital Raja Perempuan Bainun (HRPB) pada hari ini dan satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan dalam masa terdekat.
“Pegawai kita memang ada disitu ketika kejadian sebab terdapat ramai orang awam yang mengadu berlakukan kesesakan di hadapan Hospital.
“Tetapi saya tidak percaya jika kakitangan saya bertindak demikian. Kita selama ini sentiasa mengambil pendekatan mesra rakyat walaupun melakukan tugas,” jelas beliau.

Saturday, August 8, 2015

Jangan Dengar Fitnah, Bersatu Kukuhkan Parti

Ahli UMNO dinasihatkan supaya jangan mendengar fitnah yang disebarkan, sebaliknya kembali bersatu memperkukuhkan semula parti bagi menghadapi masa depan yang lebih panjang.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, ahli parti juga perlu memberi ruang dan peluang kepada pucuk pimpinan parti untuk menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku sekarang.
Menurut beliau, semua pihak tidak harus bertenang dan memberi yang terbaik kepada perjuangan parti, berazam dan bertawakal.
“Mungkin sesuatu yang kita anggap tidak elok tetapi mungkin boleh mendatangkan kebaikan dan mungkin sesuatu yang kita anggap elok tetapi mendatangkan keburukan,” katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Larut di Hotel Taiping Perdana pada Sabtu.
Dr Zambry mengingatkan bahawa perkara ini telah diperingatkan di dalam ayat 216 Surah al – Baqarah bahawa hanya Allah S.W.T sahaja yang maha mengetahui.
Menurutnya, ahli UMNO perlu redha dengan apa yang telah berlaku dan berusaha untuk memperbaiki keadaan supaya kembali tenang dan parti terus kukuh.
“Ini adalah sebahagian daripada cabaran parti dan kita perlu istiqamah kerana cabaran seumpama ini bukanlah perkara baru kerana UMNO pernah diharamkan pada tahun 1987 sehingga menyebabkan kita umpama anak ayam kehilangan ibu.
“Tetapi Alhamdulillah, berkat semangat dan kecintaan kepada parti mengatasi segala-galanya, kita berjaya mengharunginya,” ujar beliau.
Dr Zambry yakin, ahli-ahli UMNO di Perak mampu menghadapi isu yang berlaku sekarang kerana krisis 11 bulan kehilangan kuasa selepas pilihanraya umum 2008 telah menjadi pendinding yang kuat.

Friday, August 7, 2015

Kerajaan Tidak Akan Tunduk Tuntutan Peneroka Haram

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak akan tunduk dengan tuntutan peneroka haram yang menggunakan demonstrasi sebagai cara untuk memaksa kerajaan menyelesaikan masalah mereka.
Menurut Dr Zambry, tindakan mereka membuat demonstrasi dihadapan Bangunan Perak Darul Ridzuan baru-baru ini digerakkan oleh PartiSosialis Malaysia (PSM) untuk menggambarkan seolah-olah kerajaan negeri langsung tidak berbuat apa-apa untuk membantu petani.
Beliau berkata, cara itu adalah modus operandi kumpulan tersebut,yang bukan sahaja dilakukan di Ipoh, malah juga di Putrajaya dan dianjurkan berkali-kali sejak bertahun-tahun lalu.
“Minta maaf, ini bukan caranya dan saya tidak akan melayan mereka kerana sejak awal lagi, inilah cara mereka,” katanya kepada pemberita selepas majlis mengangkat sumpah menerima jawatan Datuk Zamri Man sebagai Datuk Bandar Ipoh ke – 10 di bangunan Majlis Bandaraya Ipoh pada Jumaat.
Dr Zambry yakin, kumpulan ini akan terus berbuat perkara-perkara yang pelik di masa-masa akan datang untuk menggambarkan kononnya mereka sahaja yang berjuang untuk membantu petani dan kerajaan negeri langsung tidak ambil peduli nasib golongan itu.
Beliau memberitahu, kerajaan negeri telah menyelesaikan beribu-ribu masalah petani, seperti masalah beribu ekar tanah di Coldstream yang telah diselesaikan oleh kerajaan negeri.
Bagaimanapun, kata beliau, terdapat kawasan yang diteroka secara haram yang tidak boleh diselesaikan kerana kerajaan juga mempunyai rancangan pembangunan di kawasan yang berkenaan.
“Kerajaan mengambil pendekatan untuk menyelesaikan masalah tetapi ada kawasan-kawasan tertentu yang kerajaan telah kenal pasti untuk tujuan pembangunan.
"Takkan Perak tidak boleh membangun, dengan tuntutan kawasan perumahan, rakyat hendak kemudahan seperti bandar baharu, jika tidak, rakyat akan menyalahkan kerajaan Perak kerana tidak berbuat apa-apa,” ujarnya.
Menteri Besar berkata, kerajaan sentiasa melaksanakan konsep pembangunan seimbang di negeri ini dan bersedia untuk menyelesaikan masalah di kawasan-kawasan yang masih belum mempunyai sebarang rancangan pembangunan.
“Kita jadikan konsep pembangunan kita secara seimbang tetapi untuk menuduh kerajaan tidak melakukan apa-apa untuk petani adalah keterlaluan,” tegas beliau.

