a Azlan Misron, Sin Li Jane Olahragawan, Olahragawati Perak ~ zambry.my

Tuesday, January 5, 2016

Azlan Misron, Sin Li Jane Olahragawan, Olahragawati Perak

Bekas pemain hoki kebangsaan, Azlan Misron dan pemain boling negara, Sin Li Jane dipilih sebagai Olahragawan dan Olahragawati 2013/2014 Perak.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyampaikan anugerah itu kepada kedua-dua tokoh tersebut dalam Majlis Anugerah Sukan Perak yang diadakan pada Selasa malam di Hotel Casuarina @ Meru.
Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim turut berkenan berangkat pada majlis itu.
Antara kejayaan yang pernah dicapai oleh Azlan ialah memenangi pingat emas dalam Sukan Sea 2013 di Myanmar, pingat gangsa di Kejohanan Hoki Liga Dunia 2013 di Johor serta pingat gangsa di Kejohanan Hoki Trofi Juara-juara Asia 2013 di Jepun.
Azlan yang ditemui ternyata bangga dan terharu dengan penghargaan yang telah diberikan oleh kerajaan negeri kepadanya selaku atlit berpasukan.
"Syukur dengan penghargaan yang diberikan ini, saya memang tidak menyangka akan menerima anugerah ini selaku atlit berpasukan. Ini amat bermakna kepada saya kerana sebagai seorang atlit memang saya dahagakan pencapaian individu.
"Ini akan membuat saya lebih bersemangat untuk terus berbakti kepada negeri walaupun saya telah bersara dari pasukan kebangsaan.
"Mungkin saya akan berikan khidmat saya dalam bentuk jurulatih atau sebagainya kepada negeri ini pula," ujarnya.
Bagi Sin pula, antara kejayaan yang pernah dicapainya ialah memenangi satu pingat gangsa dalam Kejohanan Dunia Tenpin Boling 2013 di Amerika Syarikat, dua pingat perak pada Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea dan satu pingat perak pada 50th Qubica AMF World Cup 2014.
Beliau memberitahu, anugerah itu akan dijadikan pembakar semangat untuk mengharungi kejuaraan asia di Kuwait pada 2016 dan Seagames di Malaysia pada 2017.
"Saya amat-amat gembira dan berterima kasih kerana dipilih menjadi olahragawati Perak. Ia sudah tentu akan beri semangat yang tinggi untuk saya berlatih lebih gigih untuk kejohanan-kejohanan yang akan datang," katanya.
Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir serta isteri, Datin Seri Saripah Zulkefli dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia, Datuk Shahrul Zaman Yahaya selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengelola majlis tersebut.
Untuk anugerah khas pencapaian gemilang tahun 2013/2014 pula, ia diberikan kepada penerjun elit negara, Leong Mun Yee.
Mun Yee pernah mendapat tempat keempat dalam Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland, satu pingat gangsa acara 10m synchro pada Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea serta satu pingat gangsa dalam Fina Diving World Cup 2014 di Beijing, China.
Low Khai Jee dari acara golf memenangi anugerah Olahragawan Harapan sementara Nor Nabila Natasha Mohd Nazri dari acara kapal layar memenangi anugerah Olahragawati Harapan.
Bagi anugerah keluarga sukan 2013/2014, ia diberikan kepada keluarga Sin Yew Kheong kerana memberi sokongan padu pada keluarganya untuk menceburi bidang sukan.
Ini terbukti dengan penglibatan isteri beliau, Ho Chee Ling yang merupakan bekas atlet bola tampar negeri Perak, manakala semua anak mereka Sin Ken Mun, Sin Kar Mun dan Sin Li Jane merupakan atlet negeri Perak dalam sukan tenpin boling.
Bagi anugerah pasukan terbaik 2013/2014, ia dimenangi oleh pasukan hoki Piala Tun Abdul Razak 2014 apabila menjadi johan pada Kejohanan Hoki Piala Tun Abdul Razak 2013 dan 2014.
Sementara itu, anugerah kepimpinan sukan telah diberikan kepada Datuk Abd Rahim Md Arif selaku Presiden Hoki Negeri Perak dan Anugerah Jurulatih Terbaik diberikan kepada Phuah Lai Hock selaku jurulatih Bola Baling.

0 comments:

Post a Comment