a Tinjau Keadaan Banjir Hingga Lewat Malam ~ zambry.my

Friday, December 26, 2014

Tinjau Keadaan Banjir Hingga Lewat Malam

Cuti umum semalam tidak menghalang saya dan kepimpinan kerajaan negeri membuat tinjauan perkembangan mangsa-mangsa banjir di pusat-pusat pemindahan bencana di Perak Tengah, sehingga lewat malam tadi.

Diiringi oleh Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Gazali Jalal; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, Datuk Rusnah Kassim; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Islam, Pembangunan Sahsiah, Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belanja, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria dan ADUN Kampung Gajah, Ahmad Fauzi Abdullah.

Memulakan tinjauan banjir dari Sayong, Kuala Kangsar melalui Jalan Bekor – Senggang, singgah di Kampung Mandah yang terkesan dengan bencana banjir yang menenggelamkan 13 buah rumah penduduk.

Kemudian singgah bertanya khabar penduduk yang memilih untuk berlindung di atas jalan raya berdekatan rumah mereka walaupun ada pusat pemindahan bencana yang disediakan di kawasan bukit yang berhampiran.

Saya menumpang kenderaan pacuan empat roda penguatkuasa Pejabat Tanah dan Daerah Perak Tengah meredah air bah yang melimpahi jalanraya berhampiran kawasan kebun di Chopin sebelum sampai di lokasi iaitu pusat pemindahan bencana di SK Tanjung Belanja.

Di SK Tanjung Blanja, saya dan Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd. Zaim Abu Hasan mendengar taklimat oleh Pegawai Daerah Perak Tengah, Mad Dan Hassan sebelum menikmati hidangan istimewa Perak Tengah iaitu “puding roti kapai” bersama-sama penduduk yang dipindahkan.

Saya kemudiannya meninjau keadaan 699 penduduk yang dipindahkan ke dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Muzaffar Shah, Lambor Kanan.

Selepas itu bermesyuarat bersama Pegawai Daerah Perak Tengah, Mad Dan Hassan di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Kampung Gajah sebelum melawat penduduk yang dipindahkan di Dewan Serbaguna kompleks berkenaan.

Lawatan semalam berakhir di SK Dato’ Sagor yang menempatkan lebih 700 penduduk pada lewat malam.
 

0 comments:

Post a Comment