Tunjuk Perasaan Petani Sekadar Permainan PSM – Dr Zambry

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyifatkan tindakan penunjuk perasaan dalam perhimpunan haram di pekarangan Bangunan Perak Darul Ridzuan pada pagi Rabu hanyalah sekadar modus operandi Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk memburukkan kerajaan negeri.
Menurut beliau, kebanyakan daripada mereka yang mengepalai perhimpunan haram itu terdiri daripada ahli PSM, bertujuan mengambil perhatian dan rakaman buat tatapan umum.
Beliau berkata, ia seolah-olah menjadi modus operandi PSM dalam menunjukkan betapa zalimnya kerajaan Barisan Nasional dan ia bukanlah kali pertama mereka berbuat demikian.
“Seperti semua sedia maklum, kita telah melaksanakan pelbagai program dan perancangan termasuk mewujudkan kawasan-kawasan pertanian tetapi kumpulan ini tidak akan berhenti kerana mereka mempunyai matlamat dan tujuan tersendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan program pecah tanah SM Tahfiz Darul Ridzuan daerah Batang Padang di Kg Sg Lesong pada Khamis.
Jelasnya, sejak menjadi Menteri Besar, kumpulan itu telah beberapa kali mengadakan tunjuk perasaan dengan mengusung kain rentang, membawa hasil pertanian dan membawa haiwan dalam kurungan, semata-mata untuk melaksanakan modus operandi dengan tujuan tersirat mereka.
Tambahnya, kumpulan penunjuk perasaan itu juga mengambil kesempatan dengan kelonggaran yang diberikan oleh pihak polis dengan cuba memecah masuk pintu masuk bangunan pentadbiran negeri sebelum ditahan pihak berkuasa.
“Kita nak layan macam mana kumpulan ini kerana rakyat serta petani tulen tahu apa yang telah dilakukan oleh pihak kerajaan negeri dalam menyelesaikan permasalahan di dalam kegiatan dan kawasan pertanian, memang mereka kita bantu selama ini.
“Justeru, saya meminta maaf tetapi saya tidak akan tunduk kepada kumpulan sebegini kerana ini bukan caranya, jangan cuba menggugut saya,” tegas beliau.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian, Perladangan, Penerangan dan Pembangunan Modal Insan, Datuk Saarani Mohamad berkata, semua petani tersebut haruslah menyedari bahawa tanah yang diusahakan selama ini adalah tetap hak milik tanah kerajaan.
“Mereka telah berpuluh tahun bercucuk tanam di situ, malah meneroka tanah kerajaan secara haram, mendapatkan hasil tetapi langsung tidak membayar apa-apa kepada kerajaan negeri.
“Mereka harus tahu, apabila kerajaan hendak membangunkan tanah tersebut maka ia boleh diambil tanpa sebarang pampasan, mereka boleh pergi ke mahkamah tetapi harus ingat bahawa telah mengusahakan tanah kerajaan secara haram selama ini,” ujarnya.
Menurut beliau, kerajaan negeri turut meluluskan sebahagian Lesen Pendudukan Sementara (TOL) di sesetengah kawasan pertanian, namun adalah menjadi hak kerajaan untuk mengambilnya semula bagi tujuan pembangunan pada bila-bila masa.
Beliau yakin, petani tersebut hanya diperalatkan oleh parti politik pembangkang untuk menarik perhatian kerajaan negeri berikutan ketiadaan isu melibatkan rakyat setempat yang boleh diketengahkan.

