a November 2014 ~ zambry.my

Friday, November 28, 2014

Akta Hasutan Bukan Hanya Untuk Melayu

Langkah mengekalkan Akta Hasutan bukan hanya untuk orang Melayu, sebaliknya untuk semua pihak demi kebaikan dan kedaulatan negara keseluruhannnya.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pihak-pihak tertentu, seperti pembangkang, yang cuba menggambarkan seolah-olah akta ini hanya untuk mempertahankan orang Melayu.
Menurut beliau, akta ini harus dilihat dalam konteks yang lebih besar demi menjamin keamanan dan
kesejahteraan negara.
"Kita jangan bicarakan hanya dalam soal kepentingan dan hak orang Melayu, yang kita fikirkan ialah hak dan kepentingan sebuah negara dan kita tidak boleh memikirkan semata-mata untuk menghalang orang memalukan kita tetapi perlu lihat dalam konteks yang lebih luas," katanya pemberita selepas lawatan ke Laman Media pada Khamis.
Dr Zambry berkata, orang Melayu merupakan majority di negara ini dan sudah tentu timbul rasa kurang sebang apabila ada pihak yang cuba memalukan atau menghina agama Islam dan mencerca orang Melayu.
"Begitu juga orang lain tidak mahu agama mereka dicerca, kaum mereka dihina dan sebagainya, inilah saya melihat merupakan spirit utama kepada akta ini dikekalkan," ujar beliau.
Dr Zambry berkata, langkah mengekalkan akta itu membuktikan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak memahami dan mengambil kira pandangan dari akar umbi.
"Walaupun kita tahu ada gerakan untuk mengubah langsung Akta Hasutan ini tetapi melihatkan dari segi cabaran-cabaran yang ada, dan beliau mendengar padangan dan mengambil kira," tambahnya.
Mengenai isu peremajaan UMNO yang menjadi antara fokus perhimpunan agung tahun ini, beliau berkata, ia bukan hanya semata-mata untuk ruang kepada golongan muda tetapi mengambil kira keanjalan parti untuk menghadapi cabaran semasa.
Menurutnya, cabaran yang dihadapi UMNO ketika penubuhan 68 tahun lalu sudah tentu tidak sama dengan cabaran yang dihadapi sekarang dan adalah penting untuk memastikan parti itu masih relevan berhadapan isu-isu semasa.
"Ia tidak hanya berkisar kepada memberi ruang kepada golongan muda, yang memang menjadi salah satu agenda besar UMNO, tetapi juga jangan lupa membuat persiapan kepada generasi muda juga penting," kata beliau.
Dr Zambry berpendapat, konsep peremajaan UMNO ialah bagaimanapun menentukan UMNO terus mampu berhadapan dengan cabaran masa kini dan memberi ruang kepada generasi muda di samping terus memberi peluang kepada pemimpin lama yang bersifat anjal pemikirannya.

Thursday, November 27, 2014

Perhimpunan Agung UMNO 2014 Bermula

Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2014 yang akan berlangsung selama tiga hari di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bermula dengan upacara menaikkan bendera Sang Saka Bangsa pada pagi Khamis.
Upacara diikuti dengan nyanyian lagu Negaraku serta lagu UMNO "Bersatu Bersedia Berkhidmat" sambil disertai oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak, ketiga-tiga Naib Presiden, Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Tetap serta Ahli Majlis Tertinggi.
Ketika upacara itu juga Najib turut memeriksa barisan yang terdiri daripada 50 anggota Pergerakan Pemuda 50 anggota Wanita dan 50 anggota Puteri UMNO yang disertai oleh Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Selepas selesai acara diperkarangan PWTC, PAU 2014 dimulakan dengan ucapan dasar Presiden UMNO di hadapan 2,763 perwakilan sekaligus merasmikan perhimpunan tahunan parti tersebut.
Seramai 85 delegasi dari 19 buah negara mewakili 27 parti masing-masing termasuk Fatah dan Hamas dari Palestin turut hadir pada majlis perasmian dan mendengar sesi ucapan dasar Presiden UMNO.
Antara intipati ucapan dasar ialah menekankan kepada pentingnya solidariti I kalangan semua pihak, termasuk di Sabah dan Sarawak.
Selain itu, ucapan dasar yang diselang seli dengan tayangan multi media mengenai sejarah lalu turut menyentuh beberapa isu lain, antaranya mengenai penggubalan Akta Kerhamion Sosial menggantikan Akta Hasutan 1948.
Perhimpunan agung tahun ini menerima sebanyak 755 usul aripada 191 bahagian UMNO untuk dibahaskan membabitkan 638 usul untuk rujukan dan 117 usul tanpa bahas.

