a Dr Zambry Minta Atasi Masalah `Bottle Neck’ Di Perak ~ zambry.my

Monday, August 8, 2016

Dr Zambry Minta Atasi Masalah `Bottle Neck’ Di Perak

Kementerian Kerja Raya diminta menangani segera masalah pertukaran laluan (bottle neck) terutama di jalan-jalan Persekutuan di Perak sehingga menyebabkan berlakunya kesesakan dan kes kemalangan jalan raya.

Menteri Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, masalah pertukaran laluan ini sebagai contohnya dari empat lorong menjadi dua lorong dan dua lorong menjadi satu lorong, bukan sahaja menyebabkan kesesakan tetapi juga kes kemalangan.



Menurut beliau, di Perak masalah `bottle neck’ ini dikesan di Jalan Ipoh-Lumut bermula dari Batu Gajah ke Ipoh yang seringkali berlakunya kesesakan dan kemalangan.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan apabila terlaksana Lebuhraya Pantai Barat nanti, akan berlaku masalah masalah yang sama.

``Saya meminta pihak JKR negeri dapat memberikan maklum balas kepada JKR Pusat supaya mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah ini,’’ katanya.

Dr Zambry berkata demikian kepada pemberita di Program Jelajah dan Karnival FT Roadpedia Kementerian Kerja Raya di Dewan Komuniti Bestari, Batu 10, Lekir  pada Sabtu.

Turut hadir, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin , Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Zohari Akob dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

Dr Zambry menyifatkan program itu sebagai satu pendekatan kreatif yang diambil oleh pihak kementerian dengan menjadikan jalan Persekutuan sebagai laluan utama.

Katanya, ini selari dengan matlamat program berkenaan iaitu menggalakkan rakyat Malaysia menggunakan jalan Persekutuan sebagai suatu nikmat  kembara budaya.

Sementara itu Fadillah ketika ditanya mengenai masalah jalan `bottle neck’ yang ditimbulkan oleh Dr Zambry berkata, beliau akan membawa perkara itu kepada pihak kementerian terlebih dahulu untuk mendapatkan kelulusan.

0 comments:

Post a Comment