a October 2014 ~ zambry.my

Thursday, October 30, 2014

Dr Zambry Minta Jabatan Hutan Pantau Aktiviti Pembalakan

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir meminta pihak Jabatan Perhutanan supaya sentiasa berada di lapangan bagi membanteras kegiatan pembalakan haram di negeri ini.
Katanya, kerajaan negeri memandang serius aktiviti ini memandangkan ia memberi kesan buruk kepada ekosistem dan keadaan tanah di kawasan terbabit.
Beliau memberi contoh yang berlaku di Pengkalan Hulu baru-baru di mana hampir 700 ekar kawasan hutan balak ditebang tanpa kawalan.
"Di Pengkalan Hulu seperti mana yang saya diberitahu, kira-kira 700 ekar kawasan hutan balak telah ditebang dan dibersihkan, aktiviti ini juga mencurigakan.
"Oleh itu saya telah mengarahkan pihak Jabatan Hutan untuk mengambil tindakan segera bagi membuat siasatan berdasarkan maklumat yang diperoleh itu," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mensyuarat mingguan Exco di Bangunan Perak Darul Ridzuan, pada Khamis.
Dr Zambry menambah, perlunya pemantauan dari pihak Jabatan perhutanan kerana terdapat kegiatan pembalakan haram yang beroperasi secara berleluasa jauh di pedalaman dan dilakukan secara tersembunyi.
"Kita ada laksanakan langkah-langkah supaya perkara ini tidak lagi berlaku, namun tidak semuanya dapat dikekang. Oleh sebab itu saya mahu semua pihak yang berwajib berada di lapangan.
"Ada di antaranya yang jalankan pembalakan haram jauh di pedalaman, kadang-kadang dijalankan pada waktu malam, selalunya melibatkan kecurian kayu gaharu," kata beliau.
Menurut Dr Zambry, kerajaan negeri akan berusaha untuk menilai semula kelemahan yang ada terutama dari sudut peraturan berkenaan penebangan kayu balak bagi memastikan ianya dapat diatasi.
Sehubungan dengan itu, katanya lagi, kerajaan negeri akan meminta kerjasama masyarakat untuk turut membantu usaha kerajaan membanteras kegiatan tidak bertanggungjawab itu.
"Dari itu kita telah membuka ruang buat orang awam memaklumkan sebarang kegiatan pembalakan yang mencurigakan kepada pihak berwajib," katanya.

Wednesday, October 29, 2014

Usaha Dr Zambry Tangani Kemiskinan Diiktiraf Dunia Kewangan Islam

Usaha Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menangani masalah kemiskinan di Perak mendapat pengiktirafan dunia kewangan Islam apabila dipilih sebagai penerima Anugerah Khas Kewangan Islam Global 2014 (GIFA) yang berlangsung di Dubai, pada Isnin malam.
Menurut kenyataan pejabat Menteri Besar Perak yang dikeluarkan pada Selasa, Zambry diiktiraf sebagai pemimpin contoh atas sumbangan beliau menangani isu kemiskinan dengan mengilhamkan penubuhan Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR).
Panel pemilihan GIFA yang diketuai Pengerusi GIFA Prof Humayon Dar memilih Zambry berdasarkan pembentangan kertas kerjanya yang bertajuk 'Membina Keupayaan Rakyat Miskin di Negeri Perak: Cara YBU' semasa Simposium Ekonomi Global 2014 (GES) di Kuala Lumpur, September lepas.
Anugerah tersebut turut diberikan atas komitmen dan kejayaan negeri Perak dalam menjalankan tanggungjawab sosial Islam (ISR) di negeri itu.
Beliau menerima anugerah tersebut daripada Gabenor Bank Negara Kazakhtan, Kairat Kelimbetov dalam majlis makan malam gala.
Dalam ucapannya, Zambry berkata anugerah tersebut merupakan pengiktirafan peringkat antarabangsa atas usaha keras kerajaan negeri menangani isu kemiskinan di Perak.
"Meskipun usaha kita selama ini telah diiktiraf di peringkat global melalui penganugerahan GIFA ini, namun ia tidak bermakna kita harus bersenang-lenang," katanya.
Anugerah tersebut perlu dijadikan pembakar semangat untuk menggandakan usaha mencapai matlamat memastikan tiada lagi rakyat yang tertinggal, tiada lagi rakyat Perak yang terpinggir, katanya.
YBUDR yang didaftarkan pada 2009, merupakan ilham Zambry dalam usaha beliau menangani masalah kemiskinan dan isu berkaitan sosioekonomi penduduk Perak melalui pelbagai program seperti Skim Kredit Mikro, sistem pajak gadai Islam Ar-Rahnu dan pemberian kotak makanan.
Sejak penubuhannya sehingga 2012, YBU berjaya mengurangkan kadar kemiskinan tegar di negeri Perak daripada 0.5 peratus kepada 0.2 peratus.
GIFA merupakan antara anugerah paling berprestij dalam industri perkhidmatan kewangan Islam. Anugerah tersebut diberikan kepada individu dan organisasi yang dipilih atas kejayaan serta amalan terbaik dalam sektor kewangan Islam.
Bagi tahun ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dipilih menerima anugerah tertinggi untuk tokoh pemimpin negara manakala Presiden Republik Kazakhstan Nursultan Nazarbayev menerima anugerah bagi ketegori individu.
Majlis penyampaian anugerah tersebut diadakan sebelum pembukaan Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) ke-10 yang berlangsung di Pusat Persidangan Madinat Jumeirah, dari 28 hingga 30 Okt ini.

