a MB Mahu Insiden Muhammad Firdaus Tidak Berlaku Di Perak ~ zambry.my

Friday, July 4, 2014

MB Mahu Insiden Muhammad Firdaus Tidak Berlaku Di Perak

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Zambry Abd Kadir mahu pihak berwajib di negeri ini memastikan peristiwa remaja kurang upaya (OKU), Muhammad Firdaus Dullah, 15 yang dijumpai tidak terurus dan terabai di Flat Taman Semarak, Nilai Negeri Sembilan baru-baru ini tidak berlaku di Perak.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato' Saarani Mohamad berkata, beliau mendapat pesanan daripada Dr Zambry untuk memastikan kejadian seumpama itu tidak berlaku di negeri ini.
Katanya, Dr Zambry meminta Exco yang bertanggungjawab, Adun-Adun, Pegawai Daerah, Yang Dipertua dalam Majlis Daerah, penghulu, ahli-ahli majlis dan ketua-ketua kampung memastikan peristiwa seperti itu tidak berlaku di kawasan mereka.
Menurut Saarani, walaupun ada pihak mengatakan kisah Mohammad Firdaus hidup terabai itu terpencil tetapi ia amat menyedihkan dan memalukan.
"Saya yakin jika dicari kes seperti itu ia mungkin berlaku lebih daripada itu kerana terlepas pandang.'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Perak Darul Ridzuan Tahun 2014 di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Khamis.
Oleh itu, katanya, semua pihak yang terlibat harus melaksanakan tanggungjawab mereka sepertimana yang diminta oleh Menteri Besar untuk memastikan peristiwa yang menyedihkan ini tidak berlaku di Perak.

0 comments:

Post a Comment