a July 2014 ~ zambry.my

Sunday, July 27, 2014

Dermawan Islam Digalak Bantu Fakir Miskin

Para dermawan Islam di negeri ini digalak membantu golongan fakir miskin dan orang kurang upaya (OKU) dalam bentuk zakat dan bersedekah kerana amalan sedemikian dituntut oleh agama Islam.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, bantuan yang diberikan itu sudah tentu dapat meringankan beban hidup yang ditanggung oleh golongan berkenaan.
''Dalam bulan Ramadan yang mulia ini, amalan berzakat dan bersedekah memberi makan kepada orang miskin sangat disuruh oleh agama kita.'' katanya.
Dr Zambry berkata demikian ketika berucap di majlis penyampaian zakat dan derma anjuran Haji Ghulam Rasul Mohd Hussain di Dewan Besar Masjid India Muslim Teluk Intan pada Sabtu.
Menurut beliau, amalan berzakat dan bersedekah kepada golongan fakir miskin ini amat besar pahalanya terutama dalam bulan puasa yang penuh baroqah.
Selain itu, katanya, amalan sedemikian dapat memberi kesedaran dan keinsafan kepada masyarakat tentang erti kesusahan hidup yang dilalui oleh golongan fakir miskin.
''Jadi dalam bulan Ramadan ini, selain berpuasa kita disuruh melakukan amalan sedekah jariah untuk mereka yang kurang berada.'' katanya.
Dr Zambry juga meminta rakyat di negeri ini supaya jangan mengambil mudah soal keselamatan kerana dengan adanya keselamatan rakyat dapat hidup dalam suasana aman dan makmur.
''Sebab itu selama ini kerajaan menjaga keselamatan ini dengan sebaik-baiknya agar rakyat dapat terus hidup dengan aman dan makmur.'' katanya.
Pada majlis itu Dr Zambry telah menyampaikan bantuan berupa kota berisi bekalan makanan kepada golongan fakir miskin yang terdiri daripada OKU, dan ibu-ibu tunggal.
Majlis penyerahan bantuan kotak makanan ini merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh Haji Ghulam Rasul iaitu pemilik restoran ternama di Daerah Hilir Perak.
Pada majlis itu seramai 2,900 penerima termasuk 700 kaum Cina dan 700 kaum India menerima bantuan tersebut.

Wednesday, July 23, 2014

Dr Zambry Rakam Selamat Hari Raya Aidilfitri

YAB Menteri Besar, Dato' Seri Dr Zambry Abd Kadir mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada umat Islam di negeri ini dengan harapan semoga mereka sentiasa berada dalam keadaan baik dan selamat.
Beliau juga menasihati umat Islam yang sedang bersiap sedia untuk pulang ke kampung halaman masing-masing supaya berhati-hati di jalan raya.
"Pastikan pergerakan apabila mula meninggalkan rumah, mereka sentiasa berada dalam keadaan baik dan jangan tinggalkan sebarangan barang berharga bagi mengelak berlakunya kecurian.
''Demikian juga apabila mereka masuk ke dalam kereta untuk pulang ke destinasi masing-masing, kita mengharapkan supaya mereka dapat memandu dengan selamat sehingga sampai ke kawasan destinasi masing-masing.
''Dengan itu saya doakan agar semua pemandu, semua anak-anak rantau yang akan pulang ke kediaman masing-masing berada dalam keadaan selamat dan sampai ke destinasi masing-masing," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Bangunan Perak Darul Ridzuan Ipoh pada Rabu.
Dr Zambry juga menzahirkan ucapan yang sama kepada media masa di atas sumbangan mereka selama ini bagi menjayakan misi dan visi menjadikan negeri Perak sebagai negeri aman, makmur dan membangun dengan jayanya.
''Selamat Hari Raya Aidilfitri'' kata Dr Zambry.

