a Kerajaan Pandang Serius Kegiatan Pembakaran Tayar Terbuka ~ zambry.my

Friday, October 17, 2014

Kerajaan Pandang Serius Kegiatan Pembakaran Tayar Terbuka

Kerajaan negeri memandang serius kegiatan pembakaran tayar secara terbuka oleh beberapa buah kilang tayar di negeri ini sehingga menjejaskan kesihatan orang ramai dan kualiti alam sekitar.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengilang tayar yang terbabit dalam kegiatan itu dengan mengambil tindakan tegas mengikut saluran undang-undang sedia ada.
Menurut beliau, kes kebakaran tayar yang dikesan di kawasan Gopeng seolah-olah menjadi seperti satu industri bagi mendapatkan bahan kitar semula daripada tayar terpakai seperti minyak untuk sumber tenaga pembuatan simen dan besi-besi keluli.
"Apa yang membimbangkan, menurut laporan yang kita terima daripada rakyat mengatakan ia telah memberi impak negatif kepada alam sekitar dengan penularan asap keluar akibat pembakaran tayar secara terbuka itu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Rabu.
Dr Zambry berkata, dalam mesyuarat perancang negeri baru-baru ini, kerajaan negeri telah mengarahkan pihak Jabatan Alam Sekitar untuk membuat siasatan segera bagi memastikan kegiatan pembakaran tayar itu tidak menjejaskan kesihatan orang ramai dan kualiti alam sekitar.
"Kita memandang serius perkara ini dan Jabatan Alam Sekitar berjanji untuk menjalankan siasatan segera dengan dibantu oleh Jabatan Alam Sekitar daripada Kuala Lumpur," ujarnya.

0 comments:

Post a Comment