a Kerajaan Gazet Hutan Pengeluaran Sebagai Hutan Simpan Kekal ~ zambry.my

Friday, October 17, 2014

Kerajaan Gazet Hutan Pengeluaran Sebagai Hutan Simpan Kekal

Kerajaan negeri terus komited dengan usaha mengekalkan kehijauan alam semulajadi di negeri ini dengan mengazetkan hutan pengeluaran pertanian seluas 18,886 hektar di Hulu Perak sebagai Hutan Simpan Kekal Amanjaya.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkta, langkah tersebut merupakan usaha serius kerajaan dalam memelihara dan mengekalkan kehijauan dengan memperluas kawasan hutan simpan.
Katanya selaras dengan langkah itu, kerja-kerja pemulihan termasuk penanaman semula sedang giat dijalankan oleh Jabatan Hutan.
"Hutan Simpan Amanjaya berkeluasan kira-kira 18,886 hektar dahulunya adalah hutan pengeluaran pertanian tetapi kini adalah hutan simpan kekal. Ini merupakan antara usaha kerajaan negeri dalam memperluaskan hutan simpan kekal di Perak," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan 'Royal Belum Intellectual Discourse bertemakan: Positioning Royal Belum As A World Class Tourism And Research Destination di Hotel Syuen, Ipoh pada Isnin.
Menurut Dr Zambry, usaha tersebut bukan sahaja dapat memelihara dan menjaga ekosistem hutan tetapi juga berupaya menggiatkan aktiviti penanaman semula hutan untuk kebaikan generasi akan datang.
Katanya, sebelum ini beliau telah mengarahkan penanaman semula sejuta pokok di kawasan hutan berkenaan sebagai permulaan dan kini telah masuk ke fasa kedua dengan penanaman dua juta pokok untuk generasi akan datang.
Bercakap mengenai program hari ini, kerajaan negeri, katanya, akan terus komited menyediakan kemudahan infrastruktur perhubungan yang baik di kawasan Hulu Perak khususnya dalam usaha menarik lebih ramai pelancong melawat Hutan Royal Belum di masa depan.
Menurut beliau, sebelum ini, kerajaan negeri telah melancarkan Pelan Pembangunan Bersepadu Royal Belum yang disediakan oleh Pihak Berkuasa Koridor Utara (NCIA).
"Kerajaan turut melihat aspek-aspek infrastruktur yang utama bagi membangunkan kawasan Hulu Perak agar ia mempunyai sistem perhubungan yang baik," jelasnya.
Dr Zambry berkata, cadangan bagi menaiktaraf dan melebarkan landasan Lapangan Terbang Gerik telah mendapat persetujuan Kerajaan Persekutuan untuk dilaksanakan di bawah kelolaan Jabatan kerja Raya (JKR).
"Kita masih lagi mengkaji cadangan tersebut serta melihat keperluan untuk mengubah kedudukan landasan lapangan terbang ke kawasan yang lebih sesuai tetapi ia perlu dibina dalam kawasan Gerik supaya mudah pengunjung untuk datang ke Royal Belum,'' katanya.
Menurut beliau kerajaan Pusat sudah memperuntukan sebanyak RM15 juta bagi tujuan menaiktaraf landasan Gerik.
Beliau mengharapkan apabila siapnya projek itu kelak, ia akan membolehkan kapal terbang yang berkapasiti sederhana mendarat dan memberi peluang kepada pelancong ke sana dengan lebih mudah.
Mengulas mengenai program tersebut katanya, program berbentuk intelektual itu memberikan pelbagai maklum balas dan pandangan kepada kerajaan negeri untuk menjadikan Royal Belum sebagai satu destinasi pelancongan utama dunia pada masa akan datang.
Ditanya sama ada cadangan untuk membuka Hutan Roral Belum kepada orang ramai dengan kawalan, katanya, ia tertakluk kepada beberapa syarat dan kedudukannya yang bersempadan dengan Thailand serta memerlukan pemantauan.
Dr Zambry berkata, pembangunan industri pelancongan berasaskan alam semulajadi juga mempunyai konsep tersendiri dari segi bilangan pengunjung yang boleh hadir pada satu-satu masa.
Beliau juga memberitahu, setakat ini, kerajaan negeri tidak mempunyai sebarang rancangan untuk melaksanakan projek pembangunan di Royal Belum sebaliknya usaha lebih tertumpu kepada menyediakan kemudahan serta memelihara keindahan alam semulajadinya.

0 comments:

Post a Comment