Friday, November 14, 2014

Ipoh Jadi Bandaraya Ceria, Beridentiti

Kerajaan negeri merancang menjadikan Ipoh sebagai bandaraya ceria yang mempunyai identiti tersendiri serta berdaya huni.
Menteri Besar Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, perbincangan berkaitan rancangan tersebut telah dibuat dengan pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Ahli-ahli majlis dan ketua-ketua jabatan bagi merealisasikan hasrat itu.
Menurut beliau, kesemua pihak yang terlibat telah diminta untuk merancang pelan jangka panjang untuk melihat bandaraya Ipoh dalam masa 10 tahun akan datang.
"Kita telah berbincang dari segi bagaimana kita boleh mengunakan kelebihan yang ada dari segi alam sekitar untuk kita jadikan satu tarikkan di bandaraya Ipoh ini.
"MBI juga telah pun diarah untuk mempertingkat keadaan landskap bagi menghijaukan Ipoh.
"Dari segi daya huninya pula kita telah mendapat reaksi yang amat positif di kalangan penduduk bandar dan kita berhasrat untuk terus mempertingkatkan daya huni tersebut bagi menambah keselesaan di bandar ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat di antara MBI, Ahli-ahli majlis serta ketua-ketua jabatan di Bangunan MBI pada Khamis.
Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Seri S.K Devamany, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Saarani Mohamad dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Harun Rawi,
Dr. Zambry memberitahu, bagi memastikan Ipoh terus berdaya huni, pihak MBI juga telah menzahirkan cadangannya untuk menambah peruntukkan bagi membasmi kemiskinan di kalangan masyarakat bandar.
Selain itu, aspek kebersihan bandaraya Ipoh juga turut diberi penekanan bagi mencapai hasrat kerajaan negeri apabila Dr. Zambry turut meminta MBI untuk mempertingkatkan lagi kualiti kebersihan di bandaraya Ipoh.
"Kita mahu Ipoh menjadi lambang kebersihan, bukan sahaja di peringkat negara, malah di peringkat antarabangsa. Kita mahu tingkatkan segala aspek kebersihan di bandar ini khusnya sampah, rumput dan juga tandas awam," ujarnya.
Sehubungan itu, beliau memberi amaran kepada pengusaha-pengusaha restoran untuk pastikan tandas mereka bersih dengan gred A.
Dalam mesyuarat tersebut, pihak MBI juga telah diminta untuk memaklumkan kepada kerajaan negeri jika terdapat kelewatan berkaitan projek-projek pembangunan untuk diberi perhatian.

