a Tidak Perlu Cendermata Untuk Kenamaan ~ zambry.my

Wednesday, October 8, 2014

Tidak Perlu Cendermata Untuk Kenamaan

Semua jabatan kerajaan di negeri Perak tidak perlu menyediakan sebarang cenderamata untuk kenamaan yang menghadiri majlis atau program yang mereka anjurkan.
 
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, arahan itu turut melibatkan pemberiaan cenderamata kepada beliau sendiri, Exco kerajaan negeri dan ketua-ketua jabatan.
 
Menurut beliau, ia adalah selaras dengan permintaan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang tidak mahu dipersembahkan cenderamata dalam semua majlis yang baginda hadiri.
 
“Janganlah bersusah payah untuk mendapatkan cenderamata kepada Menteri Besar, Exco dan ketua jabatan yang datang merasmikan program yang dianjurkan oleh jabatan-jabatan kerajaan dalam apa program sekalipun di peringkat kerajaan negeri,” katanya.
 
Dr Zambry berkata demikian kepada pemberita selepas mem pengerusikan mesyuarat mingguan Exco di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Rabu.
 
Beliau diminta mengulas titah perintah Sultan Perak yang tidak mahu dipersembahkan cenderamata  dalam semua majlis yang dihadiri oleh baginda.
 
Beliau mengulangi kenyataan bahawa kerajaan negeri menjunjung kasih di atas titah perintah Sultan Perak untuk tidak menerima sebarang pemberian cenderamata dalam semua majlis yang dihadiri Tuanku.
 
“Lantaran itu saya telah pun memaklumkan kepada semua jabatan kerajaan termasuk apabila Menteri Besar pergi ke mesyuarat ataupun majlis perasmian elakkan perkara yang sama,” ujarnya.
 
Beliau berkata, arahan itu dikeluarkan kerana tidak mahu membebankan pihak penganjur yang mungkin terpaksa berbelanja besar untuk membeli hadiah atau cenderamata.
 

0 comments:

Post a Comment