a Terpulang Kepada Pembangkang Untuk Bawa Isu MB Inc ke SPRM ~ zambry.my

Monday, November 23, 2015

Terpulang Kepada Pembangkang Untuk Bawa Isu MB Inc ke SPRM

Terpulang kepada pihak pembangkang untuk membawa isu Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir percaya, tindakan pembangkang menyerang habis-habisan MB Inc bertujuan menimbulkan persepsi buruk di kalangan rakyat terhadap Perbadanan itu.
Beliau juga percaya bahawa pembangkang tidak putus-putus menaikkan isu itu dalam agenda mereka untuk dijadikan bahan dalam Pilihan Raya Umum akan datang.

"Saya amat kecewa mengapa MB Inc diserang kerana hakikat sebenarnya MB Inc yang baru hendak masuk tahun ketiga sejak diaktifkan semula pada tahun 2012 ditubuhkan untuk membantu menjana pendapatan negeri bagi kepentingan rakyat," katanya semasa menggulung perbahasan di Sidang DUN pada Isnin.

Beliau menjelaskan MB Inc telah menunjukkan pengurusan yang baik apabila menyumbang RM40,000 sebulan kepada kerajaan melalui hasil tanah liat.

Katanya, jika dahulu, hasil tanah yang diperolehi adalah sebanyak RM40,000 setahun tetapi sejak MB Inc diaktifkan semula, ia berjaya menjana hasil RM40,000 sebulan.

Sehubungan itu beliau berharap pihak pembangkang dapat melihat isu Perbadanan itu dalam perspektif yang positif dan bukannya negatif.

Jelas beliau MB Inc juga diwujudkan bukan sahaja untuk menjana ekonomi negeri malah menangani ketirisan dalam perkara berkaitan pengurusan pasir.

Dalam masa sama, kata Dr Zambry, perbadanan itu juga telah melaksanakan pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini.

0 comments:

Post a Comment