a Lebih 5,000 Meriahkan Rumah Terbuka ADUN Pasir Panjang ~ zambry.my

Monday, August 1, 2016

Lebih 5,000 Meriahkan Rumah Terbuka ADUN Pasir Panjang

Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri ADUN Pasir Panjang, Datuk Rashidi Ibrahim di Arena Square Sungai Wangi, Ayer Tawar berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 5,000 masyarakat.

Rumah terbuka yang bermula jam 9 pagi itu menyaksikan orang ramai daripada pelbagai kaum beramah mesra sambil menjamah lebih 21 jenis hidangan raya.


Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir turut hadir memeriahkan majlis itu.

Dr Zambry di dalam ucapannya berkata, rumah terbuka merupakan amalan tahunan yang dilakukan oleh kerajaan negeri serta ADUN Barisan Nasional (BN).

"Sambutan raya serta rumah terbuka begini merupakan amalan setiap tahun kita untuk mendekati raya dari segenap tempat di Perak.

"Saya harapkan masyarakat dapat bersatu dan memberi kerjasama penuh kepada ADUN anda semua untuk membangunkan kawasan ini," katanya ketika berucap di majlis berkenaan pada Sabtu.

Dr Zambry bersama Rashidi turut mengambil kesempatan beramah mesra dengan rakyat pelbagai lapisan sepanjang rumah terbuka tersebut berlangsung.

Bagi pengunjung pula, program itu merupakan acara yang wajib dikunjungi setiap tahun oleh mereka.


Selain dapat berjumpa dengan Menteri Besar serta wakil mereka secara lebih dekat, juadah yang disediakan juga menarik minat pengunjung untuk hadir.

Shahrul Akmal Ilias, 34, berkata, konsep rumah terbuka sebegitu mampu merapatkan silaturahim di antara penduduk serta wakil.

"Bagus lah selain kita orang kampung dapat berkumpul beramah mesra kita juga dapat mengenali dan bersembang bersama wakil rakyat, rasa lebih dekat," katanya.

Bagi S. Devi, 23 pula berpendapat kehadiran Menteri Besar sudah tentu membuatkan rakyat khususnya di luar bandar berasa lebih rapat dengan beliau.

"Saya tak pernah berjumpa dengan Dr Zambry, ini pertama kali dapat bersembang dengan beliau.

"Perkara seperti ini buat kita lebih rasa dihargai, jadi saya puji insiatif begini dan perlu diteruskan bukan sahaja raya Aidilfitri tetapi raya-raya lain juga," ujarnya.

0 comments:

Post a Comment