Friday, October 24, 2014

Salam Maal Hijrah


SELAMAT MENYAMBUT MAAL HIJRAH 1436H "PERPADUAN NADI TRANSFORMASI NEGARA"

Thursday, October 23, 2014

Tiada Kompromi Soal Keselamatan – Dr Zambry

Kerajaan negeri Perak tidak akan berkompromi dan melindungi mana-mana pihak dalam soal yang melibatkan keselamatan rakyat di negeri ini.
Sehubungan itu, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir meminta pihak berkuasa, khususnya Polis Di Raja Malaysia (PDRM), menjalankan siasatan terperinci mengenai perkara tersebut.
Menurut beliau, kerajaan negeri memandang serius perkara itu dan berharap pihak polis menjalankan siasatan menyeluruh kerana mereka lebih memahami senario sebenar perkara tersebut.
Beliau berkata, siasatan itu perlu bagi membuktikan sama ada dakwaan yang dibuat itu benar atau tidak dan semua pihak perlu mengambil positif tanpa menuding jari kepada mana-mana pihak.
"Kerajaan negeri dengan sejelas-jelasnya tidak akan melindungi mana-mana pihak termasuk seperti mana yang disebutkan oleh YB Menteri mengatakan ada di kalangan ahli-ahli politik yang terlibat umpamanya juga kita tidak akan melindungi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke dua buah rumah warga miskin yang menyambut Deepavali di Manjung pada Rabu.
Baru-baru ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, terdapat ahli politik dipercayai dibiayai dengan hasil pendapatan daripada pusat perjudian haram di tiga kawasan iaitu pekan Kuala Sepetang, Bagan Panchor dan Pulau Kuala Sangga di Perak.
Sebelum itu, sebuah akhbar turut melaporkan bahawa terdapat kegiatan kongsi gelap ala mafia di Kuala Sepetang yang dikatakan kebal dari sebarang tindakan.
Bagaimanapun, Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk A. Paramasivam berkata, kegiatan kongsi gelap dan jenayah di kawasan itu memang ada tetapi belum sampai ke tahap yang membimbangkan.

Tuesday, October 21, 2014

PIDD Bincang Idea Baharu Pembangunan Negeri Perak

Dialog Pembangunan Antarabangsa Pangkor (PIDD) akan digunakan sebagai platform untuk membincangkan pelbagai idea dan cadangan baharu bagi pembangunan negeri Perak khususnya dan Malaysia amnya.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, perbincangan itu melibatkan pemimpin, pembuat dasar, pemain industri dan juga tokoh pemikir yang dijemput khas dari serata dunia.
"Kita mengharapkan dengan beberapa pandangan dan cadangan yang bakal kita perolehi nanti, akan dapat membantu kita untuk merancang dan membangunkan Perak dan Malaysia secara amnya," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan dialog tersebut di Swiss Garden Resort & Spa, Damai Laut, Lumut pada Isnin.
Dialog selama tiga hari ini mengumpul tokoh-tokoh pemikir pelbagai bidang untuk membincangkan cadangan bagi pembangunan sosio-ekonomi.
Turut hadir pada dialog tersebut ialah barisan Exco kerajaan negeri, ketua-ketua jabatan dan lebih 400 para hadirin yang dijemput khas.
Dr. Zambry memberitahu, dialog yang bertema Tadbir Urus Yang Baik Untuk Kemakmuran Inklusif itu juga merupakan usaha kerajaan negeri untuk menjadikan Perak sebagai platform antarabangsa untuk berdialog dan perhimpunan intelektual.
Jelas beliau, dengan penganjuran dialog peringkat antarabangsa itu, ia akan memperkenalkan Pangkor dan Perak secara amnya ke persada dunia.
Beliau memberi contoh, banyak forum telah diadakan di tempat-tempat yang tidak dikenali tetapi akhirnya menjadi terkenal di seluruh dunia selepas beberapa kali menjadi tuan rumah persidangan antarabangsa
"Jadi kita mengharapkan dengan adanya PIDD ini, kita akan meletakkan negeri Perak di persada antarabangsa, bukan sahaja di peringkat kebangsaan," kata Dr Zambry.
Antara nama besar yang menghadiri dialog tersebut ialah pakar inovasi dan strategi persaingan dari Jepun, Morinosuke Kawaguchi dan pakar ekonomi dan kemajuan teknologi, Profesor Rajah Rasiah.