Tuesday, November 11, 2014

Isu Penguatkuasaan Perlu Diberi Lebih Penekanan - Dr Zambry

Semua agensi dan kakitangan kerajaan digesa memberi lebih penekanan kepada aspek penguatkuasaan supaya sistem penyampaian kerajaan kepada rakyat dapat berjalan dengan berkesan.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata aspek penguatkuasaan perlu diberi keutamaan kerana kegagalan pelaksanaannya sering mengakibatkan segala perkara yang diputuskan kerajaan terbantut termasuk sistem penyampaian yang ada.
Katanya, apa yang dibimbangi ia juga akan membuka ruang kepada pihak-pihak tertentu untuk bertindak dengan lebih teruk lagi.
"Saya tidak mahu mengambil contoh mana-mana tapi kita telahpun mendapat maklumat-maklumat sepertimana yang disiarkan di dalam akhbar berkaitan perkara ini apabila penguatkuasaan tidak dilaksanakan maka akan menyebabkan berlakunya perkara-perkara yang tidak baik semakin berleluasa,'' katanya.
Dr Zambry berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan amanat sulungnya pada perhimpunan pertama bersama kakitangan awam di Dataran
Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Selasa.
Hadir sama diperhimpunan itu, barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan Setiasaha Kerajaan Negeri, Dato' Seri Abdul Puhat Mat Nayan.
Menurut Menteri Besar, bagi beliau yang paling penting ialah bagaimana mewujudkan satu pasukan yang mantap dalam kakitangan awam bagi memastikan semua dasar yang telah diputuskan dan juga digariskan oleh kerajaan negeri dapat dilaksanakan secara bersama.
Kepada soalan pemberita, katanya, beliau mencadangkan agar perhimpunan seperti itu diadakan sebulan sekali bagi membolehkan kerajan negeri menyampaikan arahan-arahan terkini tentang sesuatu perkara kepada kakitangan awam.
Terdahulu dalam ucapannya Dr Zambry mengingatkan kakitangan awam tentang pentingnya aspek sistem penyampaian dalam memberikan perkhidmatan terbaik dan berkesan kepada rakyat.
Katanya, pencapaian yang telahpun diperolehi selama ini merupakan hasil kerjasama erat dan pelaksanaan sistem penyampaian yang berkesan di kalangan kakitangan awam.
Menteri Besar turut menjelaskan bahawa tujuan perhimpunan itu diadakan bagi meningkatkan lagi mutu perkhidmatan awam dan membina semangat berpasukan di kalangan kakitangan awam.
Selain itu, katanya ia juga bertujuan membolehkan kerajaan negeri menyampaikan arahan-arahan terkini berkaitan dengan sesuatu perkara kepada kakitangan awam.

Friday, November 7, 2014

Sultan Nazrin Rasmi Teluk Rubiah Maritime Terminal

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan Teluk Rubiah Maritime Terminal, Seri Manjung pada pagi Jumaat.
Turut mengiringi baginda, Datuk Seri Raja Eleena yang juga Ahli Lembaga Pengarah terminal tersebut.
Sultan Nazrin tiba di Armada Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) Lumut kira-kira jam 9 pagi, disambut Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.
Majlis dimulakan dengan gimik perasmian baginda melancarkan pembukaan visual di pekarangan utama Teluk Rubiah Maritime Terminal.
Baginda turut meluangkan masa meninjau persekitaran tersebut bersama-sama dengan kenamaan yang hadir.
Baginda kemudiannya menunaikan solat Jumaat bersama warga TLDM di Masjid An-Nur, Pengkalan TLDM Lumut.
Teluk Rubiah Maritime Terminal, milik penuh Vale Malaysia Minerals Sdn. Bhd yang bernilai kira-kira RM 4.11juta (USD1.37 billion) memulakan operasi pertamanya hari ini selepas pembinaan yang mengambil masa tiga tahun.
Sementara itu,Ketua Pegawai Operasi Vale Malaysia Mineral Sdn Bhd, Murilo Ferreira berkata, kejayaan syarikat itu membina terminal tersebut adalah hasil sokongan dan kerjasama baik daripada penduduk tempatan dan kerajaan negeri.
"90 peratus kakitangan Vale adalah warga tempatan dan 600 kakitangan terdiri daripada golongan pelatih yang direkrut di bawah program bimbingan industri Vale sendiri.
"Saya yakin ia dapat meningkatkan peluang pekerjaan dan kemahiran masyarakat tempatan, di samping membalas jasa baik kerajaan negeri dan masyarakat di dalam pembinaan syarikat berasaskan pemprosesan bahan mineral ini," ujarnya.

