a MH17 : MB Kecam Kor Ming Raih Laba Politik ~ zambry.my

Wednesday, July 23, 2014

MH17 : MB Kecam Kor Ming Raih Laba Politik

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengecam Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming yang menuding jari menyalahkan kerajaan berhubung tragedi sedih MH17 untuk meraih laba politik.
Katanya, Nga seharus menunjukkan rasa simpati kepada mangsa-mangsa pesawat berkenaan dan bukannya menuding jari menyalahkan kerajaan berhubung tragedi itu.
"Kita seharusnya menunjukkan rasa simpati kepada mangsa-mangsa ini dan kita perlu memikirkan perkara ini melampaui batas politik seperti yang ditunjukkan dalam sidang tergempar Dewan Parlimen hari ini,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Rabu.
Menurut Dr Zambry, seluruh ahli Parlimen membahaskan dengan satu harapan agar mereka yang terlibat menembak jatuh pesawat MH17 di bawa ke muka pengadilan mengikut peraturan dan undang-undang antarabangsa.
Beliau menegaskan bahawa waktu sekarang bukanlah masanya mana-mana pihak menuding jari menyalahkan kerajaan dengan bertindak menggunakan peluang-peluang politik untuk membelasah kerajaan.
Katanya, adalah amat malang ada di kalangan ahli politik yang bertindak sedemikian dengan melemparkan tuduhan yang keterlaluan terhadap kerajaan sehinggakan masyarat luar yang terbabit dengan insiden ini hairan dengan sikap mereka yang tidak menunjukkan rasa simpati terhadap mangsa.
Sehubungan dengan itu, beliau berharap ahli-ahli politik terbabit belajar daripada perkara seperti ini dengan bersatu dalam keadaan yang sedih dan hiba ini.
"Kita sepatutnya bersatu dalam keadaan tragedi yang sangat sedih ini sambil mendoakan kepada mereka yang terkorban dan menyuarakan rasa hiba dan simpati terhadap keluarga mangsa yang masih ada,'' katanya.
Pesawat MH17 yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur membawa 280 penumpang dan 14 anak kapal ditembak jatuh di Shakhtarsk Ukraine baru-baru ini.

0 comments:

Post a Comment