a Rugi Lebih RM500,000 Kerana Besi Jambatan Dicuri ~ zambry.my

Wednesday, February 10, 2016

Rugi Lebih RM500,000 Kerana Besi Jambatan Dicuri

Perbuatan pihak tidak bertanggungjawab mencuri  besi penghadang dan kabel elektrik dan telefon pada Jambatan Raja Permaisuri Bainun, Kampung Baru Sitiawan telah mengakibatkan kerugian lebih RM500,000.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, sehubungan itu beliau telah meminta polis menubuhkan jawatankuasa bagi membanteras perbuatan itu dan memburu kumpulan atau individu yang melakukan perbuatan jenayah itu.

"Kita tidak boleh membiarkan mereka merosakkan harta benda awam," katanya kepada pemberita selepas meninjau keadaan di jambatan itu hari ini.

Beliau juga telah menyuruh pegawai daerah selaku pengerusi jawatankuasa keselamatan daerah mengambil tindakan segera kerana perbuatan tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja merugikan pelbagai pihak, malah mengundang bahaya kepada pengguna jambatan yang beroperasi sejak 2001.

Terdahulu, Zambry menghadiri rumah terbuka Tahun Baharu Cina bekas Ahli Parlimen Lumut Tan Sri Kong Cho Ha di Kampung Bintang, di sini.

Sementara itu, pada majlis penyampaian watikah pelantikan ketua kampung bagi sesi 2016/2018 kawasan Parlimen Lumut, Zambry berharap ketua kampung memainkan peranan lebih aktif sebagai pemimpin di peringkat akar umbi bagi memastikan segala perancangan kerajaan berjalan lancar dan efektif.

Beliau berkata, ketua kampung sebagai jentera kerajaan juga berfungsi menyatukan  masyarakat selain menyelesaikan setiap masalah yang dihadapi masyarakat di kawasan masing-masing.

"Ketua kampung tidak boleh membeza-bezakan (masyarakat) ketika membantu mengatasi masalah contohnya kemiskinan atau apabila berlaku bencana di kawasan terlibat.

"Juga perlu memastikan generasi muda diberi ruang sekali gus menjadi pengundi dan menangani masalah sosial secara bersama," katanya.

0 comments:

Post a Comment