a LTSAS Selamat Digunakan ~ zambry.my

Sunday, July 13, 2014

LTSAS Selamat Digunakan

Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di Ipoh, yang sebelum ini berdepan masalah lubang benam, adalah selamat dan kini boleh digunakan.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi minggu lalu.
"Beliau memaklumkan kepada saya bahawa (berdasarkan) laporan yang beliau terima LTSAS boleh digunakan, maksudnya ia selamat digunakan dan tidak ada lagi kebimbangan mengenai lubang benam yang berlaku," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri di Ipoh pada Rabu.
Justeru itu, katanya kerajaan negeri meminta Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi untuk membuat kenyataan bersama dengan pihak Jabatan Penerbangan Awam (DCA) bagi mengembalikan keyakinan orang ramai untuk menggunakan semula LTSAS.
Dr Zambry berkata, kerajaan negeri menjangkakan pesawat Boeing dan Airbus yang lebih kecil akan menggunakan lapangan terbang itu namun ia bergantung kepada laporan DCA dan kajian teknikal berhubung landasan berkenaan.
Menurut beliau, lapangan terbang itu boleh digunakan bila-bila masa sahaja sekarang dan Nolee bersama-sama pihak DCA akan membuat pengumuman rasmi.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga menerima beberapa cadangan daripada syarikat penerbangan untuk memulakan operasi masing-masing di Ipoh yang dilihat
sebagai petanda baik untuk pembangunan negeri Perak.
Februari lalu, Jawatankuasa Kira-kira Wang (PAC) Perak melahirkan rasa kecewa apabila Kementerian Pengangkutan, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) serta syarikat perunding pembinaan bagi kerja naik taraf LTSAS gagal mengemukakan laporan kajian penuh seperti yang dikehendaki.
Laporan itu diminta apabila PAC Perak mendapati landasan LTSAS tidak boleh digunakan pesawat lebih besar selepas kerja pemanjangan serta pelebaran bernilai RM15.22 juta selesai dilaksanakan.
Antara punca landasan yang dinaik taraf itu tidak boleh digunakan kerana berlakunya sembilan lubang benam pada struktur tanah landasan itu.
Kos menaik taraf LTSAS yang bermula pada April 2011 dan siap pada November 2012 itu bernilai RM37.6 juta dan ia sepatutnya mula beroperasi pada Januari 2013.
Antara kerja-kerja menaik taraf LTSAS ialah memanjangkan landasan daripada 1,780 meter ke 2,000 meter untuk membolehkan pesawat lebih besar seperti Boeing 737 dan Airbus A320 mendarat selain meningkatkan kemudahan di Kompleks Kastam dan Imigresen serta kemudahan pengangkutan awam.

0 comments:

Post a Comment