a Nizar Tabur Fitnah Walaupun Bulan Ramadan ~ zambry.my

Sunday, July 13, 2014

Nizar Tabur Fitnah Walaupun Bulan Ramadan

Ketua Pembangkang di Perak, Datuk Seri Ir Mohd Nizar Jamaluddin terus menabur fitnah walaupun bulan Ramadan sepatutnya digunakan oleh umat Islam untuk membanyakkan amalan baik.
Terbaru, beliau menuduh kononnya Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengorbankan banyak tanah rezab Melayu di negeri ini, yang disiarkan di dalam akhbar PAS, Harakah.
Dr Zambry di dalam reaksinya melahirkan rasa kesal dengan tuduhan yang dilemparkan itu dan menyifatkannya sebagai fitnah.
Beliau memberitahu, mengikut rekod, keluasan asal tanah rezab Melayu di seluruh negeri hanya 2,183,358.62 ekar tetapi meningkat kepada 2,200,500.94 ekar sekarang.
"Saya tidak mahu menyatakan zaman saya telah menambahkan balik tetapi faktanya ada, malah lebih banyak berbanding dahulu," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan cek RM6 juta untuk projek tanggungjawab sosial korporat (CSR )Tenaga Nasional Berhad di pejabatnya di Ipoh pada Rabu.
Menteri Besar berkata, beliau tidak akan menjawab tuduhan itu secara keterlaluan seperti yang dilakukan oleh Nizar, yang beliau anggap telah menggunakan Bahasa-bahasa yang kasar.
Menurut beliau, ketua pembangkang itu membuat tuduhan sedemikian kerana tahu isu tanah rezab agak sensitif kepada orang Melayu.
Beliau menjelaskan, walaupun mungkin ada kawasan tertentu yang perlu diubah kerana keperluan semasa, tetapi kerajaan negeri mempastikan ia mesti diganti semula.
"Jangan membuat tuduhan-tuduhan yang keterlaluan dan saya telah meminta perkara ini diperjelaskan kepada rakyat kerana ia boleh menimbulkan fitnah dan kemarahan," tambahnya.
Beliau berkata, pemimpin PAS itu terus berusaha menanam kebencian di kalangan rakyat, dengan membuat tuduhan yang keterlaluan walaupun mereka bercakap dari segi perjuangan Islam.
"Bagi mereka mengutuk orang UMNO dan Barisan Nasional bukan dosa dan inilah pemikiran-pemikiran yang ada dan saya harap di bulan Ramadan ini saya tidak perlu menjawab keterlaluan di atas tuduhan mereka," ujarnya.

0 comments:

Post a Comment