a Bandar Tasik Amanjaya Mercu Tanda Baharu Perak ~ zambry.my

Thursday, October 9, 2014

Bandar Tasik Amanjaya Mercu Tanda Baharu Perak

Bandar Tasik Amanjaya ( BTA) bakal menjadi mercu tanda baharu negeri Perak berikutan pembangunan bandar holistik yang seimbang serta dapat memenuhi keperluan masa kini.
Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Incorporated (MB Inc), Datuk Aminudin Hashim berkata, bandar baharu itu yang dibangunkan bersama anak syarikat Putrajaya Perdana Berhad, Putra Perdana Development Sdn Bhd (PPDSB), merupakan perancangan yang diilhamkan di dalam pelan untuk membangunkan sebuah projek yang dapat memenuhi keperluan moden masyarakat setempat.
Menurut beliau, pembangunan BTA berpegang kepada prinsip dan elemen 'kemampanan, kehidupan dan identiti' sebagai konsepnya bersesuaian dengan matlamat untuk memenuhi cita rasa pelbagai lapisan masyarakat.
"Ini adalah untuk membolehkan agar setiap rakyat di negeri ini dapat merasai kelebihan bandar ini yang akan menjadi 'trademark' negeri Perak, negeri yang kini sedang berkembang dari pelbagai sudut baik ekonomi dan sosial," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pelancaran Bandar Tasik Amanjaya yang disempurnakan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir di Tronoh, pada Khamis.
Aminudin yakin pembangunan BTA akan meletakkan Perak di mata dunia berikutan kelestarian pembangunan yang seimbang dari segi kediaman, pendidikan, pusat rekreasi dan sistem keselamatan yang berkualiti tinggi.
Sementara iru, Pengerusi Eksekutif Putrajaya Perdana Berhad, Datuk Rosman Abdullah berkata, pihaknya akan memberi penekanan khusus terhadap persekitaran mesra alam dan konsep teknologi hijau dalam memastikan satu pembangunan yang mampan
"Konsep bandar hijau menjadi elemen utama pembangunan BTA dalam memastikan bandar ini bukan sahaja memenuhi keperluan masa kini dari segi kediaman, pusat rekreasi dan sebagainya tetapi juga dapat mengambil kira kesan terhadap alam sekitar dan memberikan keselesaan maksima.
"Kita ingin memastikan apa yang kita lakukan pada hari ini tidak akan menggangu kualiti hidup generasi akan datang bahkan untuk memudahkan lagi hidup mereka," katanya.
Beliau menjelaskan, BTA meliputi lebih 23 peratus kawasan hijau dan air (green spaces and water bodies) iaitu satu peratusan yang tinggi berbanding pembangunan perumahan yang lain.
Menurutnya, dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM2.2 bilion, BTA akan dibangunkan sepenuhnya dalam tempoh 15 tahun bermula pada tahun ini dan akan menampilkan pembangunan komponen pertama yang terdiri daripada rumah persaraan dan rumah mampu milik seluas 480.26 ekar.
Terdahulu, Dr Zambry turut menyampaikan surat tawaran kepada 20 pembeli pertama unit perumahan Aman Anggerik, salah satu komponen BTA yang terdiri daripada 238 unit kediaman mampu milik.

0 comments:

Post a Comment