a Akta Hasutan Bukan Hanya Untuk Melayu ~ zambry.my

Friday, November 28, 2014

Akta Hasutan Bukan Hanya Untuk Melayu

Langkah mengekalkan Akta Hasutan bukan hanya untuk orang Melayu, sebaliknya untuk semua pihak demi kebaikan dan kedaulatan negara keseluruhannnya.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pihak-pihak tertentu, seperti pembangkang, yang cuba menggambarkan seolah-olah akta ini hanya untuk mempertahankan orang Melayu.
Menurut beliau, akta ini harus dilihat dalam konteks yang lebih besar demi menjamin keamanan dan
kesejahteraan negara.
"Kita jangan bicarakan hanya dalam soal kepentingan dan hak orang Melayu, yang kita fikirkan ialah hak dan kepentingan sebuah negara dan kita tidak boleh memikirkan semata-mata untuk menghalang orang memalukan kita tetapi perlu lihat dalam konteks yang lebih luas," katanya pemberita selepas lawatan ke Laman Media pada Khamis.
Dr Zambry berkata, orang Melayu merupakan majority di negara ini dan sudah tentu timbul rasa kurang sebang apabila ada pihak yang cuba memalukan atau menghina agama Islam dan mencerca orang Melayu.
"Begitu juga orang lain tidak mahu agama mereka dicerca, kaum mereka dihina dan sebagainya, inilah saya melihat merupakan spirit utama kepada akta ini dikekalkan," ujar beliau.
Dr Zambry berkata, langkah mengekalkan akta itu membuktikan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak memahami dan mengambil kira pandangan dari akar umbi.
"Walaupun kita tahu ada gerakan untuk mengubah langsung Akta Hasutan ini tetapi melihatkan dari segi cabaran-cabaran yang ada, dan beliau mendengar padangan dan mengambil kira," tambahnya.
Mengenai isu peremajaan UMNO yang menjadi antara fokus perhimpunan agung tahun ini, beliau berkata, ia bukan hanya semata-mata untuk ruang kepada golongan muda tetapi mengambil kira keanjalan parti untuk menghadapi cabaran semasa.
Menurutnya, cabaran yang dihadapi UMNO ketika penubuhan 68 tahun lalu sudah tentu tidak sama dengan cabaran yang dihadapi sekarang dan adalah penting untuk memastikan parti itu masih relevan berhadapan isu-isu semasa.
"Ia tidak hanya berkisar kepada memberi ruang kepada golongan muda, yang memang menjadi salah satu agenda besar UMNO, tetapi juga jangan lupa membuat persiapan kepada generasi muda juga penting," kata beliau.
Dr Zambry berpendapat, konsep peremajaan UMNO ialah bagaimanapun menentukan UMNO terus mampu berhadapan dengan cabaran masa kini dan memberi ruang kepada generasi muda di samping terus memberi peluang kepada pemimpin lama yang bersifat anjal pemikirannya.

0 comments:

Post a Comment