a Parti Pembangkang Baharu Akan Perkuatkan BN - Dr Zambry ~ zambry.my

Thursday, August 4, 2016

Parti Pembangkang Baharu Akan Perkuatkan BN - Dr Zambry


Penubuhan parti pembangkang baharu untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang diumumkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hanya akan memperkuatkan lagi UMNO dan Barisan Nasional (BN).


Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, sudah menjadi tradisi UMNO serta BN, sekiranya ia dicabar akan menjadi lebih bersepadu dan kuat.


Beliau yang juga Pengerusi BN Perak berpendapat, pengumuman Tun Dr Mahathir bukan satu yang mengejutkan kerana ura-ura bagi kelompok mereka nak mewujudkan sebuah parti baharu telah kedengaran sebelum ini.

“Dari segi pertandingan, kita berada dalam negara demokrasi di mana mereka boleh berbuat demikian tetapi jangan esok bila dia berlawan dan kalah, dia kata kita tidak adil dan sebagainya.

“Kerana kebiasannya, dalam tradisi UMNO apabila kita lagi dicabar, kita akan perkukuhkan perpaduan kita, itu memang adat kita,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis rumah terbuka Adil Fitri ADUN Pasir Panjang di Ayer Tawar pada Sabtu.

Dari segi landskap politik tanah air pula, Dr Zambry memberitahu ianya sudah tentu akan menambahkan lagi suasana negatif kepada negara.

“Apa yang kita lihat realitinya dalam negara kita dengan kedudukan kepelbagaian parti serta kaum, ianya akan menambahkan lagi satu suasana masalah serta persoalan-persoalan politik di tanah air ini,” ujarnya.

Dr Zambry turut berpendapat pengaruh Tun Dr Mahathir bersama parti baharu itu nanti tidak akan memberi kesan kepada ahli BN atau keputusan PRU-14 itu nanti.

“Kita tak boleh buat andaian, sekiranya ada sebuah parti, maka pengaruh Tun M akan lebih hebat lagi kerana perseteruan beliau dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Razak bukan baru, sejak PRU-13 lagi dan BN masih berjaya memenanginya.

“Yang paling penting perpaduan di kalangan kita ahli-ahli BN perlu diperkuatkan dan saya percaya kalau kita kukuh serta bersatu ianya tidak akan memberi kesan kepada parti,” katanya lagi.

Pada Selasa, Tun Mahathir memberitahu parti pembangkang baharu yang masih belum mempunyai nama itu akan meletakkan calon-calonnya yang terdiri daripada muka baru serta lama untuk bertanding pada PRU-14.

0 comments:

Post a Comment