Tadbir Urus Cekap Kunci Kemakmuran Negara

Tadbir urus yang buruk akan melumpuhkan pentadbiran dan organisasi manakala tadbir urus yang cekap akan memberi kemakmuran kepada negara, kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Menurut beliau, isu tadbir urus cekap demi kemakmuran inklusif menjadi sesuatu perkara yang semakin mencabar dan rumit, justeru ia memerlukan perhatian yang teliti agar ia tidak melumpuhkan sesuatu organisasi dan juga pentadbiran.
Dr Zambry berkata, terdapat beberapa organisasi dan pentadbiran yang besar boleh dikaitan dengan isu tersebut, seperti kes syarikat gergasi tenaga global multinasional, Enron yang muflis akibat tadbir urus yang lemah.
Sebaliknya memuji pentabiran Turki yang berjaya mengurus tadbir negara itu sehingga menjadi salah satu negara yang mempunyai kuasa dunia dalam ekonomi dan juga politik.
"Turki pernah satu ketika dahulu sosio ekonominya hampir musnah dan dalam keadaan terdesak, tetapi kerana tadbir urusnya yang baik selama 12 tahun, kini ia mampu menjadi antara kuasa besar dunia," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena Dialog Pembangunan Antarabangsa Pangkor (PIDD) di Lumut pada Isnin.
Menyentuh soal negara pula, Dr. Zambry berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak amat komited dalam mencapai pentadbiran yang berkualiti dan berintegeriti bagi memastikan Malaysia terus kompetitif.
Katanya, Najib telah mengambil beberapa langkah berani dalam membuat dasar-dasar negara bagi memastikan tadbir urus pentadbiran dapat dijalankan secara cekap dan berkesan.
Selain tu, Dr. Zambry turut menyentuh pentadbiran negeri Perak di mana ketika beliau mengambil tampok kepimpinan pada tahun 2009, tadbir urus yang cekap merupakan salah satu perkara yang dititik beratkannya.
Beliau berkata, pelbagai inisiatif telah dibuat olehnya seperti mewujudkan Institut Darul Ridzuan (IDR) bagi melihat semula model pembangunan dan juga polisi sedia ada negeri untuk membantu rakyat menjana pendapatan.
Selain itu, katanya, bagi membantu golongan tidak berkemampuan pula, kerajaan negeri telah mewujudkan Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBU).
"Saya juga telah mengadakan mesyuarat bersama Exco setiap minggu dan disebabkan mesyuarat itu diadakan secara kerap, kita kini telah berjaya menyelesaikan sebanyak 15,000 dokumen di peringkat exco dan tiada lagi "backlog files," ujarnya.
Dr. Zambry telah merasmikan PIDD 2014 di Swiss Garden Resort & Spa, Damai Laut yang disertai oleh lebih 400 tokoh pelbagai bidang dari dalam dan juga luar negara.

Monday, October 20, 2014

Buka Ruang Golongan Muda Lahirkan Sukarelawan Politik

UMNO mesti membuka ruang dan peluang kepada golongan muda untuk aktif di dalam kegiatan politik bagi melahirkan golongan sukarelawan politik yang berupaya membantu parti menghadapi peperangan politik di media sosial.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, UMNO di semua peringkat mesti membuka ruang kepada golongan muda untuk mereka aktif berpolitik dan dibimbing menghayati perjuangan UMNO secara mendalam.

Beliau berkata, kewujudan golongan sukarelawan siber dari kalangan golongan muda perlu kerana penglibatan mereka boleh menentukan survival parti itu di masa hadapan.

Dr Zambry yang juga Ketua UMNO Bahagian Lumut memberi contoh, peranan sukarelawan siber yang telah menyumbang kepada kemenangan parti Jokowi di Indonesia dan juga parti di India dalam pilihan raya umum negara itu baru baru ini.

"Peranan generasi muda dilihat sangat penting dan dengan lahirnya golongan yang dipanggil sukarelawan politik, bagaimana mereka ini yakin dengan idealisma perjuangan sesebuah parti yang apabila ada pemimpin yang  memberikan harapan  dan ruang kepada mereka, pastinya mereka akan bergerak secara sukarela walau di manapun berada," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Parit Buntar di Dewan Merdeka Parit Buntar pada Sabtu. 

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Parit Buntar, Abu Bakar Mat Ali.

Dr Zambry berharap UMNO di semua peringkat, bukan hanya di Parit Buntar hendaklah memberi ruang seluas-luasnya kepada golongan muda, baik lelaki mahupun perempuan untuk turut serta aktif di dalam politik UMNO ini

"Saya yakin sekiranya ruang diberi maka mereka akan dapat memberi sumbangan yang bermakna kepada perjuangan parti,’’ katanya.

Beliau turut mengulangi penekanan tentang pentingnya diberi perhatian soal perpaduan di kalangan ahli dan ketaatan kepada pemimpin dalam menjamin kemantapan parti.

Beliau juga yakin dengan kedudukan UMNO Parit Buntar yang stabil dan mantap, Barisan Nasional (BN) mampu merampas kembali kerusi Parlimen Parit Buntar dan dua DUN iaitu Kuala Kurau dan Titi Serong yang kini dikuasai pembangkang pada pilihan raya umum  akan datang.

