a Ipoh Mega TTS Dalam Kalendar Pelancongan Perak ~ zambry.my

Sunday, November 2, 2014

Ipoh Mega TTS Dalam Kalendar Pelancongan Perak

Kerajaan negeri Perak akan memasukan program Ipoh Mega TTS 2014 ke dalam kalendar pelancongan negeri, kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Menurut beliau, secara dasarnya kerajaan negeri telah bersetuju dengan cadangan tersebut kerana ia dilihat dapat mempromosikan Perak dari segi pelancongan dalam negara.
Kata beliau, selain mempromosi, perhimpunan seperti itu juga dapat memberi pendedahan kepada peserta-pesertanya yang datang daripada seluruh pelusuk negara mengenai Perak.
“Kerajaan negeri amat mengalu-alukan perhimpunan skuter seperti ini dan secara dasarnya kita bersetuju memasukan program ini ke dalam kalendar pelancongan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan perhimpunan tersebut di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh pada malam Sabtu.
Pada program tersebut, Dr Zambry turut menyertai konvoi bersama-sama hampir 500 peserta perhimpunan itu dari Masjid Sultan Azlan Shah ke Dataran Bandaraya Ipoh bagi tujuan perasmian.
Ipoh Mega TTS 2014 merupakan program perhimpunan ahli kelab pemilik motosikal kategori skuter seluruh negara bagi tujuan membina rangkaian yang lebih erat di antara ahlinya.
Menurut Presiden Ipoh Scooter Riders (ISR), Mohd Zawawi Mohd Ansop, program yang masuk kali ketiga penganjurannya itu telah mengumpul hampir 600 ahli kelab skuter seluruh negara.
Katanya, program tersebut diadakan bagi memperkenalkan Ipoh khususnya, serta negeri Perak secara amnya dari kaca mata pelancongan.
Ipoh Mega TTS 2014 merupakan program yang dianjurkan oleh ISR dengan kerjasama Ifrad Adventure, DWau Travel dan DRB-Hicom.

0 comments:

Post a Comment