a 15,000 Hadiri Perasmian 1Malaysia Sikh Festival ~ zambry.my

Monday, December 15, 2014

15,000 Hadiri Perasmian 1Malaysia Sikh Festival

Cuaca hujan tidak menghalang Kira-kira 15,000 menghadiri majlis perasmian 1 Malaysia Sikh Festival - Punjabi Musical yang disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada malam Ahad.
Mengiringi baginda, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Sultan Nazrin tiba di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) kira-kira jam 8 malam, disambut Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.
Festival tersebut dimulakan dengan gimik perasmian Sultan Nazrin memukul dhol (gendang Sikh) di pentas utama dataran tersebut.
Baginda kemudiannya menyaksikan persembahan tarian daripada artis-artis tempatan dan luar negara bersama-sama dengan kenamaan yang hadir.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Integrasi Nasional, Hal Ehwal Bukan Islam, Datuk Dr Mah Hang Soon, ketua-ketua jabatan serta wakil-wakil media dari luar negara.
Sementara itu, Pengerusi penganjur program, Datuk Amarjit Singh Gill berkata, festival terbukti mendapat sokongan baik daripada orang ramai dan ianya di luar jangkaan.
"Sekurang-kurangnya 15,000 pengunjung daripada pelbagai kaum hadir walaupun dalam keadaan cuaca hujan dan kami amat berpuas hati kerana program ini berjaya mengetengahkan keunikan budaya kaum Punjabi kepada semua," katanya kepada PerakNews.
Menurutnya, program yang diadakan buat kali pertamanya di Malaysia itu turut menerima ratusan pengunjung daripada Thailand, Singapura, Vietnam, Brunei, India dan negara jiran terdekat.
Amarjit berkata, program pembuka tirai Malaysia Year of Festival ini diharap dapat menjadi pencetus semangat dan perintis kepada festival-festival lain yang bakal diadakan menjelang tahun 2015.
Bertemakan Punjabi Musical, program peringkat kebangsaan yang bermula sejak jam 5 petang itu turut memuatkan persembahan tarian, permainan alat muzik dan sajian makanan tradisional kaum Punjabi kepada pengunjung.

0 comments:

Post a Comment