MH17 : MB Kecam Kor Ming Raih Laba Politik

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengecam Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming yang menuding jari menyalahkan kerajaan berhubung tragedi sedih MH17 untuk meraih laba politik.
Katanya, Nga seharus menunjukkan rasa simpati kepada mangsa-mangsa pesawat berkenaan dan bukannya menuding jari menyalahkan kerajaan berhubung tragedi itu.
"Kita seharusnya menunjukkan rasa simpati kepada mangsa-mangsa ini dan kita perlu memikirkan perkara ini melampaui batas politik seperti yang ditunjukkan dalam sidang tergempar Dewan Parlimen hari ini,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Rabu.
Menurut Dr Zambry, seluruh ahli Parlimen membahaskan dengan satu harapan agar mereka yang terlibat menembak jatuh pesawat MH17 di bawa ke muka pengadilan mengikut peraturan dan undang-undang antarabangsa.
Beliau menegaskan bahawa waktu sekarang bukanlah masanya mana-mana pihak menuding jari menyalahkan kerajaan dengan bertindak menggunakan peluang-peluang politik untuk membelasah kerajaan.
Katanya, adalah amat malang ada di kalangan ahli politik yang bertindak sedemikian dengan melemparkan tuduhan yang keterlaluan terhadap kerajaan sehinggakan masyarat luar yang terbabit dengan insiden ini hairan dengan sikap mereka yang tidak menunjukkan rasa simpati terhadap mangsa.
Sehubungan dengan itu, beliau berharap ahli-ahli politik terbabit belajar daripada perkara seperti ini dengan bersatu dalam keadaan yang sedih dan hiba ini.
"Kita sepatutnya bersatu dalam keadaan tragedi yang sangat sedih ini sambil mendoakan kepada mereka yang terkorban dan menyuarakan rasa hiba dan simpati terhadap keluarga mangsa yang masih ada,'' katanya.
Pesawat MH17 yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur membawa 280 penumpang dan 14 anak kapal ditembak jatuh di Shakhtarsk Ukraine baru-baru ini.

Dr Zambry Terima Kunjungan Duta Jepun

Menteri Besar, Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir menerima kunjungan hormat Duta Besar Jepun, Dr Makio Miyagawa di pejabatnya di Ipoh pada Selasa.
Mereka meluangkan masa kira-kira setengah jam untuk membincangkan beberapa perkara kepentingan bersama.
Di akhir lawatan, Dr Zambry menyampaikan cenderamata berupa "emblem" khas Negeri Perak dan produk makanan keluaran negeri kepada Dr Makio sebagai tanda kenang-kenangan.
Duta Besar Jepun itu turut menandatangani Buku Pelawat Pejabat Menteri Besar sambil menyerahkan haruman tradisional dari negara matahari terbit tersebut.
Menteri Besar turut menerima kunjungan hormat daripada anak jati Perak yang baharu sahaja dilantik menjadi Duta Malaysia iaitu Umardin Hj Abdul Mutalib (Duta Besar Malaysia ke Oman), Encik Bala Chandran Trarman (Duta Besar Malaysia ke Lebanon) dan Dato' Nor' Aini Abdul Hamid (Duta Besar Malaysia ke Uzbekistan).

Monday, July 21, 2014

Dr Zambry Lawat Mangsa Kebakaran

Penderitaan sekeluarga mangsa kebakaran di Kampung Paya Batu Kurau terubat sedikit apabila Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir melawat mereka pada jam 1.30 pagi Isnin.
Dr. Zambry yang bergegas dari satu majlis berdekatan ke rumah mangsa telah meluangkan masa selama sejam mendengar rintihan mangsa dan juga melihat sendiri rumah tersebut.
Tindakan turun padang secara mengejut itu merupakan antara usaha Menteri Besar untuk memahami dan merasai denyut nadi rakyat secara lebih dekat.
Kebakaran yang berlaku pada jam 6 petang itu telah memusnahkan dua buah rumah milik sekeluarga.
Mangsa, Abdul Latiff Abdullah,45, memberitahu dia amat berbesar hati apabila menerima kunjungan Menteri Besar secara mengejut.
"Terubatlah sedikit kesedihan saya apabila pemimpin tertinggi negeri sanggup masuk ke kampung untuk melihat rumah saya. Saya hanya rakyat biasa.
"Inilah yang rakyat mahu dan harapkan, pemimpin sanggup turun padang meninjau nasib rakyat walaupun sekarang dah pukul 2 pagi," ujarnya.
Sejurus melawat mangsa kebakaran, Dr. Zambry terus bergegas ke Masjid Al-Ehsaniah, Bagan Baru bagi meneruskan Program Kembara Qiam 10 Malam Terakhir Ramadan.
Program seawal jam 3 pagi itu dimulakan dengan solat tasbih, solat taubat dan diikuti dengan solat berjemaah.
Program diteruskan dengan bersahur beramai-ramai dan menunaikan solat Subuh sebelum bersurai pada jam 6.30 pagi.
Kira-kira 100 umat Islam setempat dari pelbagai peringkat umur mengambil bahagian di dalam program itu.

