a Biodata ~ zambry.my

Biodata

DR. ZAMBRY ABD KADIR dilahirkan pada tanggal 22 Mac 1962 di Pulau Pangkor, sebuah pulau nelayan di negeri Perak. Beliau telah dilantik menjadi Menteri Besar Perak yang ke 11 pada 6hb Februari 2009.

Berkahwin dengan Datin Seri DiRaja Saripah Zulkifli pada 1hb Nov 1987, pasangan tersebut dikurniakan dengan lima orang cahayamata - Husna, Huda, Syifa, Munir dan Mukhlis.

Beliau telah dianugerahkan beberapa darjah kebesaran demi sumbangan dan perkhidmatannya kepada negeri dan negara. Antaranya DARJAH KEBESARAN SERI PADUKA SULTAN AZLAN SHAH PERAK YANG AMAT DIMULIA (S.P.S.A.) yang membawa  gelaran "Dato' Seri DiRaja".

Beliau juga merupakan salah seorang daripada penerima bintang SERI PADUKA MAHKOTA PERAK (S.P.M.P.) yang dianugerahkan hanya kepada 50 orang pada sesuatu ketika kerana jasa dan khidmat terbilang yang disumbangkan kepada Negeri Perak, DARJAH GEMILANG SERI MELAKA (D.G.S.M.) daripada Negeri Melaka,  DATO' PADUKA MAHKOTA PERAK (D.P.M.P. )  dan darjah kebesaran AHLI MAHKOTA SELANGOR daripada Negeri Selangor.

Pada tahun 2012, beliau telah menerima anugerah TUAN PADUKA SUTTAN JAYANEGARA, anugerah kebesaran  tertinggi Provinsi Lampung, Indonesia yang disampaikan sendiri oleh Gabenor Provinsi Lampung.

PENDIDIKAN

Dr. Zambry mendapat pendidikan awalnya di Sekolah Kebangsaan dan Menengah di Pulau Pangkor sebelum meneruskan pengajian peringkat Menengah atas di Sekolah Menengah Bukit Gantang, Parit Buntar yang terletak di tanah besar.

Beliau memegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Pemikiran Politik daripada Universiti Temple, Amerika Syarikat (1995) dengan pengkhususan dalam bidang Politik Kontemporari selepas menamatkan ijazah peringkat Sarjana dengan pengkhususan dalam bidang Falsafah Politik Dan Perbandingan Agama di universiti  yang sama (1992).

Menteri Besar Perak yang ke 11 ini juga mempunyai Ijazah Sarjana  (kepujian) dalam pengkhususan Pemikiran Islam daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada tahun 1991, selepas menamatkan pengajian di peringkat Sarjana Muda Ekonomi di universiti itu dengan pengkhususan Ekonomi, Pembangunan Ekonomi dan Ekonomi Antarabangsa.


PENGALAMAN PROFESIONAL DAN BIDANG KEPAKARAN

Dikenali dengan jolokan “maulana” dikalangan teman rapat beliau, Dr. Zambry merupakan seorang yang disegani dalam dunia akademia kerana kepakaran beliau dalam bidang ekonomi dan politik, pemikiran politik, politik kontemporari di Asia Tenggara dan  pemikiran politik Malaysia.

Beliau juga merupakan pentadbir yang berpengalaman luas termasuk pengalaman sebagai pengurus dan pentadbir di peringkat universiti, badan pemikir, organisasi pemberi khidmat nasihat dan pejabat politik.

