a MB Bangga Perkembangan Anak Angkatnya ~ zambry.my

Monday, July 21, 2014

MB Bangga Perkembangan Anak Angkatnya

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyatakan rasa bangga terhadap perkembangan sosial anak-anak angkatnya di bawah pengurusan Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBU) yang menunjukkan kemajuan berbanding sebelum ini.
Beliau berkata, jika sebelum ini mereka bersikap rendah diri dan tidak mampu untuk berinteraksi dengan masyarakat sekeliling, kini beliau dapat melihat perubahan positif dalam diri mereka.
"Kebanyakan anak-anak yang berasal dari luar bandar menghadapi dilema di mana mereka dibesarkan dalam suasana latar belakang yang membuatkan mereka cenderung mengalami kemurungan dan tidak yakin untuk tampil ke hadapan.
"Saya lihat, berkat program dan usaha serta prasarana pengajian yang diberikan oleh pihak YBU, kapasiti kebolehan mereka untuk berkomunikasi dan belajar turut meningkat," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan keperluan Hari Raya kepada anak-anak angkatnya sempena
Program Penyampaian Sumbangan Aidilfitri di Mydin Meru Raya, pada Ahad.
Dr Zambry berharap anak-anak angkatnya itu akan terus berusaha keras dalam pelajaran mereka dan seterusnya menjadi pemimpin yang berkaliber pada masa hadapan.
"Saya sendiri berasal dari keluarga nelayan dan saya tahu payah dan penatnya untuk mencapai sesuatu, bahkan saya sendiri tidak pernah terfikir untuk menjadi Menteri Besar dahulu.
"Sebaik sahaja memegang jawatan ini, saya berazam untuk memastikan anak-anak kita di negeri Perak ini tidak akan ketinggalan dalam pelajaran hanya disebabkan faktor kemiskinan, maka sebab itulah program anak angkat ini dilaksanakan," katanya.
Program Penyampaian Sumbangan Aidilfitri itu dijalankan buat tahun yang keempat sejak tahun 2011 dan seramai 114 orang anak angkat Menteri Besar Perak diraikan dengan sumbangan duit raya, tajaan makanan Restoran Upin Ipin serta baju raya.
Turut hadir dalam program tersebut adalah isteri Menteri Besar Perak, Datin Seri Saripah Zulkifli, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian, Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Saarani Mohammad dan Pengarah Urusan Mydin Holdings Bhd, Datuk Wira Ameer Ali dan isteri.
Buat Mohammad Amirul Najmi yang baru sahaja mencecah umur 7 tahun, pengalaman kali pertama dibawa memilih baju raya bersama ahli YBU adalah amat bermakna kerana beliau kini mampu bergaya dengan samping dan songkok serba baharu yang akan dipakainya pada Syawal pertama.

0 comments:

Post a Comment