Thursday, November 6, 2014

Dr Zambry Minta Pemilik Bangunan Lama Jaga Imej Perak

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir meminta pemilik-pemilik bangunan lama di sekitar Bandaraya Ipoh memulihara bangunan mereka dengan baik demi menjaga imej negeri Perak.
Katanya, mereka diminta menceriakan bangunan–bangunan lama dengan lakaran-lakaran menarik agar kelihatan lebih indah dan cantik sekaligus dapat menarik perhatian pelancong yang berkunjung ke Ipoh.
''Hari ini ada di kalangan mereka sudahpun membuat lakaran menarik seperti orang sedang minum kopi dan mengecat bangunan lama dengan pelbagai warna sehingga menarik perhatian pelancong yang datang melawat Bandaraya Ipoh,'' katanya.
Dr Zambry berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Rabu.
Menurut Menteri Besar, beliau telah mendapat maklum balas positif daripada pelancong dan anak anak-anak Perak yang melihat perubahan berlaku di Bandaraya Ipoh.
''Ini adalah hasil daripada semangat kerjasama di kalangan rakyat kita yang menyebabkan Ipoh sekarang sudah berubah wajah,'' ujarnya.
Beliau juga mengulangi peringatannya kepada pemilik-pemilik bangunan lama supaya sentiasa memulihara bangunan mereka dengan baik terutama tentang soal keselamatan bangunan.
''Kita tidak mahu melihat ada peristiwa yang menyebabkan bangunan-bangunan lama itu runtuh akhirnya dan oleh yang demikian saya ingin mengulangi sekali lagi untuk dapatkan kerjsama pihak tuanpunya bangunan lama supaya menjaga bangunan mereka dengan baik,'' kata Dr Zambry.
Menurut beliau, kalau sekiranya bangunan tersebut dikategorikan sebagai bangunan warisan mereka hendaklah mengambil langkah penting bagi memulihara bangunan berkenaan dengan baik.
Katanya lagi, kerajaan negeri sedang melihat kemungkinan untuk mengenakan peraturan-peraturan yang ada dalam undang-undang terhadap pemilik bangunan lama yang didapati gagal memulihara bangunan mereka sehingga menimbulkan kesulitan kepada orang ramai dan mencacatkan pemandangan keadaan Bandaraya Ipoh.

Wednesday, November 5, 2014

Bajet 2015 Perak Tekankan Tiga Elemen Penting

Kerajaan negeri akan memberi penekanan kepada tiga perkara penting dalam Bajet 2015 yang akan dibentangkan pada Sidang Dewan Negeri Perak awal Disember depan.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, tiga perkara itu ialah meneruskan soal pertumbuhan negeri, memastikan pengurusan Bajet yang efektif dan melihat kebajikan rakyat.
"Kerajaan negeri akan melihat semua faktor yang perlu diambil kira termasuk soal meneruskan pertumbuhan untuk memastikan pengurusan bajet yang efektif dan melihat aspek kebajikan rakyat,'' katanya.
Dr Zambry berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Wawancara Selamat Pagi Perak di Perakfm, RTM Perak, Ipoh pada Selasa.
Wawancara itu dikendalikan oleh Ketua Bahagian Rancangan Perakfm, Fauzi Ramli dengan kehadiran dua tetamu undangan iaitu Pengarang Suara Perak, Puan Mazni Mustafa dan Syed Hisham Syed Idris, Ketua Biro Utusan, Ipoh.
Dr Zambry juga berkata, beliau tidak gemar menggunakan istilah kejutan pada pembentangan Bajet negeri 2015 nanti kerana ia memboleh membawa pengertian positif dan negatif.
Katanya, beliau mahukan Bajet Negeri 2015 yang akan dibentangkan nanti dilihat lebih sederhana.