Pengalaman lain termasuk sebagai pembantu Professor di Jabatan Sains Politik (UIAM) sehingga Ogos 2000, pengarah eksekutif Centre for Leadership & Development Studies (CELDES) daripada 1996 hingga Ogos 2000, ketua Pembangunan Kurikulum Dan Islamisasi  di Jabatan Sains Politik UIAM pada  tahun 1999, ketua panel konsultansi, program Khidmat Sosial Negara, Kementerian Belia dan Sukan (1997) serta Ahli Perunding, Agenda Melayu Abad ke 21 (1998). Beliau juga merupakan pengerusi konferensi Pelajar Malaysia di Amerika Syarikat pada tahun 1994,  pengarah Pertemuan Intelektual Asia Tenggara (SEAM) di Amerika Syarikat pada tahun 1994, Presiden Persatuan Pelajar Islam Malaysia di Amerika Syarikat(1994-1995), Pengarah Diskusi Intelektual UIA-IIIT untuk kakitangan UIA di Amerika (1993), coordinator kursus bagi Pusat Matrikulasi UIA (1988-1989), Ahli Jawatankuasa Rayuan (MATRIC)  bagi tahun 1989 – 1990, Fellow bagi Kolej Pelajar (1993-1994), Ahli Diskusi Intelektual, Institut Perkembangan Minda (INMIND) tahun 1995, konsultan bagi program kepimpinan pelajar Malaysia di Amerika dan menjadi tamu intelek bagi program yang dianjurkan oleh Kerajaan Jepun (2002).

POLITIK

Dr. Zambry bergiat aktif dalam bidang politik sejurus setelah kembali daripada Amerika Syarikat pada tahun 1995.

Perjalanan politik beliau bermula sebagai Ketua Pemuda UMNO Cawangan Pangkor sebelum dipilih menjadi Ketua Pemuda UMNO Bahagian Lumut. Beliau kemudiannya memenangi kerusi EXCO Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia (2000-2003) sebelum dilantik menjadi Ketua Pemuda UMNO Negeri Perak.

Pada tahun 2004, beliau telah bertanding dalam pilihanraya umum bagi kerusi DUN Pangkor and  berjaya mempertahankan kerusi tersebut dalam PRU 2008 dan 2013.

Kini Dr. Zambry merupakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak dan Ketua UMNO Bahagian Lumut. Namun perjalanan politik beliau bukanlah semudah yang disangkakan malah beliau pernah ditahan di bawah ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) pada tahun 1998.

ANUGERAH

Dr. Zambry telah menerima pelbagai anugerah diatas jasa beliau di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

Di antaranya ialah Medallion of the City of Sarajevo yang diterima beliau pada 26 Oktober 2014. Beliau menerima anugerah itu daripada Datuk Bandar Sarajevo, Dr. Ivo Komšić.

Beliau dipilih menerima pingat tersebut sebagai penghargaan kepada komitmen, usaha dan sokongan terhadap pembangunan ekonomi, perdagangan dan keusahawanan serta menggalakkan suasana pelaburan di Sarajevo, Bosnia dan Herzegovina serta rantau sekitarnya.

Beliau juga merupakan penerima anugerah tertinggi The Crane Summit Supreme Honour Crown Medallion Award daripada Akademi Kesenian dan kebudayaan Dunia (WACC) sempena Kongres Penyair Sedunia (WCP) ke-33 di Pulau Pangkor pada 22 Oktober 2013 kerana penglibatannya dalam bidang sastera.

Sehingga hari ini, hanya tiga pemimpin negara lain yang menerima anugerah tersebut. Mereka adalah Presiden India, Dr Abdul Kalam (2006), bekas Presiden Slovakia, Dr. Michael Kovac (2008) dan bekas Presiden Republik Czech (2009).

WAAC juga telah menganugerahkan “Doctorate of Literature” kepada Dr. Zambry di majlis yang sama.
Pada tahun 2010, Dr. Zambry telah menerima anugerah Ijazah Doktor Kehormat dalam bidang Sains Perikanan dari National University of Pukyong, Korea atas aspirasi dan komitmen beliau sebagai anak nelayan tradisional yang berjaya.