MB Bangga Perkembangan Anak Angkatnya

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyatakan rasa bangga terhadap perkembangan sosial anak-anak angkatnya di bawah pengurusan Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBU) yang menunjukkan kemajuan berbanding sebelum ini.
Beliau berkata, jika sebelum ini mereka bersikap rendah diri dan tidak mampu untuk berinteraksi dengan masyarakat sekeliling, kini beliau dapat melihat perubahan positif dalam diri mereka.
"Kebanyakan anak-anak yang berasal dari luar bandar menghadapi dilema di mana mereka dibesarkan dalam suasana latar belakang yang membuatkan mereka cenderung mengalami kemurungan dan tidak yakin untuk tampil ke hadapan.
"Saya lihat, berkat program dan usaha serta prasarana pengajian yang diberikan oleh pihak YBU, kapasiti kebolehan mereka untuk berkomunikasi dan belajar turut meningkat," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan keperluan Hari Raya kepada anak-anak angkatnya sempena
Program Penyampaian Sumbangan Aidilfitri di Mydin Meru Raya, pada Ahad.
Dr Zambry berharap anak-anak angkatnya itu akan terus berusaha keras dalam pelajaran mereka dan seterusnya menjadi pemimpin yang berkaliber pada masa hadapan.
"Saya sendiri berasal dari keluarga nelayan dan saya tahu payah dan penatnya untuk mencapai sesuatu, bahkan saya sendiri tidak pernah terfikir untuk menjadi Menteri Besar dahulu.
"Sebaik sahaja memegang jawatan ini, saya berazam untuk memastikan anak-anak kita di negeri Perak ini tidak akan ketinggalan dalam pelajaran hanya disebabkan faktor kemiskinan, maka sebab itulah program anak angkat ini dilaksanakan," katanya.
Program Penyampaian Sumbangan Aidilfitri itu dijalankan buat tahun yang keempat sejak tahun 2011 dan seramai 114 orang anak angkat Menteri Besar Perak diraikan dengan sumbangan duit raya, tajaan makanan Restoran Upin Ipin serta baju raya.
Turut hadir dalam program tersebut adalah isteri Menteri Besar Perak, Datin Seri Saripah Zulkifli, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian, Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Saarani Mohammad dan Pengarah Urusan Mydin Holdings Bhd, Datuk Wira Ameer Ali dan isteri.
Buat Mohammad Amirul Najmi yang baru sahaja mencecah umur 7 tahun, pengalaman kali pertama dibawa memilih baju raya bersama ahli YBU adalah amat bermakna kerana beliau kini mampu bergaya dengan samping dan songkok serba baharu yang akan dipakainya pada Syawal pertama.

Saturday, July 19, 2014

Tragedi MH17 - Dr Zambry Rakam Takziah

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir merakamkan takziah terhadap keluarga penumpang dan anak kapal Penerbangan Malaysia MH17 yang dilaporkan ditembak jatuh di Timur Ukraine.
Beliau turut berharap agar kesemua keluarga yang terlibat di dalam tragedi itu dapat bersabar dengan cabaran yang amat besar tersebut.
Menurut beliau, kerajaan negeri mengecam sekeras-kerasnya tindakan menembak kapal terbang itu dan menyifatkannya sebagai satu perbuatan tidak berkeperimanusiaan.
"Pihak kerajaan negeri juga mendesak agar penyiasatan menyeluruh dilakukan dan dengan ini juga mengecam sekeras-kerasnya tindakan menembak kapal terbang MH 17 tersebut,
"Ini merupakan satu perbuatan yang tidak berkeperimanusiaan dan juga tidak bertamadun, bagaimana kapal terbang awam ditembak sedemikian rupa," katanya pada satu sidang media di kediamannya Jumaat malam.
Menteri Besar memberitahu, beliau telah pun meminta pihak Setiausaha Kerajaan Perak (SUK) bagi mengenal pasti mangsa-mangsa yang berasal daripada negeri itu supaya bantuan dapat disalurkan.
Katanya lagi, pihak kerajaan negeri juga akan bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan bagi mengendalikan perkara tersebut.

