a Al-Barakah Mungkin Jadi Maahad Tahfiz ~ zambry.my

Friday, February 5, 2016

Al-Barakah Mungkin Jadi Maahad Tahfiz

Kerajaan negeri Perak menimbang kemungkinan untuk menjadikan Pusat Pendidikan Al-Barakah, Manjoi di sini sebagai Sekolah Maahad Tahfiz bertaraf asrama penuh, kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata, cadangan itu selaras dengan usaha kerajaan negeri untuk mewujudkan Sekolah Maahad Tahfiz di setiap daerah di Perak.

"Kerajaan negeri serta Jabatan Agama Islam Perak akan meneliti perkara tersebut dengan mengambil kira pelbagai aspek dan segala cadangan akan diambil kira secara positif," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pendidikan Al-Barakah hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, pengasas Pusat Pendidikan Al-Barakah Datuk Mohammad Kazim Elias serta Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah, Datuk Mohd Nizar Zakaria.

Pada majlis itu, Zambry mengumumkan sumbangan kerajaan negeri sebanyak RM500,000 kepada pusat berkenaan.

Zambry berkata, ketika ini beberapa Sekolah Maahad Tahfiz seperti di Manjung dan Tapah sedang dalam pembinaan, manakala sebuah lagi di Lenggong akan mula dibina dalam tempoh terdekat.

Menurut Zambry, Pusat Pendidikan Al-Barakah merupakan satu daripada pusat pelancongan Islam di Perak dan telah menyumbang kepada peningkatan jumlah pelancong domestik ke negeri ini.

Katanya, Perak mencatat kehadiran pelancong domestik terbanyak di negara ini pada 2014 iaitu seramai 6.1 juta orang dan jumlah itu meningkat kepada 6.3 juta tahun lepas.

Terdahulu, Mohammad Kazim mengalukan-alukan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan pusat pendidikan itu sebagai Sekolah Maahad Tahfiz dan mencadangkan agar bangunan sedia ada dikekalkan kerana ia mempunyai prasarana lengkap serta cantik.

Menjelas lanjut mengenai pusat itu, Mohammad Kazim berkata kehadiran pengunjung untuk menimba ilmu agama di pusat pendidikan berkenaan pada Sabtu dan Ahad mencecah 170,000 orang tahun lepas.

"Jumlah itu tidak termasuk mereka yang biasa datang dan menghadiri sesuatu majlis di pusat itu," katanya sambil menambah pusat itu mempunyai 67 tenaga pengajar termasuk dari Kemboja dan Thailand dengan 1,000 pelajar.

Katanya, satu unit baharu ditubuhkan iaitu unit pengajian pondok untuk pelajar dari usia 11 tahun. 

0 comments:

Post a Comment