a Perak Jadi Contoh Pembangunan Pendidikan Islam ~ zambry.my

Friday, October 17, 2014

Perak Jadi Contoh Pembangunan Pendidikan Islam

Kerajaan negeri mahu menjadikan Perak sebagai contoh kepada negeri-negeri lain dalam usaha membangunkan pendidikan Islam dengan lebih baik dan sistematik.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, antara usaha yang telah dilakukan oleh kerajaan negeri ialah mewujudkan Maahad Tahfiz di setiap daerah di samping maahad tahfiz yang sedia wujud.
Menurut beliau, setakat ini dua buah maahad tahfiz telah dibina iaitu di Lenggong (daerah Hulu Perak) dan di Pangkor (Manjung).
"Adalah menjadi wawasan dan visi kita untuk membangunkan pendididkan Islam di negeri ini menjadi cukup baik dan sistematik," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Kewangan Pembangunan Projek Ransangan Khas Kementerian Pendidikan Malaysia kepada sekolah-sekolah agama rakyat, tahfiz dan SAR KAFA negeri Perak di kediaman rasminya di Ipoh malam Khamis.
Hadir sama Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Ghazali Jalal, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Islam, Pembangunan Sahsiah, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria, Ketua Sektor Bantuan Agama Kementerian Pendidikan Malaysia, Mohd Zaki Hamid, Pengarah Pendidikan Perak, Idris Ramli dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Datuk Mohd Yusop Husin.
Pada majlis itu, Dr Zambry menerima cek bernilai RM2,897,500 untuk bantuan kewangan pembangunan projek ransangan khas bagi SMAR, SRAR dan tahfiz di samping RM347,532.40 untuk bantuan aktiviti murid SAR KAFA.
Menurut beliau, selain daripada bantuan Kementerian Pendidikan, sekolah-sekolah agama di Perak turut memperolehi sumber kewangan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).
Beliau memberitahu, berkat usaha yang dijalankan oleh MAIPk, jumlah kutipan zakat telah meningkat dari tahun ke tahun, daripada sekitar RM70 juta dahulu kepada kira-kira RM120 juta sekarang.
Dr Zambry turut mencadangkan agar pemberian bantuan kewangan daripada Kementerian Pendidikan dilakukan secara satu kepada satu (one to one) dengan bantuan yang disalurkan oleh kerajaan negeri.
"Maknanya jika kerajaan negeri menyalurkan seringgit, kementerian juga salurkan seringgit jika kerajaan negeri RM20 juta, kementerian juga salurkan RM20 juta," jelas beliau.
Sementara itu, Mohd Zaki di dalam ucapannya berharap bantuan kewangan itu akan digunakan untuk projek pembaikan sekolah agama di negeri ini di samping pembelian alat bantuan pengajaran dan pembelajaran.

0 comments:

Post a Comment