MB Minta Siasatan Mendalam Tragedi MH17

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir meminta siasatan mendalam dijalankan berhubung tragedi sedih pesawat Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 yang ditembak jatuh di Shaktarsk, Timur Ukraine pagi semalam supaya ia menjadi pengajaran penting dalam penerbangan awam.
Katanya, tragedi sedih itu juga tidak boleh diterima begitu sahaja, jika benar pesawat MH17 itu ditembak jatuh kerana ianya melibatkan penerbangan awam.
Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak bukan sahaja di peringkat Malaysia malah antarabangsa, mengambil tindakan yang sewajarnya demi memastikan industri penerbangan dunia tidak terdedah kepada pelbagai ancaman.
''Ini demi memastikan industri penerbangan di dunia tidak terbuka kepada ancaman-ancaman yang begitu mudah sekali, sehingga dilaporkan boleh ditembak begitu sahaja,'' katanya kepada pemberita di majlis perasmian Masjid Muhammadiah Taman Tasek Jaya, Ipoh pada Jumaat.
Dr Zambri Abd Kadir berkata demikian ketika mengulas berhubung tragedi tragedi pesawat Penerbangan Malaysia MH17 yang ditembak jatuh di Shaktarsk, Timur Ukraine.
Menurut Menteri Besar, pihaknya juga sedang mengenalpasti keluarga pembantu juruterbang serta juruterbang pesawat berkenaan yang dimaklumkan berasal dari Perak.
"Saya difahamkan pembantu kepada juruterbang dan juruterbang sendiri dari negeri Perak. Saya sudah maklumkan kepada pihak kita supaya mengenal pasti mereka terlebih dahulu dan saya ucapkan takziah kepada mereka," katanya.

Friday, July 18, 2014

Kembara Qiam 10 Malam Terakhir Ramadan Bermula

Program Kembara Qiam 10 Malam Terakhir Ramadan bermula apabila Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir menghadiri program itu di Masjid Pusat Bandar Al – Ridzuan, Parit Buntar awal pagi Jumaat.
Program seawal jam 3.30 pagi itu dimulakan dengan solat tasbih, solat taubat dan diikuti dengan solat berjemaah.
Program diteruskan dengan dengan bersahur beramai-ramai dan menunaikan solat Subuh sebelum bersurai pada jam 6.40 pagi.
Hampir 100 umat Islam setempat dari pelbagai peringkat umur mengambil bahagian di dalam program itu.
Pada 10 malam terakhir Ramadan, Dr. Zambry akan mengembara ke 10 masjid terpilih di negeri ini bagi mengadakan Qiamullail bersama-sama rakyat.

Sultan Nazrin Rasmi Masjid Pusat Bandar Al – Ridzuan

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan Masjid Pusat Bandar Al-Ridzuan, Parit Buntar pada petang Khamis.
Baginda turut menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Terawih bersama rakyat selepas majlis berbuka puasa di perkarangan masjid tersebut.
Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir serta barisan exco kerajaan negeri dan ketua-ketua jabatan.
Pada majlis itu baginda turut berkenan menyampaikan bantuan Hari Raya Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIP) melalui peruntukkan zakat di bawah asnaf fakir miskin 2014 bagi daerah Kerian.
Majlis dimulakan dengan gimik perasmian baginda menanam sebatang pokok di hadapan perkarangan masjid tersebut.
Majlis berakhir pada jam 11 malam dengan keberangkatan baginda selepas jamuan moreh.

Wednesday, July 16, 2014

Dr Zambry Sanggup Ambil Risiko Politik Perangi Dadah

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menegaskan bahawa beliau sanggup menghadapi risiko politik termasuk kehilangan sokongan di kawasannya daripada membiarkan generasi muda di negeri ini terperangkap dalam penagihan dadah yang keterlaluan.
 
Katanya, apa yang lebih penting  ialah usaha serius kerajaan negeri untuk menjadikan negeri ini sifar daripada kegiatan penyalahgunaan dadah meskipun ada pihak menyatakan amat sukar untuk melakukannya.
 
``Tidak apalah, saya lebih rela kalah dalam pilihan raya daripada saya membiarkan anak-anak kita terperangkap dalam penagihan dadah yang keterlaluan ini.
 
``Mereka itu adalah anak-anak kita, adik-beradik kita, saudara kita dan anak negeri Perak yang perlu kita selamatkan demi masa depan mereka tanpa mengira siapa mereka, latar belakang mereka Melayu, Cina atau India,'' katanya.
 
Beliau berkata demikian keapda pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Rabu.
 
Menurut Dr Zambry, tidak ada guna menjadi ahli politik dan mempunyai populariti sebagai seorang Menteri Besar, ahli Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tetapi membiarkan masyarakat dan generasi muda terjerumus ke dalam jurang kebinasaan iaitu penagihan dadah.
 
Katanya, masalah dadah bukan hanya melibatkan penagihan tetapi ia juga  melibatkan satu industri yang terancang yang dilakukan  daripada kalangan di dalam pasaran gelap dan mereka yang digeruni orang iaitu gengster dan pengedar dadah.
 
