a Buka Ruang Golongan Muda Lahirkan Sukarelawan Politik ~ zambry.my

Monday, October 20, 2014

Buka Ruang Golongan Muda Lahirkan Sukarelawan Politik

UMNO mesti membuka ruang dan peluang kepada golongan muda untuk aktif di dalam kegiatan politik bagi melahirkan golongan sukarelawan politik yang berupaya membantu parti menghadapi peperangan politik di media sosial.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, UMNO di semua peringkat mesti membuka ruang kepada golongan muda untuk mereka aktif berpolitik dan dibimbing menghayati perjuangan UMNO secara mendalam.

Beliau berkata, kewujudan golongan sukarelawan siber dari kalangan golongan muda perlu kerana penglibatan mereka boleh menentukan survival parti itu di masa hadapan.

Dr Zambry yang juga Ketua UMNO Bahagian Lumut memberi contoh, peranan sukarelawan siber yang telah menyumbang kepada kemenangan parti Jokowi di Indonesia dan juga parti di India dalam pilihan raya umum negara itu baru baru ini.

"Peranan generasi muda dilihat sangat penting dan dengan lahirnya golongan yang dipanggil sukarelawan politik, bagaimana mereka ini yakin dengan idealisma perjuangan sesebuah parti yang apabila ada pemimpin yang  memberikan harapan  dan ruang kepada mereka, pastinya mereka akan bergerak secara sukarela walau di manapun berada," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Parit Buntar di Dewan Merdeka Parit Buntar pada Sabtu. 

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Parit Buntar, Abu Bakar Mat Ali.

Dr Zambry berharap UMNO di semua peringkat, bukan hanya di Parit Buntar hendaklah memberi ruang seluas-luasnya kepada golongan muda, baik lelaki mahupun perempuan untuk turut serta aktif di dalam politik UMNO ini

"Saya yakin sekiranya ruang diberi maka mereka akan dapat memberi sumbangan yang bermakna kepada perjuangan parti,’’ katanya.

Beliau turut mengulangi penekanan tentang pentingnya diberi perhatian soal perpaduan di kalangan ahli dan ketaatan kepada pemimpin dalam menjamin kemantapan parti.

Beliau juga yakin dengan kedudukan UMNO Parit Buntar yang stabil dan mantap, Barisan Nasional (BN) mampu merampas kembali kerusi Parlimen Parit Buntar dan dua DUN iaitu Kuala Kurau dan Titi Serong yang kini dikuasai pembangkang pada pilihan raya umum  akan datang.

0 comments:

Post a Comment