a PIDD Bincang Idea Baharu Pembangunan Negeri Perak ~ zambry.my

Tuesday, October 21, 2014

PIDD Bincang Idea Baharu Pembangunan Negeri Perak

Dialog Pembangunan Antarabangsa Pangkor (PIDD) akan digunakan sebagai platform untuk membincangkan pelbagai idea dan cadangan baharu bagi pembangunan negeri Perak khususnya dan Malaysia amnya.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, perbincangan itu melibatkan pemimpin, pembuat dasar, pemain industri dan juga tokoh pemikir yang dijemput khas dari serata dunia.
"Kita mengharapkan dengan beberapa pandangan dan cadangan yang bakal kita perolehi nanti, akan dapat membantu kita untuk merancang dan membangunkan Perak dan Malaysia secara amnya," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan dialog tersebut di Swiss Garden Resort & Spa, Damai Laut, Lumut pada Isnin.
Dialog selama tiga hari ini mengumpul tokoh-tokoh pemikir pelbagai bidang untuk membincangkan cadangan bagi pembangunan sosio-ekonomi.
Turut hadir pada dialog tersebut ialah barisan Exco kerajaan negeri, ketua-ketua jabatan dan lebih 400 para hadirin yang dijemput khas.
Dr. Zambry memberitahu, dialog yang bertema Tadbir Urus Yang Baik Untuk Kemakmuran Inklusif itu juga merupakan usaha kerajaan negeri untuk menjadikan Perak sebagai platform antarabangsa untuk berdialog dan perhimpunan intelektual.
Jelas beliau, dengan penganjuran dialog peringkat antarabangsa itu, ia akan memperkenalkan Pangkor dan Perak secara amnya ke persada dunia.
Beliau memberi contoh, banyak forum telah diadakan di tempat-tempat yang tidak dikenali tetapi akhirnya menjadi terkenal di seluruh dunia selepas beberapa kali menjadi tuan rumah persidangan antarabangsa
"Jadi kita mengharapkan dengan adanya PIDD ini, kita akan meletakkan negeri Perak di persada antarabangsa, bukan sahaja di peringkat kebangsaan," kata Dr Zambry.
Antara nama besar yang menghadiri dialog tersebut ialah pakar inovasi dan strategi persaingan dari Jepun, Morinosuke Kawaguchi dan pakar ekonomi dan kemajuan teknologi, Profesor Rajah Rasiah.

0 comments:

Post a Comment