Menurut beliau, kerajaan negeri  amat serius dalam menangani permasalahan itu agar kegiatan pengedaran dadah di negeri ini dapat terus dibendung daripada bermaharaja lela

Dr Zambry Ziarah Jenazah Bapa Drs Nizar

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menziarahi jenazah bapa kepada Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Islam, Pembangunan Sahsiah, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria yang telah meninggal dunia pada Selasa malam.
Dr. Zambry tiba bersama-sama Yang Di Pertua Majlis Perbandaran Manjung, Datuk Zamri Man kira-kira jam 1 pagi dan meluangkan masa hampir sejam di kediaman Allahyarham di Kampung Pasir Gajah, Parit.
Allahyarham Zakaria Kulop, 86, meninggal dunia akibat sakit tua di rumahnya pada jam 9.20 malam.
Jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Padang Kangar pada jam 11 pagi Rabu.

Sunday, July 13, 2014

LTSAS Selamat Digunakan

Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di Ipoh, yang sebelum ini berdepan masalah lubang benam, adalah selamat dan kini boleh digunakan.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi minggu lalu.
"Beliau memaklumkan kepada saya bahawa (berdasarkan) laporan yang beliau terima LTSAS boleh digunakan, maksudnya ia selamat digunakan dan tidak ada lagi kebimbangan mengenai lubang benam yang berlaku," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri di Ipoh pada Rabu.
Justeru itu, katanya kerajaan negeri meminta Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi untuk membuat kenyataan bersama dengan pihak Jabatan Penerbangan Awam (DCA) bagi mengembalikan keyakinan orang ramai untuk menggunakan semula LTSAS.
Dr Zambry berkata, kerajaan negeri menjangkakan pesawat Boeing dan Airbus yang lebih kecil akan menggunakan lapangan terbang itu namun ia bergantung kepada laporan DCA dan kajian teknikal berhubung landasan berkenaan.
Menurut beliau, lapangan terbang itu boleh digunakan bila-bila masa sahaja sekarang dan Nolee bersama-sama pihak DCA akan membuat pengumuman rasmi.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga menerima beberapa cadangan daripada syarikat penerbangan untuk memulakan operasi masing-masing di Ipoh yang dilihat
sebagai petanda baik untuk pembangunan negeri Perak.
Februari lalu, Jawatankuasa Kira-kira Wang (PAC) Perak melahirkan rasa kecewa apabila Kementerian Pengangkutan, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) serta syarikat perunding pembinaan bagi kerja naik taraf LTSAS gagal mengemukakan laporan kajian penuh seperti yang dikehendaki.
Laporan itu diminta apabila PAC Perak mendapati landasan LTSAS tidak boleh digunakan pesawat lebih besar selepas kerja pemanjangan serta pelebaran bernilai RM15.22 juta selesai dilaksanakan.
Antara punca landasan yang dinaik taraf itu tidak boleh digunakan kerana berlakunya sembilan lubang benam pada struktur tanah landasan itu.
Kos menaik taraf LTSAS yang bermula pada April 2011 dan siap pada November 2012 itu bernilai RM37.6 juta dan ia sepatutnya mula beroperasi pada Januari 2013.
Antara kerja-kerja menaik taraf LTSAS ialah memanjangkan landasan daripada 1,780 meter ke 2,000 meter untuk membolehkan pesawat lebih besar seperti Boeing 737 dan Airbus A320 mendarat selain meningkatkan kemudahan di Kompleks Kastam dan Imigresen serta kemudahan pengangkutan awam.

Dr Zambry Rai 3,000 Anak Yatim, Pelajar Tahfiz Berbuka Puasa

Setiap kali bulan Ramadan, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir akan mengadakan majlis berbuka puasa di kediaman rasmi beliau dengan pelbagai lapisan masyarakat.
Bagaimanapun, sudah menjadi kelaziman, kumpulan pertama yang akan berbuka puasa bersama-sama beliau ialah anak-anak yatim, pelajar maahad tahfiz yang dianggap VVIP.
Tradisi itu diteruskan apabila Menteri Besar berbuka puasa bersama-sama hampir 3,000 anak yatim dan pelajar tahfiz daripada lebih 50 buah rumah anak yatim dan maahad tahfiz seluruh negeri di kediaman beliau pada Khamis malam.
Majlis dianjurkan Yayasan Kemajuan Islam Darul Ridzuan (KADIR) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Pengerusi KADIR, Datuk Azhar Ahmad berkata, pihaknya tidak menyangka kehadiran sangat menggalakkan kerana mereka hanya menjangka kehadiran sekitar 2,000 orang sahaja.
"Apapun, inilah Dr Zambry, beliau akan memastikan anak yatim dan pelajar tahfiz menjadi kumpulan pertama yang berbuka puasa bersama-sama beliau kerana beliau menganggap merekalah kumpulan VVIP," katanya ketika ditemui selepas majlis itu.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mohd Ghazali Jalal dan Pengurus Besar TNB Negeri Perak , Datuk Mohd Zahir Md Nagor.
Selain berbuka puasa, mereka turut menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Tarawikh berjemaah yang diimamkan oleh Sheikh Osama Mohammad Iqbal dari Mekah.
Dr Zambry bersama-sama kenamaan lain kemudiannya menyampaikan duit raya kepada anak-anak yatim dan pelajar tahfiz yang hadir.
Azhar memberitahu, program seumpama itu akan diadakan lagi minggu hadapan bagi meraikan kira-kira 400 lagi anak yatim dan pelajar tahfiz yang tidak berkesempatan hadir.