Friday, October 17, 2014

Perak Jadi Contoh Pembangunan Pendidikan Islam

Kerajaan negeri mahu menjadikan Perak sebagai contoh kepada negeri-negeri lain dalam usaha membangunkan pendidikan Islam dengan lebih baik dan sistematik.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, antara usaha yang telah dilakukan oleh kerajaan negeri ialah mewujudkan Maahad Tahfiz di setiap daerah di samping maahad tahfiz yang sedia wujud.
Menurut beliau, setakat ini dua buah maahad tahfiz telah dibina iaitu di Lenggong (daerah Hulu Perak) dan di Pangkor (Manjung).
"Adalah menjadi wawasan dan visi kita untuk membangunkan pendididkan Islam di negeri ini menjadi cukup baik dan sistematik," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Kewangan Pembangunan Projek Ransangan Khas Kementerian Pendidikan Malaysia kepada sekolah-sekolah agama rakyat, tahfiz dan SAR KAFA negeri Perak di kediaman rasminya di Ipoh malam Khamis.
Hadir sama Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Ghazali Jalal, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Islam, Pembangunan Sahsiah, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria, Ketua Sektor Bantuan Agama Kementerian Pendidikan Malaysia, Mohd Zaki Hamid, Pengarah Pendidikan Perak, Idris Ramli dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Datuk Mohd Yusop Husin.
Pada majlis itu, Dr Zambry menerima cek bernilai RM2,897,500 untuk bantuan kewangan pembangunan projek ransangan khas bagi SMAR, SRAR dan tahfiz di samping RM347,532.40 untuk bantuan aktiviti murid SAR KAFA.
Menurut beliau, selain daripada bantuan Kementerian Pendidikan, sekolah-sekolah agama di Perak turut memperolehi sumber kewangan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).
Beliau memberitahu, berkat usaha yang dijalankan oleh MAIPk, jumlah kutipan zakat telah meningkat dari tahun ke tahun, daripada sekitar RM70 juta dahulu kepada kira-kira RM120 juta sekarang.
Dr Zambry turut mencadangkan agar pemberian bantuan kewangan daripada Kementerian Pendidikan dilakukan secara satu kepada satu (one to one) dengan bantuan yang disalurkan oleh kerajaan negeri.
"Maknanya jika kerajaan negeri menyalurkan seringgit, kementerian juga salurkan seringgit jika kerajaan negeri RM20 juta, kementerian juga salurkan RM20 juta," jelas beliau.
Sementara itu, Mohd Zaki di dalam ucapannya berharap bantuan kewangan itu akan digunakan untuk projek pembaikan sekolah agama di negeri ini di samping pembelian alat bantuan pengajaran dan pembelajaran.

Kerajaan Pandang Serius Kegiatan Pembakaran Tayar Terbuka

Kerajaan negeri memandang serius kegiatan pembakaran tayar secara terbuka oleh beberapa buah kilang tayar di negeri ini sehingga menjejaskan kesihatan orang ramai dan kualiti alam sekitar.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengilang tayar yang terbabit dalam kegiatan itu dengan mengambil tindakan tegas mengikut saluran undang-undang sedia ada.
Menurut beliau, kes kebakaran tayar yang dikesan di kawasan Gopeng seolah-olah menjadi seperti satu industri bagi mendapatkan bahan kitar semula daripada tayar terpakai seperti minyak untuk sumber tenaga pembuatan simen dan besi-besi keluli.
"Apa yang membimbangkan, menurut laporan yang kita terima daripada rakyat mengatakan ia telah memberi impak negatif kepada alam sekitar dengan penularan asap keluar akibat pembakaran tayar secara terbuka itu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Rabu.
Dr Zambry berkata, dalam mesyuarat perancang negeri baru-baru ini, kerajaan negeri telah mengarahkan pihak Jabatan Alam Sekitar untuk membuat siasatan segera bagi memastikan kegiatan pembakaran tayar itu tidak menjejaskan kesihatan orang ramai dan kualiti alam sekitar.
"Kita memandang serius perkara ini dan Jabatan Alam Sekitar berjanji untuk menjalankan siasatan segera dengan dibantu oleh Jabatan Alam Sekitar daripada Kuala Lumpur," ujarnya.

Kerajaan Gazet Hutan Pengeluaran Sebagai Hutan Simpan Kekal

Kerajaan negeri terus komited dengan usaha mengekalkan kehijauan alam semulajadi di negeri ini dengan mengazetkan hutan pengeluaran pertanian seluas 18,886 hektar di Hulu Perak sebagai Hutan Simpan Kekal Amanjaya.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkta, langkah tersebut merupakan usaha serius kerajaan dalam memelihara dan mengekalkan kehijauan dengan memperluas kawasan hutan simpan.
Katanya selaras dengan langkah itu, kerja-kerja pemulihan termasuk penanaman semula sedang giat dijalankan oleh Jabatan Hutan.
"Hutan Simpan Amanjaya berkeluasan kira-kira 18,886 hektar dahulunya adalah hutan pengeluaran pertanian tetapi kini adalah hutan simpan kekal. Ini merupakan antara usaha kerajaan negeri dalam memperluaskan hutan simpan kekal di Perak," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan 'Royal Belum Intellectual Discourse bertemakan: Positioning Royal Belum As A World Class Tourism And Research Destination di Hotel Syuen, Ipoh pada Isnin.
Menurut Dr Zambry, usaha tersebut bukan sahaja dapat memelihara dan menjaga ekosistem hutan tetapi juga berupaya menggiatkan aktiviti penanaman semula hutan untuk kebaikan generasi akan datang.
Katanya, sebelum ini beliau telah mengarahkan penanaman semula sejuta pokok di kawasan hutan berkenaan sebagai permulaan dan kini telah masuk ke fasa kedua dengan penanaman dua juta pokok untuk generasi akan datang.
Bercakap mengenai program hari ini, kerajaan negeri, katanya, akan terus komited menyediakan kemudahan infrastruktur perhubungan yang baik di kawasan Hulu Perak khususnya dalam usaha menarik lebih ramai pelancong melawat Hutan Royal Belum di masa depan.
Menurut beliau, sebelum ini, kerajaan negeri telah melancarkan Pelan Pembangunan Bersepadu Royal Belum yang disediakan oleh Pihak Berkuasa Koridor Utara (NCIA).
"Kerajaan turut melihat aspek-aspek infrastruktur yang utama bagi membangunkan kawasan Hulu Perak agar ia mempunyai sistem perhubungan yang baik," jelasnya.
Dr Zambry berkata, cadangan bagi menaiktaraf dan melebarkan landasan Lapangan Terbang Gerik telah mendapat persetujuan Kerajaan Persekutuan untuk dilaksanakan di bawah kelolaan Jabatan kerja Raya (JKR).
"Kita masih lagi mengkaji cadangan tersebut serta melihat keperluan untuk mengubah kedudukan landasan lapangan terbang ke kawasan yang lebih sesuai tetapi ia perlu dibina dalam kawasan Gerik supaya mudah pengunjung untuk datang ke Royal Belum,'' katanya.
Menurut beliau kerajaan Pusat sudah memperuntukan sebanyak RM15 juta bagi tujuan menaiktaraf landasan Gerik.
Beliau mengharapkan apabila siapnya projek itu kelak, ia akan membolehkan kapal terbang yang berkapasiti sederhana mendarat dan memberi peluang kepada pelancong ke sana dengan lebih mudah.
Mengulas mengenai program tersebut katanya, program berbentuk intelektual itu memberikan pelbagai maklum balas dan pandangan kepada kerajaan negeri untuk menjadikan Royal Belum sebagai satu destinasi pelancongan utama dunia pada masa akan datang.
Ditanya sama ada cadangan untuk membuka Hutan Roral Belum kepada orang ramai dengan kawalan, katanya, ia tertakluk kepada beberapa syarat dan kedudukannya yang bersempadan dengan Thailand serta memerlukan pemantauan.
Dr Zambry berkata, pembangunan industri pelancongan berasaskan alam semulajadi juga mempunyai konsep tersendiri dari segi bilangan pengunjung yang boleh hadir pada satu-satu masa.
Beliau juga memberitahu, setakat ini, kerajaan negeri tidak mempunyai sebarang rancangan untuk melaksanakan projek pembangunan di Royal Belum sebaliknya usaha lebih tertumpu kepada menyediakan kemudahan serta memelihara keindahan alam semulajadinya.