Sunday, November 2, 2014

Perak Sedia Hadapi Banjir

Kerajaan negeri akan memantau kesemua daerah yang terdapat di Perak bagi memastikan masalah banjir dapat ditangani.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, pihaknya telah pun mengarahkan kesemua pejabat daerah khususnya melalui Majlis Keselamatan Negeri untuk memulakan persiapan bagi menghadapi masalah tersebut.
Katanya, melalui maklum balas yang diterima daripada beberapa daerah setakat ini, khususnya di Kerian, Perak Tengah dan Hilir Perak, hujan lebat telah pun menenggelamkan beberapa kampung.
Menurut beliau, Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air Datuk Zainol Fadzi Paharuddin dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Datuk Shahrul Zaman Yahya telah pun diminta untuk memantau beberapa daerah tersebut.
"Setakat ini kita hanya mendapati kawasan yang mulai hadapi masalah ini di kawasan Hilir Perak, Kerian dan juga sebahagian kawasan Perak Tengah dan khususnya di Teluk Intan.
"Kerana hujan yang begitu lebat sekali telah pun menenggelamkan beberapa kampung setakat ini, jumlah masih tidak ramai tetapi kita akan terus memantau kerana hujan yang lebat berlaku setiap hari dan hujan ini akan memberi kesan," katanya.
Beliau berkata demikian pada pemberita ketika melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Banjir Sungai Kuching, Simpang Tiga yang telah melibatkan lima keluarga pada Ahad.
Jelas Dr. Zambry, Hilir Perak merupakan kawasan di penghujung, justeru ia memberi kesan limpahan daripada laluan air dan setakat ini ia telah melibatkan enam keluarga manakala di Kerian pula telah melibatkan 22 keluarga.

10,000 Hadiri Rumah Terbuka Deepavali Peringkat Negeri

Hampir 10,000 rakyat menghadiri Majlis Rumah Terbuka Deepavali peringkat negeri Perak yang berlangsung di Kompleks Pelancongan Bagan Datoh pada Ahad.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim turut berkenan mencemar duli menghadirkan diri bersama-sama Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa serta Raja Puan Besar, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah dan Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah serta Raja Puan Muda, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, barisan exco kerajaan negeri serta pasangan masing-masing juga turut hadir.

Majlis bermula kira-kira jam 10 pagi dengan keberangkatan tiba Sultan Perak dan hadirin telah dihiburkan dengan pelbagai persembahan menarik sepanjang majlis berlangsung sambil menikmati juadah yang disediakan.

Semangat 1Malaysia dapat dirasai ketika majlis tersebut berlangsung apabila kesemua bangsa turut hadir bersama-sama untuk meraikan pesta cahaya tersebut.
Sultan Perak turut berkenaan memberikan sumbangan Deepavali kepada lebih 30 kanak-kanak pada majlis itu.

Menurut seorang pengunjung, Azahari Kamaruddin, 45, sambutan tersebut mengambarkan penyatuan yang kukuh di antara rakyat di negara ini, khususnya Perak.

Katanya, dia amat gembira kerana dapat melihat kesemua bangsa telah hadir pada sambutan tersebut.

"Ini sangat bagus, kita boleh tengok pelbagai bangsa di sini tegur menegur di antara satu sama lain, ia amat mengembirakan saya," ujarnya pada pemberita ketika ditemui.

Bagi N. Nageswari, 25, pula dia amat gembira dengan keputusan kerajaan negeri untuk menyambut perayaan tersebut di Bagan Datoh.

Katanya, langkah tersebut telah memberi peluang kepada ramai orang luar bandar khususnya kaum India untuk menghadirinya.

"Jika dibuat di Ipoh, ianya agak jauh untuk orang luar bandar, terima kasih kerana mengadakan sambutan ini di sini," katanya.

