a Masalah Lalat - Tindakan Tutup Ladang Tidak Ikut Peraturan ~ zambry.my

Thursday, August 4, 2016

Masalah Lalat - Tindakan Tutup Ladang Tidak Ikut Peraturan

Kerajaan Negeri Perak mengambil pendekatan drastik apabila membuat keputusan untuk menamatkan operasi mana-mana pengusaha ayam yang didapati gagal mengawal masalah lalat yang berterusan di beberapa daerah di negeri ini.


Menurut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, tindakan tegas dan drastik ini diambil kerana kedegilan sesetengah pengusaha ayam yang tidak mematuhi sistem kaedah tertutup dan pengurusan baja tahi ayam atau tinja yang tidak diurus dengan baik dan sempurna.

Katanya, antara kawasan yang diberi perhatian khusus mengenai masalah lalat ini ialah Daerah Manjung, Batang Padang dan Lenggong.

Kata beliau lagi selain pengusaha haram, masalah lalat ini juga berpunca daripada pengusaha yang menjalankan operasi secara sah tetapi tidak menggunakan kaedah yang ditetapkan iaitu sistem tertutup.

 "Kerajaan negeri akan terus mengambil tindakan menutup operasi pengusaha-pengusaha ayam yang menyebabkan punca berlakunya masalah lalat,’’ katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Rabu.

Dr Zambry juga memberitahu selain aktiviti penternakan ayam, masalah lalat juga disumbangkan oleh kegiatan pembuangan sampah secara haram dan pengurusan baja tahi ayam yang tidak diuruskan dengan baik.

"Tahi-tahi ayam ini dijadikan baja di kawasan-kawasan pertanian khususnya di kawasan penanaman kelapa sawit dalam skala kecil dan besar juga dikenalpasti sebagai punca pembiakan lalat,’’ katanya.

Beliau mendedahkan terdapat penternak ayam yang bertindak menjual baja tahi ayam secara berleluasa kepada penanam kelapa sawit dan pengusaha pertanian yang lain dimana baja-baja itu dibiarkan secara terbuka di kebun dan ladang menyebabkan berlakunya masalah lalat.

Sehubungan dengan itu beliau meminta orang ramai supaya tampil memberi maklumat berhubung kegiatan penternakan ayam yang dijalankan secara haram di kawasan mereka supaya tindakan tegas dapat diambil bagi menutup kegiatan penternakan haram itu.

0 comments:

Post a Comment