a Dr Zambry Minta Pemilik Bangunan Lama Jaga Imej Perak ~ zambry.my

Thursday, November 6, 2014

Dr Zambry Minta Pemilik Bangunan Lama Jaga Imej Perak

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir meminta pemilik-pemilik bangunan lama di sekitar Bandaraya Ipoh memulihara bangunan mereka dengan baik demi menjaga imej negeri Perak.
Katanya, mereka diminta menceriakan bangunan–bangunan lama dengan lakaran-lakaran menarik agar kelihatan lebih indah dan cantik sekaligus dapat menarik perhatian pelancong yang berkunjung ke Ipoh.
''Hari ini ada di kalangan mereka sudahpun membuat lakaran menarik seperti orang sedang minum kopi dan mengecat bangunan lama dengan pelbagai warna sehingga menarik perhatian pelancong yang datang melawat Bandaraya Ipoh,'' katanya.
Dr Zambry berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Rabu.
Menurut Menteri Besar, beliau telah mendapat maklum balas positif daripada pelancong dan anak anak-anak Perak yang melihat perubahan berlaku di Bandaraya Ipoh.
''Ini adalah hasil daripada semangat kerjasama di kalangan rakyat kita yang menyebabkan Ipoh sekarang sudah berubah wajah,'' ujarnya.
Beliau juga mengulangi peringatannya kepada pemilik-pemilik bangunan lama supaya sentiasa memulihara bangunan mereka dengan baik terutama tentang soal keselamatan bangunan.
''Kita tidak mahu melihat ada peristiwa yang menyebabkan bangunan-bangunan lama itu runtuh akhirnya dan oleh yang demikian saya ingin mengulangi sekali lagi untuk dapatkan kerjsama pihak tuanpunya bangunan lama supaya menjaga bangunan mereka dengan baik,'' kata Dr Zambry.
Menurut beliau, kalau sekiranya bangunan tersebut dikategorikan sebagai bangunan warisan mereka hendaklah mengambil langkah penting bagi memulihara bangunan berkenaan dengan baik.
Katanya lagi, kerajaan negeri sedang melihat kemungkinan untuk mengenakan peraturan-peraturan yang ada dalam undang-undang terhadap pemilik bangunan lama yang didapati gagal memulihara bangunan mereka sehingga menimbulkan kesulitan kepada orang ramai dan mencacatkan pemandangan keadaan Bandaraya Ipoh.

0 comments:

Post a Comment