a Dermawan Islam Digalak Bantu Fakir Miskin ~ zambry.my

Sunday, July 27, 2014

Dermawan Islam Digalak Bantu Fakir Miskin

Para dermawan Islam di negeri ini digalak membantu golongan fakir miskin dan orang kurang upaya (OKU) dalam bentuk zakat dan bersedekah kerana amalan sedemikian dituntut oleh agama Islam.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, bantuan yang diberikan itu sudah tentu dapat meringankan beban hidup yang ditanggung oleh golongan berkenaan.
''Dalam bulan Ramadan yang mulia ini, amalan berzakat dan bersedekah memberi makan kepada orang miskin sangat disuruh oleh agama kita.'' katanya.
Dr Zambry berkata demikian ketika berucap di majlis penyampaian zakat dan derma anjuran Haji Ghulam Rasul Mohd Hussain di Dewan Besar Masjid India Muslim Teluk Intan pada Sabtu.
Menurut beliau, amalan berzakat dan bersedekah kepada golongan fakir miskin ini amat besar pahalanya terutama dalam bulan puasa yang penuh baroqah.
Selain itu, katanya, amalan sedemikian dapat memberi kesedaran dan keinsafan kepada masyarakat tentang erti kesusahan hidup yang dilalui oleh golongan fakir miskin.
''Jadi dalam bulan Ramadan ini, selain berpuasa kita disuruh melakukan amalan sedekah jariah untuk mereka yang kurang berada.'' katanya.
Dr Zambry juga meminta rakyat di negeri ini supaya jangan mengambil mudah soal keselamatan kerana dengan adanya keselamatan rakyat dapat hidup dalam suasana aman dan makmur.
''Sebab itu selama ini kerajaan menjaga keselamatan ini dengan sebaik-baiknya agar rakyat dapat terus hidup dengan aman dan makmur.'' katanya.
Pada majlis itu Dr Zambry telah menyampaikan bantuan berupa kota berisi bekalan makanan kepada golongan fakir miskin yang terdiri daripada OKU, dan ibu-ibu tunggal.
Majlis penyerahan bantuan kotak makanan ini merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh Haji Ghulam Rasul iaitu pemilik restoran ternama di Daerah Hilir Perak.
Pada majlis itu seramai 2,900 penerima termasuk 700 kaum Cina dan 700 kaum India menerima bantuan tersebut.

0 comments:

Post a Comment