a Tiada Kompromi Soal Keselamatan – Dr Zambry ~ zambry.my

Thursday, October 23, 2014

Tiada Kompromi Soal Keselamatan – Dr Zambry

Kerajaan negeri Perak tidak akan berkompromi dan melindungi mana-mana pihak dalam soal yang melibatkan keselamatan rakyat di negeri ini.
Sehubungan itu, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir meminta pihak berkuasa, khususnya Polis Di Raja Malaysia (PDRM), menjalankan siasatan terperinci mengenai perkara tersebut.
Menurut beliau, kerajaan negeri memandang serius perkara itu dan berharap pihak polis menjalankan siasatan menyeluruh kerana mereka lebih memahami senario sebenar perkara tersebut.
Beliau berkata, siasatan itu perlu bagi membuktikan sama ada dakwaan yang dibuat itu benar atau tidak dan semua pihak perlu mengambil positif tanpa menuding jari kepada mana-mana pihak.
"Kerajaan negeri dengan sejelas-jelasnya tidak akan melindungi mana-mana pihak termasuk seperti mana yang disebutkan oleh YB Menteri mengatakan ada di kalangan ahli-ahli politik yang terlibat umpamanya juga kita tidak akan melindungi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke dua buah rumah warga miskin yang menyambut Deepavali di Manjung pada Rabu.
Baru-baru ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, terdapat ahli politik dipercayai dibiayai dengan hasil pendapatan daripada pusat perjudian haram di tiga kawasan iaitu pekan Kuala Sepetang, Bagan Panchor dan Pulau Kuala Sangga di Perak.
Sebelum itu, sebuah akhbar turut melaporkan bahawa terdapat kegiatan kongsi gelap ala mafia di Kuala Sepetang yang dikatakan kebal dari sebarang tindakan.
Bagaimanapun, Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk A. Paramasivam berkata, kegiatan kongsi gelap dan jenayah di kawasan itu memang ada tetapi belum sampai ke tahap yang membimbangkan.

0 comments:

Post a Comment