a Kegiatan Tonto Di Perak Serius ~ zambry.my

Saturday, November 14, 2015

Kegiatan Tonto Di Perak Serius

Kegiatan tonto yang menghalang tugas pegawai dan anggota penguatkuasa awam di negeri Perak semakin serius dan perlu ditangani segera.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pihak berkuasa undang-undang di negara ini perlu mengadakan satu undang-undang yang boleh membendung segera kegiatan tonto daripada terus berleluasa.
Dr Zambry mendedahkan bagaimana beliau mengambil masa 25 minit mengikuti belakang kenderaan tonto yang mengekori sebuah kenderaan anggota penguatkuasa di jalanraya baru-baru ini.
''Saya mengikuti kegiatan mereka ini selama 25 minit, saya melihat mata kepala sendiri, ia amat mengerikan dan saya pula telah diminta oleh pegawai keselamatan saya supaya tidak turun dari kenderaan kerana bimbangkan keselamatan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat minggu Exco di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Rabu.
Dr Zambry bertanya apakah kegiatan tonto tidak menyalahi undang-undang sehingga menyebabkan orang yang berada di sepanjang jalan raya yang melihat kegiatan tonto mengikuti kenderaan penguatkuasa merasa cemas.
''Apakah tidak ada peraturan dan undang-undang yang boleh menahan tonto-tonto ini yang mengekori pihak penguasa awam? soalnya.
Dr Zambry berkata, beliau amat bimbang jika kegiatan tonto-tonto ini tidak dibendung, ia boleh mengancam keselamatan pegawai dan anggota penguatkuasa dalam melaksanakan tugas penguatkuasaan bagi mengekang kegiatan mencuri pasir dan kesalahan lalulintas yang dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Beliau menyuarakan kebimbangan itu kerana takut berlaku senario seolah-olah negara dan negeri ini dikuasai oleh siapa sebenarnya.

0 comments:

Post a Comment