Sunday, October 12, 2014

Wujudkan Ekosistem Bersepadu di Pangkor

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyarankan supaya pemain industri pelancongan di Pulau Pangkor bekerjasama mewujudkan satu ekosistem bersepadu di pulau peranginan itu.
Menurut beliau, ekosistem dalam industri pelancongan bermaksud rantaian kerjasama daripada pengusaha hotel dan resort sehinggalah kepada pengusaha gerai dan restoran di pulau tersebut.
Beliau berkata, pengusaha hotel dan peniaga di pulau itu lebih arif dengan aktiviti pelancongan kerana mereka lebih dekat dengan pelancong, sekaligus memahami keperluan ekosistem dalam industri itu.
"Ekosistem yang saya maksudkan adalah penglibatan daripada segala industri pelancongan yang ada di sini, kerana dengan perpaduan dan kesatuan ini akan naikkan nama Pangkor di mata dunia," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Malam Penghargaan Penggiat Industri Pelancongan Pulau Pangkor 2014 anjuran Persatuan Hotel&Resort di Arena Pangkor pada Sabtu malam.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri, Datuk Nolee Ashlin Mohamed Radzi dan Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Mirza Mohammad Taiyab.
Dr Zambry turut meminta semua pihak yang terlibat supaya bersama-sama menjadikan kawasan di Pangkor sebagai sebuah tempat bertaraf antarabangsa.
"Kita perlu berfikir 'out of the box' atau fikir di luar kotak untuk sama-sama majukan sektor pelancongan, industri ini juga yang memacu kepada sumber ekonomi negara.
"Sebagai contoh, taraf antarabangsa bukan bermaksud kita wujudkan bangunan pencakar langit atau hotel lima bintang, tetapi ianya menjurus kepada penjagaan alam semulajadi seperti 'coral' yang ada di sini," katanya.
Tambahnya, kebersihan merupakan kunci utama kepada kemajuan sesebuah tempat pelancongan kerana ia mencerminkan imej dan peribadi masyarakat di kawasan terbabit.
"Saya ambil contoh di Pulau Bali, mereka amat menitikberatkan aspek kebersihan pantai dan sama-sama mengekalkan nilai semulajadi pulau tersebut.
"Sebab itu, saya mahu pengusaha dan masyarakat di Pangkor bersatu dan bertanggungjawab untuk terapkan penjagaan kebersihan di sini, sama seperti di Bali," katanya.
Sejumlah 39 pengusaha hotel dan resort Pulau Pangkor diraikan dalam majlis ini,kesemua yang hadir menerima plak dan sijil penghargaan bagi menghargai usaha mereka dalam sektor pelancongan di Pulau Pangkor.

