a Perak Pastikan Projek Berkepentingan Rakyat Disegerakan ~ zambry.my

Sunday, October 12, 2014

Perak Pastikan Projek Berkepentingan Rakyat Disegerakan

Kerajaan negeri akan mempastikan segala perancangan yang diumumkan oleh Perdana Menteri yang membabitkan kepentingan rakyat Perak akan dilaksanakan dengan kadar segera sepanjang tempoh belanjawan tahun 2015.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, ini termasuklah pembinaan rumah untuk golongan nelayan, pembinaan hospital baharu di Seri Iskandar dan pembinaan Lebuhraya Pantai Barat.
Menurut beliau, kerajaan negeri amat berterima kasih kepada Datuk Seri Najib Tun Razak kerana memahami denyut nadi golongan keterbawahan seperti nelayan dan petani.
"Terima kasih saya ucapkan kepada Perdana Menteri kerana beliau memahami denyut nadi golongan nelayan, petani dan juga mereka yang mengusahakan tanaman kecil, pengusaha sawit dan getah yang ketika ini menghadapi masalah harga dipasaran," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengikuti pembentangan Bajet 2015 di kediaman rasmi Menteri Besar di Ipoh pada Jumaat.
Dr Zambry berkata, Perdana Menteri telah menjawab beberapa persoalan yang sebelum ini menjadi kegelisahaan rakyat, khususnya yang berkaitan dengan kenaikkan harga minyak dan GST yang bakal dilaksanakan.
Sementara itu Ketua Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pertanian negeri Perak, Datuk Ahmad Rizal Abdul Rahman menyifatkan Bajet 2015 sebagai belanjawan kesejahteraan rakyat termasuk dalam membantu pengusaha kecil dan sederhana meningkatkan peluang perniagaan.
"Lebih banyak galakan dan inisiatif serta bantuan diberikan dalam mengembangkan aktiviti SME seperti yang diumumkan dalam bajet pada kali ini.
"Kita akan membantu beberapa pengusaha kecil dan sederhana yang telah kita kenalpasti kita ketengahkan ke arah lebih tinggi," ujarnya.
Naib Presiden Majlis Belia Negeri Perak, Aswanudin Harifuddin pula berkata, tiga perkara utama yang menjadi kerisauan golongan belia iaitu kos sara hidup, perumahan dan latihan telah diumumkan oleh Perdana Menteri.
"Terima kasih kepada Perdana Menteri di atas bajet yang diumumkan, kami golongan belia amat bersyukur kerana ia menepati apa yang belia mahukan," katanya.

0 comments:

Post a Comment