Bonus Dua Setengah Bulan Gaji Untuk Kakitangan LAP.

Seramai 1,100 kakitangan Lembaga Air Perak (LAP) akan menerima bonus dua setengah bulan gaji sebagai persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pembayaran bonus itu akan dibuat sebelum Hari Raya.
"Bonus ini merupakan bonus tahunan yang diberikan oleh LAP kepada kakitangannya sebagai persediaan menyambut Aidilfitri,'' kata Dr Zambry kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat LAP di Ipoh pada Khamis.
Beliau turut mengumumkan bahawa penyusutan paras air di Empangan Sultan Azlah Shah, Empangan Air Kuning dan Empangan JPS Bukit Merah akibat musim kemarau yang berlaku Januari lalu kini kembali pulih.
Katanya, Empangan Air Kuning yang dahulunya mengalami penyusutan sehingga 37.822 meter meningkat ke paras 41.44 meter dan ini bermakna kapasiti sekarang ini berada dalam lingkungan 90 peratus.
Menurut Dr Zambry, bagi Empangan Sultan Azlan Shah yang susut sehingga 240.6 meter, kini kembali normal kepada 245 meter, mencapai tahap kapisiti 100 peratus.
Mengenai persediaan menghadapi Aidilfitri, beliau memberitahu, LAP menjangkakan penggunaan air akan meningkat LAP akan menyediakan petugas bagi memastikan tiada gangguan bekalan.
"Saya berharap LAP dapat memastikan kawasan utama pelancongan seperti Pulau Pangkor, tidak menghadapi masalah kekurangan air pada menjelang Aidilfiri ini," tambahnya.
Katanya, pengguna boleh menghubungi Talian Bebas Tol 24 jam 1800887788 sekiranya berlaku gangguan bekalan air bagi membolehkan tindakan segera diambil.

Perak Hanya Jual Air Terawat - Dr Zambry

Kerajaan negeri Perak telah membuat keputusan hanya akan menjual air terawat sekiranya terdapat permintaan daripada negeri-negeri lain.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, setakat ini pihaknya telah menerima tawaran daripada negeri tertentu untuk membekalkan air mentah yang terdapat di negeri ini ke negeri berkenaan.
Bagaimanapun, kata beliau, kerajaan negeri telah membuat keputusan tidak akan menjual air mentah, sebaliknya bersedia untuk menjual air terawat sahaja kepada negeri berkenaan.
"Kita telah menerima cadangan daripada negeri tertentu untuk membekalkan air mentah tetapi kita hanya bersedia untuk menjual air terawat dan bukannya air mentah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Air Perak (LAP) di Ipoh pada Khamis.
Katanya, langkah kerajaan negeri tidak mahu membekalkan air mentah kerana tidak mahu berlaku kemungkinan air itu dijual semula ke negeri lain selepas dirawat, sepertimana yang berlaku di antara Johor dan Singapura.
Selain itu, kata Dr Zambry, kerajaan negeri melalui LAP juga membuat penilaian berhubung beberapa cadangan yang dikemukakan, termasuk membina loji rawatan di dalam negeri ataupun di kawasan sempadan.
Menurut beliau, ia perlu bagi memastikan Perak mempunyai loji-loji rawatan air yang terbaik dan diurus oleh tenaga kepakaran.
"Kita telah mengenalpasti mereka yang benar-benar mempunyai kepakaran untuk menguruskan dua buah loji rawatan air di bawah LAP," katanya sambil memberitahu bahawa setakat ini kualiti air di Perak adalah baik.
Mengenai keadaan cuaca yang tidak menentu dan ramalan meteorologi kemungkinan berlaku kepanasan melampau akibat cetusan fenomena El-Nino, Menteri Besar berkata, LAP sedang membuat perancangan bagi memastikan sumber air di Perak tidak terjejas.
Sehubungan itu, katanya, LAP perlu mencari kaedah yang lebih kreatif untuk mengatasi kekurangan air di kawasan tadahan yang mengalami masalah walaupun ia diluar jangkaan.
Beliau memberi contoh peristiwa yang berlaku beberapa bulan lalu di Taiping Headwork yang sebelum ini tidak pernah menghadapi masalah tetapi akhirnya bermasalah apabila Perak dilanda kemarau.
"Jadi ini merupakan satu perkara yang perlu kita ambil perhatian dan LAP telah diarahkan untuk melihat kaedah yang lebih kreatif yang sudahpun diperkenalkan sebahagiannya oleh LAP,'' kata beliau.
Beliau memberiahu, antara contoh kaedah kreatif yang sedang dilaksanakan itu ialah penggunaan sumber air bawah tanah di kawasan tepi sungai seperti di Kuala Kangsar, untuk menampung keperluan apabila berlaku kemarau.

