a Cahaya Deepavali Untuk Keluarga Miskin Tegar Di Buntong ~ zambry.my

Saturday, November 14, 2015

Cahaya Deepavali Untuk Keluarga Miskin Tegar Di Buntong

Sambutan Deepavali tahun ini benar-benar membawa cahaya kepada sebuah keluarga miskin tegar di Buntong, Ipoh selepas penantian kira-kira 10 tahun untuk memiliki sebuah rumah yang selesa, menjadi kenyataan.
Keluarga R. Shanmugam, 68, yang mendiami sebuah rumah usang, bakal mendapat sebuah rumah baharu tiga bilik yang berharga RM45,000 secara percuma dalam masa tiga atau empat bulan lagi.
Berita gembira itu disampaikan sendiri oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang melawat keluarga tersebut sempena sambutan Deepavali pada Selasa.
Dr Zambry berkata, pembinaan rumah keluarga itu akan dilaksanakan secepat mungkin dan buat sementara waktu, mereka akan ditempatkan di Flat Harmoni yang terletak berhampiran.
"Saya amat sedih melihat keadaan rumah beliau dan kerajaan negeri melalui Yayasan Bina Upaya akan membina semula rumah untuk mereka ini bagi membolehkan keluarganya tinggal dalam sebuah rumah yang baik bagi kehidupan mereka seharian," katanya kepada pemberita semasa lawatan itu.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Modal Insan, Datuk Saarani Mohamed yang juga Pengerusi YBU, Penasihat kepada Menteri Besar, Datuk V. Elango dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man.
Dr Zambry berkata, beliau telah mengarahkan YBU untuk mengambil tindakan segera bagi memastikan masalah ini dapat diatasi.
Di samping itu, katanya, beliau juga telah meminta Majlis Bandaraya Ipoh supaya dapat mengurangkan segala syarat-syarat kerana ia akan mengambil masa yang terlalu lama.
"Kalau kita lihat dari segi keadaan rumahnya, kita tak tahu bila rumah akan runtuh kerana keseluruhan rumahnya telah dimakan anai-anai termasuk juga tiang-tiang serinya," tambahnya.
Selain elaun bulanan RM250 yang disalurkan Jabatan Kebajikan Masyarakat sejak beberapa tahun lalu, keluarga Shanmugam juga akan mendapat elaun tambahan untuk anak kurang upayanya sebanyak RM50 mulai Disember ini.
Sementara itu, keluarga Shammugam melahirkan rasa syukur dengan berita gembira yang disampaikan oleh Menteri Besar itu.
Anak bongsunya, S. Vasanthi, 29, berkata, mereka telah memohon beberapa kali melalui pelbagai saluran tetapi tidak berjaya.
"Saya mengucapkan banyak terima kasih kepada MB, kita banyak lama dah tunggu nak bina rumah ni, perasaan memang happy sangat, gembira sangat," ujarnya.

0 comments:

Post a Comment