a Wujudkan Ekosistem Bersepadu di Pangkor ~ zambry.my

Sunday, October 12, 2014

Wujudkan Ekosistem Bersepadu di Pangkor

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyarankan supaya pemain industri pelancongan di Pulau Pangkor bekerjasama mewujudkan satu ekosistem bersepadu di pulau peranginan itu.
Menurut beliau, ekosistem dalam industri pelancongan bermaksud rantaian kerjasama daripada pengusaha hotel dan resort sehinggalah kepada pengusaha gerai dan restoran di pulau tersebut.
Beliau berkata, pengusaha hotel dan peniaga di pulau itu lebih arif dengan aktiviti pelancongan kerana mereka lebih dekat dengan pelancong, sekaligus memahami keperluan ekosistem dalam industri itu.
"Ekosistem yang saya maksudkan adalah penglibatan daripada segala industri pelancongan yang ada di sini, kerana dengan perpaduan dan kesatuan ini akan naikkan nama Pangkor di mata dunia," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Malam Penghargaan Penggiat Industri Pelancongan Pulau Pangkor 2014 anjuran Persatuan Hotel&Resort di Arena Pangkor pada Sabtu malam.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri, Datuk Nolee Ashlin Mohamed Radzi dan Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Mirza Mohammad Taiyab.
Dr Zambry turut meminta semua pihak yang terlibat supaya bersama-sama menjadikan kawasan di Pangkor sebagai sebuah tempat bertaraf antarabangsa.
"Kita perlu berfikir 'out of the box' atau fikir di luar kotak untuk sama-sama majukan sektor pelancongan, industri ini juga yang memacu kepada sumber ekonomi negara.
"Sebagai contoh, taraf antarabangsa bukan bermaksud kita wujudkan bangunan pencakar langit atau hotel lima bintang, tetapi ianya menjurus kepada penjagaan alam semulajadi seperti 'coral' yang ada di sini," katanya.
Tambahnya, kebersihan merupakan kunci utama kepada kemajuan sesebuah tempat pelancongan kerana ia mencerminkan imej dan peribadi masyarakat di kawasan terbabit.
"Saya ambil contoh di Pulau Bali, mereka amat menitikberatkan aspek kebersihan pantai dan sama-sama mengekalkan nilai semulajadi pulau tersebut.
"Sebab itu, saya mahu pengusaha dan masyarakat di Pangkor bersatu dan bertanggungjawab untuk terapkan penjagaan kebersihan di sini, sama seperti di Bali," katanya.
Sejumlah 39 pengusaha hotel dan resort Pulau Pangkor diraikan dalam majlis ini,kesemua yang hadir menerima plak dan sijil penghargaan bagi menghargai usaha mereka dalam sektor pelancongan di Pulau Pangkor.

0 comments:

Post a Comment