Thursday, August 6, 2015

Enam Menteri Penuh Diminta Bangunkan Perak

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meminta enam menteri penuh anak jati Perak menggunakan kedudukan mereka sebagai menteri Persekutuan untuk membawa pembangunan kepada negeri Perak.
Pada masa sama beliau mengingatkan supaya mereka tidak mengambil kesempatan daripada kedudukan masing-masing untuk kepentingan diri.
Sebaliknya menegaskan menggunakan kedudukan tersebut untuk membawa peruntukan yang boleh membawa lebih banyak pembangunan ke negeri ini.
Datuk Seri Ahmad Zahid berkata, beliau akan memantau tugas dan peranan yang dipertanggungjawabkan kepada mereka bagi emastikan negeri Perak benar-benar membangun.
"Walaupun saya baru dalam posisi ini tapi saya sudahpun perhatikan sejauh mana hendak membawa pembangunan, sejauh mana pula Ong Ka Chuan bawa, sejauh mana Mah Siew Keong bawa, sejauhmana Datuk Seri Husni bawa, dan sejauhmana Datuk Seri Nazri Aziz bawa.
"Saya tidak ada kuasa tetapi akan perhatikan kalau ada maklum balas daripada tuan-tuan dan puan-puan jika terdapat salah seorang daripada mereka tidak membawa pembangunan di Perak beritahu saya sebab saya berjanji pada diri saya dan berjanji dengan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak bahawa titah Tuanku untuk melihat anak-anak Perak yang berada diperingkat nasional mesti membantu negerinya daripada segi pembangunan.’’ katanya.
Datuk Seri Ahmad Zahid berkata demikian semasa berucap di Majlis Bersama Timbalan Perdana Menteri di kediaman rasmi Menteri Besar di Ipoh pada malam Rabu.
Hadir sama Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Dr Zambry Abd Kadir dan barisan kepimpinan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) negeri Perak.
Beliau turut mengingatkan anak-anak Perak yang dilantik menteri penuh supaya jangan lupa diri dengan kedudukan masing-masing.
Katanya mereka harus sentiasa ingat bahawa mereka berada di kedudukan sekarang atas takdir Allah dan sokongan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan pemimpin lain.

Pengstrukturan Semula Porfolio Perkemaskan Barisan Exco

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menjelaskan pengstrukturan semula beberapa portfolio Exco kerajaan negeri sebenarnya bertujuan memperkemaskan barisan dan bidang-bidang yang ada pada setiap anggota Exco.
Katanya, ini kerana beliau melihat di kalangan anggota Exco yang sedia ada, mempunyai kekuatan masing-masing dalam bidang-bidang tertentu, selain menunaikan janjinya untuk memberi pengupayaan kepada golongan muda dan wanita di negeri Perak.
Menurut beliau, pengstrukturan itu juga menunjukkan dasar kerajaan negeri yang mahu menjadi lebih inklusif dengan tidak melihat dari segi jantina sama ada dia lelaki atau dia perempuan tetapi lebih kepada keupayaan masing-masing.
“Begitu juga dalam kalangan Exco lelaki yang mempunyai kepakaran-kepakaran mereka dan saya juga telah turut mengurangkan dari segi tanggungjawab saya dengan mengambil tanggungjawab saya itu untuk diberikan kepada exco-exco yang lain untuk dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberi selepas majlis Pelancaran Program Ladang Belia Lekir Daerah Manjung, Mukim Lekir di pejabat Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak, Ipoh pada Selasa.
Dr Zambry memberi contoh pengupayaan golongan wanita dan belia di mana buat pertama kali seorang Exco wanita, Datuk Rusnah Kassim diberi tanggungjawab mengendalikan kerajaan tempatan.
Katanya, begitu juga Exco Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi diberi tanggungjawab tambahan untuk mengendalikan Komunikasi dan Multimedia.
Exco Kerajaan Negeri, Datuk Saarani Mohamad dalam sidang media kelmarin mengumumkan bahawa penstrukturan itu sudah pun dikuatkuasakan mulai 1 Ogos lalu tetapi tidak melibatkan perubahan dari segi keanggotaan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Menurut beliau, empat Exco Kerajaan Negeri kekal dengan portfolio sedia ada manakala tujuh yang lain termasuk Dr Zambry mempunyai pertambahan dan pertukaran.
Beliau memberitahu, semua exco sudah dimaklumkan pada Rabu yang lalu mengenai perubahan portfolio itu yang merupakan idea dan cetusan baharu Dr Zambry selepas pulang dari Havard baru-baru ini.