Pengiktirafan lain yang diterima oleh Dr. Zambry termasuk Geran Penyelidikan Temple Universiti (1993), Anugerah WAMY sempena majlis Penyampaian Ijazah UIA (1987), Anugerah Kebangsaan (tempat pertama) bagi kategori Penulisan Agama (1982) dan Anugerah Negeri (tempat pertama) bagi Karangan Hari Kebangsaan (1982).

Sebagai anak Pangkor yang dibesarkan berdekataan dengan Pengkalan Tentera Laut, Dr. Zambry mempunyai hubungan yang istimewa dengan Tentera Laut. Sebagai tanda hubungan baik itu, Kementerian Pertahanan Malaysia telah menganugerahkan Laksamana Pertama (Kehormat) kepada beliau pada tahun 2010.


Sebelum itu, pada tahun 2005, KDYYM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong telah berkenan untuk menganugerahkan Komander (Kehormat) TLDM. Beliau merupakan antara yang pertama di kalangan ahli politik di Malaysia untuk menerima anugerah tersebut.

PENULISAN

Sebagai seorang ahli akademik, Dr. Zambry banyak menghabiskan masa beliau sebagai seorang penulis sejak bergelar seorang pelajar. Beliau menulis puisi, karangan dan pelbagai artikel di dalam media tempatan dan antarabangsa.

Beliau telah menulis beratus-ratHe has written hundreds artikel dalam  Utusan Malaysia, Berita Harian, Dewan Masyarakat, Dewan Budaya, Dakwah, Risalah, Al-Islam, Mastika, dan PEMIKIR, disamping pelbagai buku.

Di antara buku hasil pena beliau bertajuk UMNO dan Jiwa Merdeka (CELDES KL 1998), Pemuda UMNO Menebus Maruah, Menuju Arah (Mei, 2000) dan Islam Malaysia & Amerika. Puisi beliau kini terdapat di dalam kompilasi antologi bertajuk Suara Pelaut.

Beliau turut menghasilkan beberapa kertas akademik dalam majalahdan jurnal. Antaranya bertajuk Politics In Malaysia, A Changing Scenario (2000), Belia dan Cabaran Politik Pascakolonial (1999), Festival Islam Organisasi Islam di Malaysia (Encyclopedia of Malaysiana, 1998), Politik Malaysia dan Pasca-Modernisme (kertas kerja untuk Dewan Bahasa dan Pustaka, 1998) dan Peranan dan Cabaran Ulama’ Dalam Era Pasca-Modernisme (kertas kerja untuk ‘The Asian Renaissance’ di Pekan Baru, Riau, 1997).

Beliau juga merupakan pengarang kepada beberapa penerbitan termasuk Pendidikan dan Pembangunan untuk  Nurin Enterprise, K.L (1980),  Business Administration in Islam, Hizbi (1991), dan Memperkasa Kepimpinan Merentgas Masa Depan, CELDES, KL (1991).

Beliau turut memegang jawatan sebagai Ketua Pengarang Imbas Gemilang KBS 1998, sebuah penerbitan Kementerian Belia dan Sukan.

Selain menjadi penyunting dan penulis, Dr. Zambry juga merupakan penterjemah yang disegani. Diantaranya termasuk karya yang bertajuk Faces of Islam (Berita Publishing, 1990), Qur’anic Sciences (Dewan Bahasa dan Pustaka, 1991) dan Islaminc Legal Philosophy (Dewan Bahasa dan Pustaka, Oktober, 2000).

Meskipun mempunyai jadual waktu yang ketat, Dr. Zambry tidak pernah melupakan minatnya terhadap buku. Beliau sentiasa meluangkan masa yang ada untuk membaca beberapa buku sekaligus. Antara pilihan beliau yang terbaru adalah karya yang bertajuk Too Many Bosses Too Few Leaders oleh Rajeev Peshawaria, Focus: The Hidden Driver of Excellence oleh Daniel Goleman, dan Political Philosophy: A Historical Introduction tulisan Michael J. White.