Nizar Tabur Fitnah Walaupun Bulan Ramadan

Ketua Pembangkang di Perak, Datuk Seri Ir Mohd Nizar Jamaluddin terus menabur fitnah walaupun bulan Ramadan sepatutnya digunakan oleh umat Islam untuk membanyakkan amalan baik.
Terbaru, beliau menuduh kononnya Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengorbankan banyak tanah rezab Melayu di negeri ini, yang disiarkan di dalam akhbar PAS, Harakah.
Dr Zambry di dalam reaksinya melahirkan rasa kesal dengan tuduhan yang dilemparkan itu dan menyifatkannya sebagai fitnah.
Beliau memberitahu, mengikut rekod, keluasan asal tanah rezab Melayu di seluruh negeri hanya 2,183,358.62 ekar tetapi meningkat kepada 2,200,500.94 ekar sekarang.
"Saya tidak mahu menyatakan zaman saya telah menambahkan balik tetapi faktanya ada, malah lebih banyak berbanding dahulu," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan cek RM6 juta untuk projek tanggungjawab sosial korporat (CSR )Tenaga Nasional Berhad di pejabatnya di Ipoh pada Rabu.
Menteri Besar berkata, beliau tidak akan menjawab tuduhan itu secara keterlaluan seperti yang dilakukan oleh Nizar, yang beliau anggap telah menggunakan Bahasa-bahasa yang kasar.
Menurut beliau, ketua pembangkang itu membuat tuduhan sedemikian kerana tahu isu tanah rezab agak sensitif kepada orang Melayu.
Beliau menjelaskan, walaupun mungkin ada kawasan tertentu yang perlu diubah kerana keperluan semasa, tetapi kerajaan negeri mempastikan ia mesti diganti semula.
"Jangan membuat tuduhan-tuduhan yang keterlaluan dan saya telah meminta perkara ini diperjelaskan kepada rakyat kerana ia boleh menimbulkan fitnah dan kemarahan," tambahnya.
Beliau berkata, pemimpin PAS itu terus berusaha menanam kebencian di kalangan rakyat, dengan membuat tuduhan yang keterlaluan walaupun mereka bercakap dari segi perjuangan Islam.
"Bagi mereka mengutuk orang UMNO dan Barisan Nasional bukan dosa dan inilah pemikiran-pemikiran yang ada dan saya harap di bulan Ramadan ini saya tidak perlu menjawab keterlaluan di atas tuduhan mereka," ujarnya.

Wednesday, July 9, 2014

Tahlil Sempena 40 Hari Kemangkatan Almarhum Sultan Azlan Shah


Satu majlis bacaaan Yassin & tahlil sempena 40 hari kemangkatan Almarhum Sultan Azlan Muhibbudin Shah telah diadakan di Masjid Ubudiah Kuala Kangsar, Isnin malam.
Turut berangkat, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja DiHilir, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.
Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, barisan exco kerajaan negeri dan ketua-ketua jabatan.
Majlis diikuti dengan majlis berbuka puasa serta sembahyang terawih berjemaah.
Lebih 400 umat Islam hadir pada majlis itu yang berakhir jam 11 malam.

Govt to protect Lumut, Pangkor marine life

PANGKOR: The state government is committed to protecting the marine ecology in Lumut and Pangkor island amid the ongoing development there.
Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir said the government is working closely with agencies like the Malaysian Fisheries Development Authority (LKIM) and Fisheries Department to ensure that marine life and fish breeding continue to flourish.


