a Ipoh Jadi Bandaraya Ceria, Beridentiti ~ zambry.my

Friday, November 14, 2014

Ipoh Jadi Bandaraya Ceria, Beridentiti

Kerajaan negeri merancang menjadikan Ipoh sebagai bandaraya ceria yang mempunyai identiti tersendiri serta berdaya huni.
Menteri Besar Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, perbincangan berkaitan rancangan tersebut telah dibuat dengan pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Ahli-ahli majlis dan ketua-ketua jabatan bagi merealisasikan hasrat itu.
Menurut beliau, kesemua pihak yang terlibat telah diminta untuk merancang pelan jangka panjang untuk melihat bandaraya Ipoh dalam masa 10 tahun akan datang.
"Kita telah berbincang dari segi bagaimana kita boleh mengunakan kelebihan yang ada dari segi alam sekitar untuk kita jadikan satu tarikkan di bandaraya Ipoh ini.
"MBI juga telah pun diarah untuk mempertingkat keadaan landskap bagi menghijaukan Ipoh.
"Dari segi daya huninya pula kita telah mendapat reaksi yang amat positif di kalangan penduduk bandar dan kita berhasrat untuk terus mempertingkatkan daya huni tersebut bagi menambah keselesaan di bandar ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat di antara MBI, Ahli-ahli majlis serta ketua-ketua jabatan di Bangunan MBI pada Khamis.
Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Seri S.K Devamany, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Saarani Mohamad dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Harun Rawi,
Dr. Zambry memberitahu, bagi memastikan Ipoh terus berdaya huni, pihak MBI juga telah menzahirkan cadangannya untuk menambah peruntukkan bagi membasmi kemiskinan di kalangan masyarakat bandar.
Selain itu, aspek kebersihan bandaraya Ipoh juga turut diberi penekanan bagi mencapai hasrat kerajaan negeri apabila Dr. Zambry turut meminta MBI untuk mempertingkatkan lagi kualiti kebersihan di bandaraya Ipoh.
"Kita mahu Ipoh menjadi lambang kebersihan, bukan sahaja di peringkat negara, malah di peringkat antarabangsa. Kita mahu tingkatkan segala aspek kebersihan di bandar ini khusnya sampah, rumput dan juga tandas awam," ujarnya.
Sehubungan itu, beliau memberi amaran kepada pengusaha-pengusaha restoran untuk pastikan tandas mereka bersih dengan gred A.
Dalam mesyuarat tersebut, pihak MBI juga telah diminta untuk memaklumkan kepada kerajaan negeri jika terdapat kelewatan berkaitan projek-projek pembangunan untuk diberi perhatian.

0 comments:

Post a Comment