a Pengantarabangsaan Perak Sumbang Manfaat Kepada Pelbagai Sektor ~ zambry.my

Saturday, November 14, 2015

Pengantarabangsaan Perak Sumbang Manfaat Kepada Pelbagai Sektor

Program dan inisiatif yang dijalankan oleh kerajaan negeri dalam pengantarabangsaan Perak telah membuahkan hasil bukan sahaja dalam pemerkasaan idea global malah kepada penjanaan ekonomi pelbagai sektor secara keseluruhannya.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, hasil kaedah yang diaplikasikan seperti penganjuran Dialog Pembangunan Antarabangsa Pangkor (PIDD), telah memberi impak positif kepada pembangunan sektor pelancongan, perhotelan dan penjenamaan negeri di peringkat global.
Menurut beliau, sebagai contoh hasil laporan terbaharu yang diterimanya, lebih 90 peratus hotel di sekitar Ipoh habis ditempah semasa penganjuran PIDD baru-baru ini.
"Ada yang berkata sewaktu dialog antarabangsa itu berlangsung, penyertaannya terhad dan ia tidak begitu memberi kesan namun mereka tidak menyedari "trickle down effect" yang berlaku berikutan program tersebut.
"Pelbagai sektor mendapat manfaat, khususnya dalam sektor perhotelan yang seterusnya akan memberi impak dalam statistik pelancongan dan keadaan ekonomi bandaraya Ipoh juga mendapat impak positif," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian sempena Majlis Anugerah Pelancongan Negeri Perak di Hotel Kinta Riverfront, Ipoh pada malam Jumaat.
Jelasnya, pengantarabangsaan sesebuah kawasan perlulah bergerak secara bersepadu dan memerlukan kerjasama semua pihak dalam memastikan kualiti ketersediaan mampan buat semua pelancong tempatan dan luar negara ke kawasan tersebut. ?
Lantaran itulah, menurut beliau, pelbagai program bertaraf antarabangsa seringkali dilaksanakan di Perak, antaranya PIDD, World Civilisation and Islamic Thoughts (WCIT), Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa Pangkor (PULARA) yang menjadi titik permulaan bagi kerancakan idea global dan pengenalan Perak di mata dunia.
Tambahnya, segala inisiatif yang mempunyai unjuran pemikiran di luar kotak atau di luar kebiasaan itulah yang akan menaikkan Perak sebagai lapangan pencernaan idea dan negeri pelancongan utama pada masa yang sama.
Menurut Dr Zambry, Perak seharusnya memanfaatkan semua jenis khazanah alam dan lokasi bersejarah sedia ada yang mempunyai nilai antarabangsa untuk bersaing secara sihat dalam sektor pelancongan Malaysia.
"Kita tidak boleh bersaing dengan Lembah Klang atau Pulau Pinang atas infrastruktur dan kepelbagaian mereka, tapi kita boleh mengetengahkan apa yang memang tersedia di negeri ini.
We have to show what they don't have, but we have," ujarnya.
?Jelasnya, kejayaan Perak mempertahankan status sebagai negeri yang? menerima jumlah pelancong domestik paling ramai iaitu tujuh juta sejak tiga tahun lepas, merupakan satu petanda kerjasama erat antara semua pihak, kerajaan dan swasta dalam mempromosikan negeri ini.

0 comments:

Post a Comment