a Dr Zambry Minta Jabatan Hutan Pantau Aktiviti Pembalakan ~ zambry.my

Thursday, October 30, 2014

Dr Zambry Minta Jabatan Hutan Pantau Aktiviti Pembalakan

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir meminta pihak Jabatan Perhutanan supaya sentiasa berada di lapangan bagi membanteras kegiatan pembalakan haram di negeri ini.
Katanya, kerajaan negeri memandang serius aktiviti ini memandangkan ia memberi kesan buruk kepada ekosistem dan keadaan tanah di kawasan terbabit.
Beliau memberi contoh yang berlaku di Pengkalan Hulu baru-baru di mana hampir 700 ekar kawasan hutan balak ditebang tanpa kawalan.
"Di Pengkalan Hulu seperti mana yang saya diberitahu, kira-kira 700 ekar kawasan hutan balak telah ditebang dan dibersihkan, aktiviti ini juga mencurigakan.
"Oleh itu saya telah mengarahkan pihak Jabatan Hutan untuk mengambil tindakan segera bagi membuat siasatan berdasarkan maklumat yang diperoleh itu," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mensyuarat mingguan Exco di Bangunan Perak Darul Ridzuan, pada Khamis.
Dr Zambry menambah, perlunya pemantauan dari pihak Jabatan perhutanan kerana terdapat kegiatan pembalakan haram yang beroperasi secara berleluasa jauh di pedalaman dan dilakukan secara tersembunyi.
"Kita ada laksanakan langkah-langkah supaya perkara ini tidak lagi berlaku, namun tidak semuanya dapat dikekang. Oleh sebab itu saya mahu semua pihak yang berwajib berada di lapangan.
"Ada di antaranya yang jalankan pembalakan haram jauh di pedalaman, kadang-kadang dijalankan pada waktu malam, selalunya melibatkan kecurian kayu gaharu," kata beliau.
Menurut Dr Zambry, kerajaan negeri akan berusaha untuk menilai semula kelemahan yang ada terutama dari sudut peraturan berkenaan penebangan kayu balak bagi memastikan ianya dapat diatasi.
Sehubungan dengan itu, katanya lagi, kerajaan negeri akan meminta kerjasama masyarakat untuk turut membantu usaha kerajaan membanteras kegiatan tidak bertanggungjawab itu.
"Dari itu kita telah membuka ruang buat orang awam memaklumkan sebarang kegiatan pembalakan yang mencurigakan kepada pihak berwajib," katanya.

0 comments:

Post a Comment