a Jambatan Manong, KUISAS Bukti BN Tepati Janji ~ zambry.my

Saturday, June 11, 2016

Jambatan Manong, KUISAS Bukti BN Tepati Janji

Pengumuman pembinaan jambatan Manong dan pemberian status universiti penuh kepada Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS), membuktikan Barisan Nasional (BN) tidak menabur janji kosong dalam agendanya untuk membela rakyat.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pengumuman yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengadakan lawatan ke Kuala Kangsar pada Jumaat, membuktikan kerajaan BN sentiasa menepati janji.



Menurut beliau manifesto mengenai perkata itu telah dirancang Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad ketika menjadi Anggota Parlimen Kuala Kangsar.

"BN tidak akan menabur janji-janji kosong kepada rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kerja & Kerjaya Pemuda BN 2016 di Dataran Pavilion di sini pada Sabtu.

Calon BN bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar Datin Mastura Mohd Yazid sebelum ini menggariskan lima agenda yang beliau akan perjuangkan untuk penduduk Kuala Kangsar, antaranya menaik taraf KUISAS dan menyegerakan kelulusan projek jambatan Manong.

Tiga lagi agendanya ialah memohon kelulusan projek membesar dan melebarkan jalan Manong-Kuala Kangsar, menaik taraf Hospital Kuala Kangsar kepada hospital pakar serta membangunkan semula lembah dan tebing Sungai Perak sebagai pusat pelancongan.

Mengulas lanjut, Dr Zambry yang juga Pengerusi BN Perak berkata, projek pembinaan jambatan Manong merentasi Sungai Perak yang menghubungkan Kampung Seberang Manong ke Pekan Manong itu akan dilaksanakan secepat mungkin.

Beliau berkata, kerajaan negeri dan Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam proses mengenal pasti lokasi dan reka bentuk jambatan itu.

Semalam Najib mengumumkan peruntukan RM43.5 juta bagi pembinaan jambatan itu serta pembinaan jalan sepanjang tiga kilometer di sekitar kawasan berkenaan.

Pembinaan jambatan dan jalan sepanjang 3km itu menjadi berita gembira buat penduduk kawasan itu yang selama ini terpaksa menggunakan perkhidmatan bot penambang.

Dr Zambry yakin pembinaan jambatan itu bakal menjadi pemangkin kepada perkembangan sektor ekonomi, sosial dan pertanian di kawasan tersebut.

Mengulas mengenai status universiti kepada KUISAS, beliau berkata ia menguatkan lagi azam kerajaan negeri untuk menjadikan Kuala Kangsar sebagai pusat kecemerlangan pendidikan.

"Pengumuman perdana menteri semalam memberi kekuatan kepada usaha kita untuk menjadikan Kuala Kangsar sebagai pusat kecemerlangan ilmu kerana Kuala Kangsar merupakan sebuah tempat yang mempunyai sejarah pelajaran yang terawal di negara ini.

"Malay College Kuala Kangsar (MCKK), Sekolah Menengah Clifford, SMK Raja Perempuan Kelsom telah memberi sumbangan besar kepada negara, dengan adanya sebuah universiti ia melengkapkan lagi Kuala Kangsar sebagai pusat kecemerlangan," ujarnya.

0 comments:

Post a Comment