a MB Minta PBT Teliti Permohonan Pemaju ~ zambry.my

Friday, July 4, 2014

MB Minta PBT Teliti Permohonan Pemaju

Kerajaan negeri meminta supaya siasatan terperinci dilakukan terhadap setiap permohonan memecah kecilkan tanah (sub-divide) oleh pemaju perumahan di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, beliau telah mengarahkan pihak berwajib seperti majlis daerah, perbandaran dan Majlis Bandaraya Ipoh melakukan siasatan tersebut lebih dahulu terhadap permohonan yang dikemukakan pihak pemaju untuk pembinaan projek perumahan di negeri ini.
Katanya langkah itu bagi memastikan pemaju-pemaju perumahan mematuhi peraturan yang digariskan termasuklah menyediakan kawasan lapang untuk pembinaan tapak permainan dan tempat ibadat bagi tanah projek melebihi 4 hektar.
Menurut beliau, kerajaan negeri telah mengenal pasti terdapat pemaju-pemaju tertentu yang mengambil kesempatan memecah-kecilkan tanah projek yang diperoleh dengan harapan tidak membina kawasan permainan serta tempat ibadat berkenaan.
''Langkah untuk mericit atau memecah-kecilkan lot-lot itu mungkin akan mendatangkan keuntungan tetapi untuk jangka panjang, ia tidak memberi kesan sosial yang baik kepada kehidupan kita sekelian di kawasan-kawasan b erkenaan.'' katanya.
Dr Zambry berkata demikia kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh hari ini.
Menurut beliau, langkah pemaju memecah-kecilkan tanah projek perumahan ini sebenarnya tidak memberikan impak yang baik dari segi kehidupan di kawasan perumahan apabila sudah tidak ada lagi kawasan permainan kanak-kanak dan tempat ibadat untuk berinteraksi dan juga kegiatan kemasyarakatan.
Menurut Dr Zambry, kerajaan negeri amat serius dalam memastikan agar suasana kelestarian dan keceriaan diwujudkan di kawasan-kawasan perumahan bagi membolehkan penduduknya dapat menikmati kehidupan dengan lebih selesa.
Sehubungan dengan itu beliau berharap, pihak pemaju dapat bersama dengan kerajaan untuk menjadikan kawasan-kawasan perumahan sebagai tempat untuk rakyat hidup selesa dengan adanya kemudahan yang disediakan itu.
Katanya, kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan usaha pihak pemaju dalam membangunkan sektor perumahan bagi memenuhi keperluan dan permintaan rakyat di negeri Perak.

0 comments:

Post a Comment