a PeKA Diminta Wujudkan Lebih Banyak Peluang Pekerjaan ~ zambry.my

Wednesday, December 3, 2014

PeKA Diminta Wujudkan Lebih Banyak Peluang Pekerjaan

Pusat Kerjaya Amanjaya (PeKA) diminta terus memainkan peranan untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan penggangur di negeri Perak.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Sumber Manusia dan Masyarakat Sivil, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, pusat itu perlu mempunyai pelan strategik yang berkesan bagi mencapai matlamat tersebut.
Menurut beliau, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir telah mencadangkan supaya PeKA menubuhkan satu unit yang diketuai Institut Darul Ridzuan (IDR) agar PeKA dapat terus berkembang dan memenuhi kehendak semasa.
Selain itu, katanya, Dr Zambry telah membuat teguran dengan meminta PeKA mengambil langkah proaktif untuk menghebahkan peluang-peluang pekerjaan kepada rakyat Perak bagi memenuhi permintaan pemain-pemain industri di negeri ini.
"Kalau lihat di Perak, pencari kerja kebanyakkannya lepasan SPM, diikuti pemegang diploma dan ijazah, maka lepasan SPM yang tidak ke kolej dan universiti meningkat dari setahun ke setahun dan peluang ini mesti kita dedahkan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi Dr Zambry pada majlis pembukaan pejabat Pusat Kerjaya Amanjaya di Terminal Aman Jaya, Meru Raya pada Selasa. Hadir sama Ketua Eksekutif IDR, Dr Mazalan Khamis dan Ketua Eksekutif MB Inc. Datuk Aminuddin Hashim.
Menurut Samsudin, PeKA juga perlu bekerjasama dengan pusat-pusat latihan sedia ada supaya kehendak pemain-pemain industri di negeri ini dapat dipenuhi.
Beliau berkata, sejak ditubuhkan pada 2011 dan sehingga ke hari ini, PeKA telah melakar sejarah kerana berjaya mewujudkan 33,000 peluang pekerjaan untuk pencari pekerjaan yang mendaftar dengannya.
Katanya, setakat ini PeKA telah mendapatkan hampir 20,000 pekerjaan kepada pencari pekerjaan di seluruh Perak dengan sasaran 50,000 peluang pekerjaan yang bakal diwujudkan untuk satu penggal ini.

0 comments:

Post a Comment