“We are aware of the concerns raised by fishermen here about the development projects on the coast.
“We want to make sure that their catch is not affected despite the ongoing projects.
“We have received positive response from the developers to protect the interest of the fishermen,” he said while joining the fishing activities with a group of fishermen here.
Zambry, who is Pangkor state assemblyman, said the state government hoped that the projects would not affect the group’s livelihood.
He said the developers should look after the welfare of the fishermen as well as help the government improve fish breeding through scientific methods.
“We don’t want mega projects to affect marine life, which in turn could compromise the livelihood of the fishermen.”
He said the state government will continuously extend aid from various sources including Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan. By Mohd Idris Sulaiman

Friday, July 4, 2014

MB Minta PBT Teliti Permohonan Pemaju

Kerajaan negeri meminta supaya siasatan terperinci dilakukan terhadap setiap permohonan memecah kecilkan tanah (sub-divide) oleh pemaju perumahan di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, beliau telah mengarahkan pihak berwajib seperti majlis daerah, perbandaran dan Majlis Bandaraya Ipoh melakukan siasatan tersebut lebih dahulu terhadap permohonan yang dikemukakan pihak pemaju untuk pembinaan projek perumahan di negeri ini.
Katanya langkah itu bagi memastikan pemaju-pemaju perumahan mematuhi peraturan yang digariskan termasuklah menyediakan kawasan lapang untuk pembinaan tapak permainan dan tempat ibadat bagi tanah projek melebihi 4 hektar.
Menurut beliau, kerajaan negeri telah mengenal pasti terdapat pemaju-pemaju tertentu yang mengambil kesempatan memecah-kecilkan tanah projek yang diperoleh dengan harapan tidak membina kawasan permainan serta tempat ibadat berkenaan.
''Langkah untuk mericit atau memecah-kecilkan lot-lot itu mungkin akan mendatangkan keuntungan tetapi untuk jangka panjang, ia tidak memberi kesan sosial yang baik kepada kehidupan kita sekelian di kawasan-kawasan b erkenaan.'' katanya.
Dr Zambry berkata demikia kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh hari ini.
Menurut beliau, langkah pemaju memecah-kecilkan tanah projek perumahan ini sebenarnya tidak memberikan impak yang baik dari segi kehidupan di kawasan perumahan apabila sudah tidak ada lagi kawasan permainan kanak-kanak dan tempat ibadat untuk berinteraksi dan juga kegiatan kemasyarakatan.
Menurut Dr Zambry, kerajaan negeri amat serius dalam memastikan agar suasana kelestarian dan keceriaan diwujudkan di kawasan-kawasan perumahan bagi membolehkan penduduknya dapat menikmati kehidupan dengan lebih selesa.
Sehubungan dengan itu beliau berharap, pihak pemaju dapat bersama dengan kerajaan untuk menjadikan kawasan-kawasan perumahan sebagai tempat untuk rakyat hidup selesa dengan adanya kemudahan yang disediakan itu.
Katanya, kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan usaha pihak pemaju dalam membangunkan sektor perumahan bagi memenuhi keperluan dan permintaan rakyat di negeri Perak.

MB Mahu Insiden Muhammad Firdaus Tidak Berlaku Di Perak

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Zambry Abd Kadir mahu pihak berwajib di negeri ini memastikan peristiwa remaja kurang upaya (OKU), Muhammad Firdaus Dullah, 15 yang dijumpai tidak terurus dan terabai di Flat Taman Semarak, Nilai Negeri Sembilan baru-baru ini tidak berlaku di Perak.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato' Saarani Mohamad berkata, beliau mendapat pesanan daripada Dr Zambry untuk memastikan kejadian seumpama itu tidak berlaku di negeri ini.
Katanya, Dr Zambry meminta Exco yang bertanggungjawab, Adun-Adun, Pegawai Daerah, Yang Dipertua dalam Majlis Daerah, penghulu, ahli-ahli majlis dan ketua-ketua kampung memastikan peristiwa seperti itu tidak berlaku di kawasan mereka.
Menurut Saarani, walaupun ada pihak mengatakan kisah Mohammad Firdaus hidup terabai itu terpencil tetapi ia amat menyedihkan dan memalukan.
"Saya yakin jika dicari kes seperti itu ia mungkin berlaku lebih daripada itu kerana terlepas pandang.'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Perak Darul Ridzuan Tahun 2014 di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Khamis.
Oleh itu, katanya, semua pihak yang terlibat harus melaksanakan tanggungjawab mereka sepertimana yang diminta oleh Menteri Besar untuk memastikan peristiwa yang menyedihkan ini tidak berlaku di Perak.