a Darjah Kebesaran Palsu: Perak Perkenal Enakmen Khas ~ zambry.my

Friday, February 5, 2016

Darjah Kebesaran Palsu: Perak Perkenal Enakmen Khas

Kerajaan negeri akan mewujudkan satu enakmen khas bagi membendung pemberian darjah kebesaran palsu seperti yang dilakukan Maharaja Kinta sebelum ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, masalah itu perlu dipandang serius selain beliau juga mengharapkan kerajaan pusat membantu dari sudut penguatkuasaan undang-undang.

“Perkara ini sudah dibincangkan beberapa kali sebelum ini dan dikemukakan supaya satu undang-undang khas diwujudkan.

“Mungkin peringkat negeri kita boleh wujudkan tetapi dari sudut penguatkuasaan ia perlu datang daripada peruntukan yang ada di peringkat pusat,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini, semalam.

Zambry berkata, lebih membimbangkan ada dalam kalangan individu yang menganugerahkan darjah kebesaran itu menyatakan bahawa mereka mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Kerabat Diraja Perak.

“Ada antara mereka yang sampai pakai gelaran Datuk Seri, Ahli Setia Diraja Perak dan sebagainya, sedangkan ia salah dan hanya Sultan Perak berhak ke atas sebarang penganugerahan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya berharap orang ramai berhati-hati dan tidak sesekali terlibat dengan kegiatan negatif itu.

“Suka saya ingatkan kepada orang ramai supaya jangan sesekali terlibat dengan kegiatan yang tidak bermoral ini,” katanya.

0 comments:

Post a Comment