a Bajet 2016 Catat Defisit RM49.18 Juta ~ zambry.my

Tuesday, November 17, 2015

Bajet 2016 Catat Defisit RM49.18 Juta

Bajet 2016 Perak yang dibentangkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pada Sidang Dewan Undangan Negeri pada Selasa mencatatkan defisit sebanyak RM49.18 juta berbanding RM50juta defisit pada tahun ini.
Dr Zambry ketika membentangkan bajet itu berkata, bajet tahun ini disediakan dengan unjuran hasil dan terimaan pembangunan sebanyak RM1,039,642,549 yang terdiri daripada hasil cukai , hasil bukan cukai dan terimaan bukan hasil berjumlah RM999.64 juta dan terimaan pembangunan RM40 juta.
"Anggaran Perbelanjaan Mengurus tahun 2016 di bawah maksud tanggungan dan Bekalan dicadangkan sebanyak RM691.38 juta, ia merangkumi RM328.11 juta bagi perbelanjaan emolument, RM256.33 juta bagi perkhidmatan dan bekalan, RM10.41 juta bagi pembelian asset, RM93.73 juta untuk pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap serta RM2.80 juta untuk lain-lain perbelanjaan.’’ katanya.
Menurut Dr Zambry, peruntukan pembangunan tahun 2016 pula disediakan sebanyak RM397.44 juta di mana sektor sosial dan kesejahteraan rakyat menerima agihan tertinggi iaitu RM192.85 juta, diikuti peruntukan untuk infrastruktur berjumlah RM152.47 juta untuk sektor ekonomi.
Beliau berkata, dengan mengambil kira unjuran hasil dan terimaan pembangunan berjumlah RM1,039,642,549 serta perbelanjaan mengurus dan pembangunan berjumlah RM1,088,821,225.
Katanya, dengan bertemakan Belanjawan Berhemah Rakyat Sejahtera, Bajet 2016 ini dirangka berteraskan pertanggungjawaban, keberkesanan, kecekapan dan penyelarasan.
Dr Zambry berkata, teras-teras ini merupakan elemen penting dalam tadbir urus yang baik.
Menteri Besar berkata, matlamat Berlanjawan Berhemah Rakyat Sejahtera ini dirangka dengan tujuh fokus utama iaitu memperkasakan pertumbuhan ekonomi, memantapkan urus tadbir, mengupayakan pendidikan, modal insan, potensi generasi muda dan wanita, memperteguhkan integrasi dan keharmonian, memperkukuhkan jaringan infrastruktur, mensejahterakan kehidupan rakyat dan menyemarakkan syariat.
Dalam usaha memperkasakan pertumbuhan ekonomi, katanya, kerajaan negeri komited untuk meneruskan beberapa rancangan pembangunan ekonomi yang melibatkan pembangunan koridor pertumbuhan.
Menurut beliau, selain daripada insentif kepada pemaju-pemaju kawasan perindustrian baru seperti pemberian taraf fast-track, mengenakan kos premium tanah yang rendah dan pemberian diskaun antara 10 hingga 30 peratus bagi premium mengubah syarat nyata tanah daripada pertanian kepada perindustrian, peluang terbuka luas diberikan kepada pemaju tempatan dan luar negara untuk meneroka potensi pembangunan kawasan industri baru di negeri ini.
Katanya, beberapa kawasan industri baru strategik telah dirancang dan akan dibangunkan dalam masa terdekat oleh agensi kerajaan negeri dan syarikat swasta antaranya termasuk Perak Hi-Tech Industrial Park di Kanthan, kawasan Perindustrian Lembah Beriah, Kawasan Perindustrian di Sungai Wangi dan Green Asia Aerospace Teknology Park di Seri Iskandar.
Menteri Bear berkata, perancangan juga telah dibuat bagi membangunkan Wilayah Perak Selatan sebagai pelan rancangan pembangunan komprehensif bagi menyedia dan menampung impak pembangunan berskala besar yang meliputi Daerah Batang Padang dan Hilir Perak.
"Bagi memastikan Pembangunan Wilayah Perak Selatan tidak terpisah dengan kerancakkan pembangunan nasional, kerajaan negeri telah mencadangkan agar cakupan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) diperluaskan dengan melibatkan kawasan pembangunan Wilayah Perak Selatan ini.’’ katanya.
Dr Zambry berkata, Pembangunan Wilayah Perak Selatan akan dilaksanakan oleh PKNP dan antara cadangan pembangunan yang akan dibangunkan adalah Rungkup Waterfront City, Bandar Baru Bidor, Bandar Baru Tapah Road, Bandar Baru Sungkai, Bandar Baru Teluk Intan, One Malaysia Youth City dan Automotive City di Tanjung Malim.
Katanya, perancangan pembangunan ini selaras dengan kelulusan kerajaan Persekutuan bagi penubuhan daerah baru iaitu Daerah Mua’llim yang akan merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri Perak disamping meningkatkan taraf hidup rakyat setempat khasnya dan penduduk negeri Perak amnya.

0 comments:

Post a Comment