Bersyukur Dengan Nikmat Keamanan


Rakyat harus bersyukur dengan nikmat keamanan dan keharmonian yang dikecapi ketika ini, katanya Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir.
Menurut beliau, rakyat tidak seharusnya mengambil mudah perkara tersebut kerana terdapat negara lain yang kurang bernasib baik jika dibandingkan dengan Malaysia.
“Tatkala ada negara lain di dunia mengalamai pergolakan dan huru-hara, usahkan untuk menyambut perayaan, keadaan kehidupan mereka juga amat sukar sekali.
“Namun kita di Malaysia dapat menyambut perayaan dalam suasana harmonis, saling hormat menghormati dan aman damai, untuk itu, kita seharusnya bersyukur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika memberi ucapan perasmian pada majlis Rumah Terbuka Deepavali peringkat negeri Perak di Bagan Datoh, pada Ahad.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim turut mencemar duli berangkat memeriahkan sambutan tersebut yang dihadiri hampir 10,000 orang daripada pelbagai kaum.
Dr Zambry meminta rakyat agar tidak mempertaruhkan kesinambungan perpaduan, kemanan dan kemakmuran yang diperoleh ketika ini.
“Perpaduan, kemanan dan kemakmuran yang diperolehi ketika ada hasil daripada toleransi dan persefahaman di antara kaum yang telah dipelopori sejak berdekad lamanya.
“Janganlah kita mengejar fatamorgana sehingga terlupa kepada nikmat yang kita ada ketika ini,” ujarnya.
Menurut Dr. Zambry, Perak merupakan antara negeri di Malaysia yang mempunyai populasi penganut agama Hindu yang besar dan mereka telah banyak menyumbang kepada pembangunan negeri.
Beliau mengesa masyarakat Hindu untuk terus mempertingkatkan lagi kecemerlangan yang dicapai oleh komuniti tersebut dan menjadikan kejayaan itu sebagai inspirasi dan aspirasi buat semua.
“Kerajaan negeri akan terus membantu menyelesaikan pemasalahan yang dihadapi, memenuhi keperluan anda sekalian sebaik mungkin.
“Kita juga akan menjaga kebajikan anda sebagaimana yang telah kita laksanakan selama ini,” katanya.

Ipoh Mega TTS Dalam Kalendar Pelancongan Perak

Kerajaan negeri Perak akan memasukan program Ipoh Mega TTS 2014 ke dalam kalendar pelancongan negeri, kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Menurut beliau, secara dasarnya kerajaan negeri telah bersetuju dengan cadangan tersebut kerana ia dilihat dapat mempromosikan Perak dari segi pelancongan dalam negara.
Kata beliau, selain mempromosi, perhimpunan seperti itu juga dapat memberi pendedahan kepada peserta-pesertanya yang datang daripada seluruh pelusuk negara mengenai Perak.
“Kerajaan negeri amat mengalu-alukan perhimpunan skuter seperti ini dan secara dasarnya kita bersetuju memasukan program ini ke dalam kalendar pelancongan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan perhimpunan tersebut di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh pada malam Sabtu.
Pada program tersebut, Dr Zambry turut menyertai konvoi bersama-sama hampir 500 peserta perhimpunan itu dari Masjid Sultan Azlan Shah ke Dataran Bandaraya Ipoh bagi tujuan perasmian.
Ipoh Mega TTS 2014 merupakan program perhimpunan ahli kelab pemilik motosikal kategori skuter seluruh negara bagi tujuan membina rangkaian yang lebih erat di antara ahlinya.
Menurut Presiden Ipoh Scooter Riders (ISR), Mohd Zawawi Mohd Ansop, program yang masuk kali ketiga penganjurannya itu telah mengumpul hampir 600 ahli kelab skuter seluruh negara.
Katanya, program tersebut diadakan bagi memperkenalkan Ipoh khususnya, serta negeri Perak secara amnya dari kaca mata pelancongan.
Ipoh Mega TTS 2014 merupakan program yang dianjurkan oleh ISR dengan kerjasama Ifrad Adventure, DWau Travel dan DRB-Hicom.