a Perak Hanya Jual Air Terawat - Dr Zambry ~ zambry.my

Sunday, July 13, 2014

Perak Hanya Jual Air Terawat - Dr Zambry

Kerajaan negeri Perak telah membuat keputusan hanya akan menjual air terawat sekiranya terdapat permintaan daripada negeri-negeri lain.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, setakat ini pihaknya telah menerima tawaran daripada negeri tertentu untuk membekalkan air mentah yang terdapat di negeri ini ke negeri berkenaan.
Bagaimanapun, kata beliau, kerajaan negeri telah membuat keputusan tidak akan menjual air mentah, sebaliknya bersedia untuk menjual air terawat sahaja kepada negeri berkenaan.
"Kita telah menerima cadangan daripada negeri tertentu untuk membekalkan air mentah tetapi kita hanya bersedia untuk menjual air terawat dan bukannya air mentah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Air Perak (LAP) di Ipoh pada Khamis.
Katanya, langkah kerajaan negeri tidak mahu membekalkan air mentah kerana tidak mahu berlaku kemungkinan air itu dijual semula ke negeri lain selepas dirawat, sepertimana yang berlaku di antara Johor dan Singapura.
Selain itu, kata Dr Zambry, kerajaan negeri melalui LAP juga membuat penilaian berhubung beberapa cadangan yang dikemukakan, termasuk membina loji rawatan di dalam negeri ataupun di kawasan sempadan.
Menurut beliau, ia perlu bagi memastikan Perak mempunyai loji-loji rawatan air yang terbaik dan diurus oleh tenaga kepakaran.
"Kita telah mengenalpasti mereka yang benar-benar mempunyai kepakaran untuk menguruskan dua buah loji rawatan air di bawah LAP," katanya sambil memberitahu bahawa setakat ini kualiti air di Perak adalah baik.
Mengenai keadaan cuaca yang tidak menentu dan ramalan meteorologi kemungkinan berlaku kepanasan melampau akibat cetusan fenomena El-Nino, Menteri Besar berkata, LAP sedang membuat perancangan bagi memastikan sumber air di Perak tidak terjejas.
Sehubungan itu, katanya, LAP perlu mencari kaedah yang lebih kreatif untuk mengatasi kekurangan air di kawasan tadahan yang mengalami masalah walaupun ia diluar jangkaan.
Beliau memberi contoh peristiwa yang berlaku beberapa bulan lalu di Taiping Headwork yang sebelum ini tidak pernah menghadapi masalah tetapi akhirnya bermasalah apabila Perak dilanda kemarau.
"Jadi ini merupakan satu perkara yang perlu kita ambil perhatian dan LAP telah diarahkan untuk melihat kaedah yang lebih kreatif yang sudahpun diperkenalkan sebahagiannya oleh LAP,'' kata beliau.
Beliau memberiahu, antara contoh kaedah kreatif yang sedang dilaksanakan itu ialah penggunaan sumber air bawah tanah di kawasan tepi sungai seperti di Kuala Kangsar, untuk menampung keperluan apabila berlaku kemarau.

0 comments:

Post a Comment