a Pemeriksaan Mengejut Kebersihan Awam ~ zambry.my

Friday, February 5, 2016

Pemeriksaan Mengejut Kebersihan Awam

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir hari ini memberi amaran pemeriksaan mengejut akan dilakukan secara berterusan bagi memastikan kebersihan tandas awam berada pada tahap memuaskan.

Beliau berkata, selain tandas awam yang disediakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), tandas di dalam premis restoran dan kedai makan juga tidak terlepas daripada pemeriksaan mengejut itu.

"Semua restoran sila pastikan bilik air dalam keadaan bersih kerana tandas dalam restoran itu juga dikira tandas awam ... kedai makan didapati tidak menjaga tandas dengan baik, berbau busuk ... PBT boleh ambil tindakan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini.

Dalam sidang media itu, Zambry turut menunjukkan gambar tandas kotor yang beliau rakam sendiri menggunakan telefon bimbit dalam pemeriksaan mengejut baru-baru ini.

Sementara itu, Menteri Besar berkata kerajaan negeri komited untuk menangani masalah kewujudan ladang ternakan khinzir secara haram di negeri ini bagi mengekang penularan penyakit berkaitan haiwan itu.

Beliau berkata, sebuah jawatankuasa khas yang mengambil pendekatan 'bipartisan' akan diwujudkan untuk melihat isu tersebut secara menyeluruh.

"Kita bimbang dengan kedudukan ladang-ladang ternakan babi yang wujud secara haram dan kalau tiada kawalan apa akan jadi kepada negeri Perak," katanya.

Jelas Zambry, jawatankuasa itu antara lain akan dianggotai wakil daripada beberapa jabatan kerajaan seperti Jabatan Alam Sekitar; Pejabat Tanah dan Galian; Jabatan Perancang Bandar Dan Desa selain turut disertai wakil parti pembangkang.

Beliau berkata jawatankuasa khas itu akan dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu Datuk Dr Mah Hang Soon. 

0 comments:

Post a Comment