a Jangan Politikkan Program Anak Angkat MB ~ zambry.my

Saturday, June 25, 2016

Jangan Politikkan Program Anak Angkat MB

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir kesal terhadap tindakan sesetengah pihak yang mempolitikkan niat baik dalam membantu anak-anak angkat Menteri Besar di negeri Perak.

Katanya, terdapat beberapa komen liar yang sengaja diutarakan untuk mempertikaikan sumber kewangan bagi membantu kebajikan 191 orang anak angkat dari 10 daerah di negeri ini.

"Suara-suara sumbang itu mengatakan ratusan ribu dibelanjakan untuk anak-anak Menteri Besar, sedangkan ini adalah hasil sumbangan orang ramai dan syarikat kepada mereka yang diuruskan sepenuhnya oleh Yayasan Bina Upaya (YBU).

"Mereka cuba mempermainkan niat baik sehingga disalahtafsirkan oleh masyarakat setempat, walhal kita melakukan perkara yang cukup baik untuk anak-anak yang benar-benar miskin dan daif di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas meraikan 191 orang anak angkat semasa Program Penyampaian Sumbangan Aidilfitri Dan Shopping Raya di Mydin Meru, Jelapang pada petang Sabtu.

Bagaimanapun, Dr Zambry berkata, beliau langsung tidak terkesan terhadap permainan politik itu kerana telah terbukti bahawa bantuan kepada anak-anak angkat MB Perak itu membawa hasil dan produk baik.

"Sejak 2010, program ini bermula daripada 101 orang sehingga kini bertambah ramai, dari segenap kaum dan agama di seluruh negeri.

"Malah yang membanggakan, ramai yang telah berjaya memasuki universiti dalam bidang kepakaran masing-masing, membuktikan bahawa objektif dan tujuan kita berada di landasan tepat," ujarnya.

0 comments:

Post a Comment