Perak Pastikan Projek Berkepentingan Rakyat Disegerakan

Kerajaan negeri akan mempastikan segala perancangan yang diumumkan oleh Perdana Menteri yang membabitkan kepentingan rakyat Perak akan dilaksanakan dengan kadar segera sepanjang tempoh belanjawan tahun 2015.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, ini termasuklah pembinaan rumah untuk golongan nelayan, pembinaan hospital baharu di Seri Iskandar dan pembinaan Lebuhraya Pantai Barat.
Menurut beliau, kerajaan negeri amat berterima kasih kepada Datuk Seri Najib Tun Razak kerana memahami denyut nadi golongan keterbawahan seperti nelayan dan petani.
"Terima kasih saya ucapkan kepada Perdana Menteri kerana beliau memahami denyut nadi golongan nelayan, petani dan juga mereka yang mengusahakan tanaman kecil, pengusaha sawit dan getah yang ketika ini menghadapi masalah harga dipasaran," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengikuti pembentangan Bajet 2015 di kediaman rasmi Menteri Besar di Ipoh pada Jumaat.
Dr Zambry berkata, Perdana Menteri telah menjawab beberapa persoalan yang sebelum ini menjadi kegelisahaan rakyat, khususnya yang berkaitan dengan kenaikkan harga minyak dan GST yang bakal dilaksanakan.
Sementara itu Ketua Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pertanian negeri Perak, Datuk Ahmad Rizal Abdul Rahman menyifatkan Bajet 2015 sebagai belanjawan kesejahteraan rakyat termasuk dalam membantu pengusaha kecil dan sederhana meningkatkan peluang perniagaan.
"Lebih banyak galakan dan inisiatif serta bantuan diberikan dalam mengembangkan aktiviti SME seperti yang diumumkan dalam bajet pada kali ini.
"Kita akan membantu beberapa pengusaha kecil dan sederhana yang telah kita kenalpasti kita ketengahkan ke arah lebih tinggi," ujarnya.
Naib Presiden Majlis Belia Negeri Perak, Aswanudin Harifuddin pula berkata, tiga perkara utama yang menjadi kerisauan golongan belia iaitu kos sara hidup, perumahan dan latihan telah diumumkan oleh Perdana Menteri.
"Terima kasih kepada Perdana Menteri di atas bajet yang diumumkan, kami golongan belia amat bersyukur kerana ia menepati apa yang belia mahukan," katanya.

Friday, October 10, 2014

Rakyat Harus Bangga Dengan Bahasa Malaysia

YAB Menteri Besar, Dr Zambry Abd Kadir berkata fungsi bahasa harus dilihat bukan hanya dari segi kepentingan komunikasi tetapi sebagai identiti bangsa.
"Sejarah membuktikan bahawa tamadun besar dunia dikenalpasti daripada bahasanya.
"Tamadun Islam dikenali dengan keagungan bahasa Arabnya, Cina dengan bahasa Cinanya, dan India dengan Sanskrit, Hindi dan Tamilnya.
"Malah bahasa itu sendiri menggalakkan perkembangan tamadun tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian di majlis pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2014 peringkat Negeri Perak di Manjung pada Jumaat.
Turut hadir Datuk Dr Awang Sariyan, ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka.
Tambah Dr Zambry Bahasa Malaysia merupakan bahasa "lingua franca", maksudnya merentasi bangsa. Pada suatu ketika Bahasa Melayu dituturkan oleh semua pedagang daripada seluruh pelusuk dunia yang berdagang di Tanah Melayu khususnya Melaka. Apatah lagi yang asalnya daripada nusantara seperti Indonesia, Thailand dan seluruh kepulauan Melayu.
Beliau berkata amat mengecewakan jika kita rakyat Malaysia sendiri tidak mampu berbahasa Malaysia dengan baik dan betul, sedangkan kini, rakyat di negara luar mampu bertutur bahasa kita.
"Saya rimas, kalau ada yang masih mempertikaikan penggunaan Bahasa Melayu malah ada yang menyatakan penggunaan Bahasa Melayu dalam menamakan tempat-tempat, pembinaan projek perumahan tidak memberi nilai komersial yang tinggi.
"Inilah masalah yang kita sedang hadapi. Nilai asas penjajahan yang menjadikan kita mempunyai jatidiri kecil (inferiority complex)".
Bulan bahasa kebangsaan merupakan lanjutan dan kesinambungan kepada kempen minggu bahasa dan bulan bahasa Kebangsaan yang mula diadakan pada awal 1960an. Program merupakan salah satu usaha negara untuk membina dan memupuk kesedaran dan keyakinan masyarakat tentang pentingnya bahasa kebangsaan dalam membina sebuah negara bangsa yang berdaulat.
Bulan bahasa kebangsaan berlangsung sepanjang bulan Oktober dengan pelbagai aktiviti dijalankan di seluruh negara.

