a Felcra Serah RM5.6 Juta Kepada Kerajaan Perak ~ zambry.my

Saturday, November 14, 2015

Felcra Serah RM5.6 Juta Kepada Kerajaan Perak

Felcra Berhad menyerahkan cek bayaran pendapatan terkumpul hasil pendapatan projek tanah kerajaan bagi tahun berakhir 2014 kira-kira RM5,607 juta kepada kerajaan negeri Perak.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menerima cek tersebut daripada Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Berhad, Datuk Ramlee Abu Bakar dalam satu majlis ringkas di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Rabu.
Dalam ucapan ringkasnya, Dr Zambry berkata, kerajaan negeri sedang berusaha untuk mengadakan pertemuan dengan beberapa agensi dan syarikat perladangan tertentu bagi mendapatkan hasil pendapatan projek tanah yang diusahakan oleh syarikat-syarikat terbabit.
"Pendekatan yang dilakukan oleh Felcra Berhad ini perlu dijadikan contoh oleh badan-badan terpilih yang sebahagiannya turut terbabit dalam pembangunan tanah milik kerajaan negeri Perak," katanya.
Sementara itu, Felcra Berhad dalam kenyataan medianya memaklumkan bahawa mereka telah membangunkan seluas 10,127.9 hektar tanah milik kerajaan yang terletak di Daerah Manjung, Perak Tengah dan Hilir Perak dengan mengusahakan penanaman kelapa sawit dan padi.
Menurutnya, sebahagian hasil pendapatan itu juga telah disalurkan kepada Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) dan turut memberi manfaat kepada 2,500 orang.
"Felcra Berhad Komited untuk melaksanakan hasrat kerajaan yang mahu melihat supaya pembangunan negara dapat dinikmati secara menyeluruh oleh rakyat sehingga ke peringkat luar Bandar dan pedalaman," tambah kenyataan itu.
Felcra Berhad turut memberi perhatian pembangunan generasi kedua menerusi penyusunan semula kampung, pembinaan prasarana dan pusat pembangunan luar bandar, kemudahan asas sosial dan institusi.
Sehingga kini, sebanyak 1,161 buah rumah mampu milik generasi kedua telah dibangunkan di dua lokasi iaitu Seberang Perak melibatkan 1,059 buah rumah –pembinaan dan Lekir 102 buah rumah perancangan dengan jumlah kos pembangunan melebihi RM177.36 juta.

0 comments:

Post a Comment