a Malindo Air Mulakan Perkhidmatan di LTSAS ~ zambry.my

Saturday, October 4, 2014

Malindo Air Mulakan Perkhidmatan di LTSAS

Malindo Air memperkenalkan laluan penerbangan domestik baharu dengan menawarkan destinasi Subang – Ipoh pada harga serendah RM 49 sehala.
Syarikat penerbangan tambang murah itu telah melakukan penerbangan sulungnya dari Subang ke Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) pada Jumaat yang disambut oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir sendiri.
Dr Zambry berkata, dengan kemasukkan syarikat penerbangan tersebut, ia dilihat mampu merancakkan kembali industri penerbangan di LTSAS Ipoh.
Katanya, ia juga akan memberi banyak impak yang positif kepada bandar Ipoh dan Perak secara keseluruhannya dari segi pelancongan dan juga ekonomi.
Beliau memberitahu, kewujudan laluan baharu itu merupakan hasil daripada usaha kerajaan negeri untuk menyediakan kemudahan terbaik kepada penduduk dan juga pelancong.
"Ini merupakan hasil daripada perancangan rapi yang dilakukan oleh pihak kerajaan negeri selama ini dengan mengadakan beberapa siri perbincangan dengan syarikat-syarikat penerbangan.
"Perancangan ini adalah sebahagian daripada Pelan Perak Amanajaya kita, apabila kita merancang dalam industri pelancongan, kita turut memberi tumpuan kepada sektor-sektor yang lain seperti pembangunan ekonomi dan juga infra," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyambut penerbangan sulung tersebut di LTSAS yang turut dihadiri oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan Pengerusi Jawatankuasa Kesenian, Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Nolee Ashilin Radzi.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Malindo Air, Chandran Rama Murthy, Ipoh mempunyai potensi yang besar dalam aspek pelancongan dan pihaknya yakin dengan destinasi baharu itu, lebih ramai pelancong akan menggunakan penerbangan tersebut.
Katanya, pada 17 Oktober depan, Malindo Air juga akan memperkenalkan destinasi baharu seperti Ipoh – Johor Baharu dan Ipoh – Medan.
Selain itu, kata Chandran, pihaknya juga sedang mengkaji untuk meluaskan laluan penerbangannya dari Ipoh ke Langkawi dan Krabi, Thailand.
"Ipoh adalah satu bandar yang mempunyai pelbagai tarikkan dari segi pelancongan khususnya pada hari minggu, jadi kami berharap perancangan ini akan membuahkan hasil," ujarnya.

0 comments:

Post a Comment