Spekulasi Digugurkan Hanya Mainan Spekulator Politik

Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menganggap spekulasi kononnya beliau bakal digugurkan sebagai Menteri Besar Perak berikutan rombakan kabinet 28 Julai lalu sebagai satu permainan spekulator politik, sama seperti spekulator mata wang.
Menurut beliau, spekulator politik itu memang gemar membuat spekulasi apabila melihat ada sedikit perubahan dalam suasana politik negara.
“Ini kerja-kerja sepkulator politik yang kerja mereka memang menjadi ahli spekulator sepertimana spekulator mata wang.
“Jadi dia lihat apabila ada sedikit perubahan maka diapun membuat spekulasi,” katanya kepada pemberita di majlis Pelancaran Program Ladang Belia Lekir, Daerah Manjung Mukim Lekir di pejabat Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak di Ipoh pada Selasa.
Malah menurut Dr Zambry, beliau tidak pernah panik dan terganggu ekoran spekulasi itu kerana sebagai Menteri Besar, beliau sentiasa menjalankan tanggungjawab menjaga rakyat di negeri Perak.
“Semua media lebih faham dan lebih maklum apa yang telah dan sedang saya laksanakan untuk rakyat di negeri Perak, maka sebab itu saya tidak pernah panik dan menjadi gelisah sebagainya,” ujarnya.
Dr Zambry memberitahu, spekulasi seumpama itu bukanlah pertama kali, malah pernah berlaku pada tahun 2012 dan 2013, kononnya beliau tidak lagi menjadi Menteri Besar.
Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menafikan spekulasi Dr Zambry bakal digugurkan sebagai Menteri Besar Perak.
Beliau turut menafikan spekulasi mengenai kedudukan dua lagi Menteri Besar yang dikatakan bakal tersingkir berikutan rombakan kabinet pada 28 Julai, iaitu Menteri Besar Kedah, Datuk Mukriz Mahathir dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Sultan Nazrin Dan Tuanku Zara Meriahkan Kayuhan Amal Maybank Islamic

Kayuhan amal anjuran Maybank Islamic dimeriahkan lagi dengan apabila Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan mencemar duli menyertai acara kayuhan 10 kilometer di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh, pada Ahad.
Turut sama mengiringi baginda, Menteri Besar, Dato' Seri Dr Zambry Abd Kadir bersama isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli.
Tidak ketinggalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Seri Abdul Puhat Mat Nayan, Pengerusi Maybank Islamic, Dato' Seri Ismail Shahudin serta barisan Exco Perak.
Acara berbasikal amal yang dinamakan "Cycle: Save A Child's Heart" dimulakan dengan pelepasan peserta oleh baginda seawal jam 7.30 pagi bagi kategori 120 kilometer dan kategori Terbuka 30 kilometer pada jam 8 pagi.
Program kayuhan pada tahun ini juga menyaksikan lebih 1,500 orang peserta yang mengambil bahagian dalam kategori masing-masing seperti 10 kilometer (VIP Ride), 30 kilometer (Fun Ride) dan 120 kilometer (Endurance Ride).
Menurut Ismail, kayuhan yang memasuki tahun kedua itu mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai, melebihi tahun sebelumnya.
Tahun ini dana sebanyak RM 100,000 berjaya dikutip hasil sumbangan masyarakat.
"Acara yang kita anjurkan hari ini merupakan antara tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihak kami (Maybank Islamic) untuk kanak-kanak yang mempunyai komplikasi penyakit jantung bukan sahaja di Malaysia tetapi juga ASEAN.
Kutipan ini juga disasarkan kepada keluarga yang tidak berkemampuan untuk menanggung kos rawatan anak mereka yang mendapat rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).
Selepas diadakan di Putrajaya dan Ipoh, acara kayuhan ini akan diperluaskan di seluruh Malaysia.
Ianya bukan sahaja mempromosikan kesihatan dan gaya hidup sihat kepada orang ramai bahkan menggalakkan mereka bersukan sebagai contoh dengan berbasikal," katanya.
Majlis berakhir kira-kira jam 12.30 tengahari dengan penyerahan replika cek sumbangan hasil kutipan yuran penyertaan "Cycle: Save A Child's Heart" kepada IJN.