a Perak Tubuh Jawatankuasa Pasca Banjir ~ zambry.my

Wednesday, December 31, 2014

Perak Tubuh Jawatankuasa Pasca Banjir

Sebuah jawatankuasa pengurusan pasca banjir akan ditubuhkan bagi mengendalikan operasi pasca banjir di negeri Perak.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, jawatankuasa tersebut akan ditubuhkan melalui penyelarasan semua agensi dan jabatan kerajaan di negeri ini.
Menurut beliau, pengurusan pasca banjir amat penting kerana ianya melibatkan kerja lebih besar dan akan mempercepatkan proses pembersihan agar mangsa-mangsa banjir dapat kembali ke kediaman masing-masing.
"Saya memohon kerjasama daripada semua pihak agar dapat berganding bahu dan merancang pelan operasi pasca banjir selepas ini," katanya kepada pemberita ketika melawat Pejabat Majlis Keselamatan Negara(MKN) Perak, Bangunan KWSP, Greentown pada Selasa.
Dr Zambry berkata, cadangan tersebut telak dikemukakan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan akan dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.
Dalam pada itu, Dr Zambry berkata, perbincangan mengenai peningkatan aset bagi keperluan operasi pemindahan mangsa-mangsa banjir telah diadakan berdasarkan maklum balas daripada agensi dan jabatan terlibat.
"Kita mendapat tahu bahawa terdapat permintaan untuk mendapatkan bot, sampan dan kenderaan bagi memindahkan mangsa-mangsa banjir ke destinasi yang selamat.
"Oleh itu, kita telah mengajukan perkara ini kepada pihak tentera, bomba dan pertubuhan bukan kerajaan yang ingin memberikan sumbangan dalam bentuk keperluan pemindahan mangsa banjir," ujarnya.
Sementara itu, Dr Zambry memberitahu, bahawa jumlah terkini mangsa banjir di negeri Perak adalah seramai 7,664 orang dan bukannya 15,000 orang seperti yang diwar-warkan dalam media lain.
"Sebanyak 2,047 keluarga telah dipindahkan ke 57 pusat pemindahan di negeri ini dan dua pusat pemindahan baru telah dibuka di daerah Hulu Perak, iaitu Dewan Orang Ramai Kg. Perah dan Dewan Orang Ramai Kg. Bandariang melibatkan 53 orang," ujarnya.

0 comments:

Post a Comment