Thursday, October 9, 2014

Bandar Tasik Amanjaya Mercu Tanda Baharu Perak

Bandar Tasik Amanjaya ( BTA) bakal menjadi mercu tanda baharu negeri Perak berikutan pembangunan bandar holistik yang seimbang serta dapat memenuhi keperluan masa kini.
Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Incorporated (MB Inc), Datuk Aminudin Hashim berkata, bandar baharu itu yang dibangunkan bersama anak syarikat Putrajaya Perdana Berhad, Putra Perdana Development Sdn Bhd (PPDSB), merupakan perancangan yang diilhamkan di dalam pelan untuk membangunkan sebuah projek yang dapat memenuhi keperluan moden masyarakat setempat.
Menurut beliau, pembangunan BTA berpegang kepada prinsip dan elemen 'kemampanan, kehidupan dan identiti' sebagai konsepnya bersesuaian dengan matlamat untuk memenuhi cita rasa pelbagai lapisan masyarakat.
"Ini adalah untuk membolehkan agar setiap rakyat di negeri ini dapat merasai kelebihan bandar ini yang akan menjadi 'trademark' negeri Perak, negeri yang kini sedang berkembang dari pelbagai sudut baik ekonomi dan sosial," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pelancaran Bandar Tasik Amanjaya yang disempurnakan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir di Tronoh, pada Khamis.
Aminudin yakin pembangunan BTA akan meletakkan Perak di mata dunia berikutan kelestarian pembangunan yang seimbang dari segi kediaman, pendidikan, pusat rekreasi dan sistem keselamatan yang berkualiti tinggi.
Sementara iru, Pengerusi Eksekutif Putrajaya Perdana Berhad, Datuk Rosman Abdullah berkata, pihaknya akan memberi penekanan khusus terhadap persekitaran mesra alam dan konsep teknologi hijau dalam memastikan satu pembangunan yang mampan
"Konsep bandar hijau menjadi elemen utama pembangunan BTA dalam memastikan bandar ini bukan sahaja memenuhi keperluan masa kini dari segi kediaman, pusat rekreasi dan sebagainya tetapi juga dapat mengambil kira kesan terhadap alam sekitar dan memberikan keselesaan maksima.
"Kita ingin memastikan apa yang kita lakukan pada hari ini tidak akan menggangu kualiti hidup generasi akan datang bahkan untuk memudahkan lagi hidup mereka," katanya.
Beliau menjelaskan, BTA meliputi lebih 23 peratus kawasan hijau dan air (green spaces and water bodies) iaitu satu peratusan yang tinggi berbanding pembangunan perumahan yang lain.
Menurutnya, dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM2.2 bilion, BTA akan dibangunkan sepenuhnya dalam tempoh 15 tahun bermula pada tahun ini dan akan menampilkan pembangunan komponen pertama yang terdiri daripada rumah persaraan dan rumah mampu milik seluas 480.26 ekar.
Terdahulu, Dr Zambry turut menyampaikan surat tawaran kepada 20 pembeli pertama unit perumahan Aman Anggerik, salah satu komponen BTA yang terdiri daripada 238 unit kediaman mampu milik.

Wednesday, October 8, 2014

Tidak Perlu Cendermata Untuk Kenamaan

Semua jabatan kerajaan di negeri Perak tidak perlu menyediakan sebarang cenderamata untuk kenamaan yang menghadiri majlis atau program yang mereka anjurkan.
 
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, arahan itu turut melibatkan pemberiaan cenderamata kepada beliau sendiri, Exco kerajaan negeri dan ketua-ketua jabatan.
 
Menurut beliau, ia adalah selaras dengan permintaan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang tidak mahu dipersembahkan cenderamata dalam semua majlis yang baginda hadiri.
 
“Janganlah bersusah payah untuk mendapatkan cenderamata kepada Menteri Besar, Exco dan ketua jabatan yang datang merasmikan program yang dianjurkan oleh jabatan-jabatan kerajaan dalam apa program sekalipun di peringkat kerajaan negeri,” katanya.
 
Dr Zambry berkata demikian kepada pemberita selepas mem pengerusikan mesyuarat mingguan Exco di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Rabu.
 
Beliau diminta mengulas titah perintah Sultan Perak yang tidak mahu dipersembahkan cenderamata  dalam semua majlis yang dihadiri oleh baginda.
 
Beliau mengulangi kenyataan bahawa kerajaan negeri menjunjung kasih di atas titah perintah Sultan Perak untuk tidak menerima sebarang pemberian cenderamata dalam semua majlis yang dihadiri Tuanku.
 
“Lantaran itu saya telah pun memaklumkan kepada semua jabatan kerajaan termasuk apabila Menteri Besar pergi ke mesyuarat ataupun majlis perasmian elakkan perkara yang sama,” ujarnya.
 
Beliau berkata, arahan itu dikeluarkan kerana tidak mahu membebankan pihak penganjur yang mungkin terpaksa berbelanja besar untuk membeli hadiah atau cenderamata.
 

Dr Zambry Harap Bajet 2015 Bawa Berita Baik

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berharap Bajet 2015 yang akan dibentangkan Jumaat ini bakal menjawab persoalan-persoalan yang selama ini menjadi teras dan nadi kepada rakyat jelata.
Beliau yakin bajet itu akan membawa berita baik dalam usaha kerajaan untuk memperkukuhkan kehidupan rakyat jelata di segenap peringkat dan memberi keutamaan bagi menjawab persoalan isu ekonomi yang mungkin menyukarkan kehidupan rakyat.
“Perdana Menteri mempunyai kebijaksaan itu dalam memikirkan dalam bajet ini,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Rabu.
Beliau diminta mengulas Bajet 2015 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 10 Oktober ini.
Terdahulu Dr Zambry menyerahkan watikah pelantikan pengerusi dan empat ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam  (SPA) negeri Perak yang  baharu.
Mereka ialah bekas Pegawai Daerah Kinta, Datuk Jamry Sury yang dilantik sebagai Pengerusi SPA Perak manakala bekas Exco kerajaan negeri, Datuk Ramly Zahari, bekas Timbalan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Zuraida Arshad,  Pengerusi MIC Bahagian Sungai Siput, R. Kenas dan Pengerusi MCA Bahagian Ipoh Timur, Datuk Thong Fah Chong  sebagai ahli.
Pelantikan pengerusi dan empat ahli SPA Perak yang baharu itu adalah bagi tempoh setahun, berkuatkuasa 10 Oktober 2014 sehingga 9 Oktober 2015.
Menurut Dr Zambry, pelantikan mereka itu telah mendapat perkenan daripada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Monday, October 6, 2014

Aidiladha Disambut Sederhana

Sultan Perak,Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berangkat bersama-sama kira-kira 2,000 pemimpin dan rakyat menunaikan solat Aidiladha di Masjid Sultan Azlan Shah pada pagi Ahad.

Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan serta barisan Exco kerajaan negeri.

Ketibaan baginda disambut oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian, Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Saarani Mohammad dan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Sejurus selesai menunaikan solat sunat, baginda meluangkan masa bersalam-salaman dengan para jemaah yang hadir.

Sempena Hari Raya Aidiladha, umat Islam di negeri Perak tidak ketinggalan melaksanakan ibadah korban sebelum daging sembelihan diagih-agihkan kepada golongan fakir miskin.

Aidiladha tahun ini disambut dengan penuh rasa kesederhanaan disertai dengan semangat pengorbanan dan ketabahan dalam menghadapi pelbagai dugaan dan bencana.

Saturday, October 4, 2014

Selamat Hari Raya Aidiladha

Selamat Hari Raya Aidiladha diucapkan kepada seluruh umat Islam, terutama kepada rakyat di negeri Perak Darul Ridzuan.


Malindo Air Mulakan Perkhidmatan di LTSAS

Malindo Air memperkenalkan laluan penerbangan domestik baharu dengan menawarkan destinasi Subang – Ipoh pada harga serendah RM 49 sehala.
Syarikat penerbangan tambang murah itu telah melakukan penerbangan sulungnya dari Subang ke Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) pada Jumaat yang disambut oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir sendiri.
Dr Zambry berkata, dengan kemasukkan syarikat penerbangan tersebut, ia dilihat mampu merancakkan kembali industri penerbangan di LTSAS Ipoh.
Katanya, ia juga akan memberi banyak impak yang positif kepada bandar Ipoh dan Perak secara keseluruhannya dari segi pelancongan dan juga ekonomi.
Beliau memberitahu, kewujudan laluan baharu itu merupakan hasil daripada usaha kerajaan negeri untuk menyediakan kemudahan terbaik kepada penduduk dan juga pelancong.
"Ini merupakan hasil daripada perancangan rapi yang dilakukan oleh pihak kerajaan negeri selama ini dengan mengadakan beberapa siri perbincangan dengan syarikat-syarikat penerbangan.
"Perancangan ini adalah sebahagian daripada Pelan Perak Amanajaya kita, apabila kita merancang dalam industri pelancongan, kita turut memberi tumpuan kepada sektor-sektor yang lain seperti pembangunan ekonomi dan juga infra," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyambut penerbangan sulung tersebut di LTSAS yang turut dihadiri oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan Pengerusi Jawatankuasa Kesenian, Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Nolee Ashilin Radzi.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Malindo Air, Chandran Rama Murthy, Ipoh mempunyai potensi yang besar dalam aspek pelancongan dan pihaknya yakin dengan destinasi baharu itu, lebih ramai pelancong akan menggunakan penerbangan tersebut.
Katanya, pada 17 Oktober depan, Malindo Air juga akan memperkenalkan destinasi baharu seperti Ipoh – Johor Baharu dan Ipoh – Medan.
Selain itu, kata Chandran, pihaknya juga sedang mengkaji untuk meluaskan laluan penerbangannya dari Ipoh ke Langkawi dan Krabi, Thailand.
"Ipoh adalah satu bandar yang mempunyai pelbagai tarikkan dari segi pelancongan khususnya pada hari minggu, jadi kami berharap perancangan ini akan membuahkan hasil," ujarnya.

Thursday, October 2, 2014

Lumut Muncul Juara Liga Perak Amanjaya 2014



Pasukan bola sepak Parlimen Lumut muncul juara Liga Perak Amanjaya (LPA) 2014 menewaskan pasukan Parlimen Sungai Siput melalui sepakan penalty 4 – 3 di Stadium Perak pada Rabu malam.

Kedua-dua pasukan terikat 1 – 1 selepas sepenuh masa sebenar dan gagal mencari gol tambahan pada masa tambahan.

Terdahulu, pasukan Bagan Serai muncul pemenang tempat ketiga selepas menewaskan pasukan Tanjung Malim pada perlawanan yang diadakan di sebelah petang di tempat yang sama.

Juara menerima Perisai Menteri Besar beserta wang tunai RM30,000 dan medal manakala naib juara menerima RM15,000 serta medal, ketiga RM7,500 serta medal dan keempat RM5,000 serta medal.

Penyerang pasukan Sungai Siput, V. Panthmanathan muncul sebagai penjaring gol terbanyak kejohanan dengan 6 gol manakala penjaga gol Lumut, R. Yuvaraj muncul sebagai penjaga gol terbaik perlawanan akhir.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Hadir sama menyaksikan perlawanan akhir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, Presiden PAFA, Datuk Zainol Fadzi Paharudin, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Shahrul Zaman Yahya, Presiden Kelab Sukan Rekreasi dan Komuniti (SRCC), Hairul Anuar Mohd Noor dan wakil-wakil rakyat.

Sebelum perlawanan akhir, kira-kira 3,000 penonton yang hadir turut menyaksikan perlawanan persahabatan antara pasukan Menteri Besar dan SRCC yang berkesudahan pasukan Menteri Besar menang 4 – 2.

Hadirin turut dihiburkan dengan persembahan brassband dari Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Ipoh.

Liga Perak Amanjaya adalah antara usaha kerajaan negeri dan PAFA bagi mencungkil bakat bola sepak di peringkat akar umbi untuk diserapkan ke dalam pasukan Sukma, Piala Belia, Piala Presiden, Piala Emas Raja-Raja dan seterusnya Liga Super.